Kalau masih ada yang belum tahu apa itu ‘PM tepi,’ ia adalah istilah yang digunakan oleh penjual barangan secara online kepada pembeli yang meminta mereka menghantar mesej secara peribadi atau private message jika inginkan maklumat lanjut.
Hakikatnya, membeli-belah secara online memang sudah menjadi perkara biasa dalam kehidupan kebanyakan kita. Kalau tidak reti membeli barang secara online di zaman ini, ini yang dikatakan luar biasa. Budak-budak sekarang pun sudah pandai membeli-belah cara ini, de­ngan duit emak bapak. 

Pun begitu, sebenarnya ramai yang tidak suka de­ngan jawapan ‘PM tepi’ ini. Kebanyakan pembeli mahu ­mengetahui terus maklumat tentang barangan tersebut. Yang penting mahu tahu harga dengan cepat. Kita pun selalu tertanya-tanya, letak sajalah harga di situ, kenapa mahu berahsia sangat? Tidak perlulah jawab PM tepi dan bukan semua orang pun tahu apa itu ‘PM tepi’. 

Ada juga penjual yang meminta orang ramai PM tepi, tetapi esok atau lusa pun belum tentu berjawab dan ada juga sampai bila-bila pun tidak menjawab. Ini pun satu hal juga, sikap pengendali jualan barangan online yang paling tidak digemari pengguna. 

Justeru apabila pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) membuat ketetapan antaranya tidak boleh ‘PM tepi’ lagi, ramai pengguna mengalu-alukan langkah tersebut tetapi tidak kepada penjual kerana menganggap langkah ini akan menjejaskan perniagaan mereka. Ia adalah strategi pemasaran. 

Baru-baru ini KPDNKK menetapkan lapan keperluan yang mesti dipaparkan kepada orang ramai mengikut Akta Perlindungan Pengguna 1999 dalam akaun laman sosial produk pembelian online itu untuk mengelakkan sebarang penipuan kepada pengguna. 

Lapan perkara berkenaan adalah nama penjual atau syarikat, harga yang perlu dibayar, nombor pendaftaran perniagaan serta maklumat untuk dihubungi. Selain itu, maklumat keterangan produk, kaedah pembayaran, terma dan syarat-syarat serta tempoh masa penghantaran juga perlu dipaparkan.
Peniaga yang gagal berbuat demikian boleh disabitkan kesalahan di bawah Peraturan-peraturan Perlindungan Pengguna (Urus Niaga Perdagangan Elektronik) 2012, Akta Perlindungan Pengguna 1999. Di bawah peruntukan ini, jika bersalah boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama. Denda hingga mencecah RM50,000 untuk PM tepi? Jumlah itu bukan sedikit. Jangan buat main. 

Selain mahu penjual telus mengenai harga, banyak isu lain juga timbul dalam berurusan dengan peniaga online ini. Salah satunya adalah masa penghantaran. Ada yang tidak dapat menghantar mengikut masa ditetapkan. Kemudian dia menyalahkan pembeli yang tidak sabar-sabar menunggu.

Seorang kawan saya pernah ditegur oleh penjual kerana asyik menghubunginya disebabkan barang yang dibeli tidak sampai-sampai sehingga melepasi seminggu. Penjual tersebut, boleh pula berkata: “ Awak ini tidak pernah beli barang onlinekah? Sabarlah sikit.”

Tentu jawapan sebegitu tidak sewajarnya diberi. Pengguna ada hak bertanya kerana barang sudah dibayar tetapi tidak sampai-sampai, dan jarak pun bukan jauh sangat. Bukan membeli barangan dari luar negara, yang perlu naik kapal terbang atau kapal laut yang mengambil masa lebih seminggu. Ini boleh menimbulkan suasana tegang antara pembeli dan penjual. Yalah, bila masa hendak duit bukan main manis lagi budi bahasa, apabila sudah buat pembayaran, budi bahasa ke laut dalam.

Dalam pada itu, ada juga penjual yang gemar menunjukkan screenshot perbualan mereka dengan pelanggan dalam laman sosial mereka. Bukan setakat memaparkan pelanggan yang memuji perkhidmatan mereka tetapi pergaduhan pun turut dihebahkan kepada orang ramai.

Sabarlah tuan dan puan semua, dalam apa jua pekerjaan, dugaan dan cabaran sebegini adalah perkara biasa dan sudah semestinya menuntut kesabaran yang lebih. Tak perlulah dihebohkan pergaduhan seperti itu. ­­Ini kerana pelanggan akan menilai sikap penjual itu sendiri. Dia ini sebenarnya mahu berniagakah atau bikin drama?