Header Ads


Terkini

Ada Apa Pada Peribahasa ?

OLEH : ONN ISMAIL

Peribahasa merupakan olahan ayat untuk mencapai suatu makna dengan halus untuk disampaikan secara berkias kepada sesorang atau suatu kelompok masyarakat. Ianya bertujuan untuk mengelakkan penggunaan bahasa kasar atau direct sentence yang memungkinkan seseorang itu mendapat bahana.

Menurut Zaaba pula, peribahasa merupakan susunan kata pendek yang mempunyai makna yang luas, mengandungi kebenaran, sedap didengar dan bijak perkataannya.

 Penggunaan perlambangan kata ini mencapai zaman kemuncaknya di era Kesultanan Melayu Melaka dan berkesinambungan di era kegemilangan Kerajaan Johor-Riau dengan melahirkan naskah-naskah rujukan seperti Hikayat Melayu dan Sulalatus-Salatin.

 Tidak hairanlah perumpamaan oleh SN Usman Awang terhadap bangsa Johor berbunyi ; “ kurang ajarnya cukup santun, lembutnya cukup jantan, dajalnya masih selamba, nakalnya bersulam jenaka, menikam dengan pantun, menyanggah dengan senyuman, marahnya dalam tertawa, merendah bukan menyembah, meninggi bukan melonjak..”

Bukanlah bermakna Bangsa Johor itu merupakan bangsa yang perlu dijadikan contoh kepada orang-orang Melayu lainnya, tetapi ianya menggambarkan betapa kesan peninggalan empayar itu memberi impak yang berterusan yang melangkaui zaman bagi rakyat Johor khususnya.

Penulis tertarik untuk merekayasa topik ini kerana ianya seakan dipinggirkan di arus dasawarsa ini. Amat canggung dan janggal apabila tidak melihat sebarang garapan dari mana-mana komentar berpuing pada konotasi bahasa.

 Kita seolah lupa, tentang tema Bahasa Jiwa Bangsa yang suatu ketika dahulu begitu dibanggakan malahan di julang tinggi di era Allahyarham Tun Syed Nasir ( 1957-1961) selaku pengarah DBP.

Hal ini menyebabkan Melayu seakan hilang identiti, hilang norma ke Melayuan lebih-lebih lagi dengan ayat-ayat jelik politikus membahan dan menghina keturunan tokoh lagenda politik tanahair. Ianya boleh diumpamakan seperti sudah dapat gading bertuah, tanduk tidak berguna lagi. Jiwa dan roh Melayu kian hanyut dibawa oleh budaya politik hancing! Tidak dinafikan juga, bahawa perjalanan perjuangan bahasa menempuh pelbagai ranjau berliku apabila kita dikejutkan dengan penggunaan Bahasa Inggeris dalam subjek Matematik dan Sains (PPSMI) di era Mahathir umpama kera di hutan disusukan, anak dirumah mati kelaparan. Pelaksanaan skim itu akhirnya dipintas di era Abdullah Ahmad Badawi dan merupakan satu kemenangan beranjau oleh pejuang-pejuang bahasa.

Berbalik kepada persoalan pokok tentang topik, peribahasa jerat tidak lupakan pelandok merupakan wahana tular di kalangan penggiat politik terutamanya Zahid Hamidi. Walhal peribahasa berkenaan tidak lengkap ataupun dengan sengaja tidak mahu memberi dimensi lengkap yang berbunyi pelandok lupakan jerat, tetapi jerat tidak akan sekali-kali melupakan pelandok.Siapakah sebenarnya pelandok siapakah jerat? Samada Mahathir, Zahid atau Najib? Rentetan dari itu, berbondong-bondong kolumnis memberikan komentar atau buah fikir bagi menterjemah stigma kekacauan pelandok atau jerat itu.

Acah-acah bahasa itu pula diterjemahkan pula salah seorang pemimpin akar umbi yang menyebut Mahathir sebagai celaka. Frasa berkenaan bukanlah satu bahasa indah yang harus digunakan untuk meng imej perasaan marah, geram atau membodek. Kita tidak pasti kategori mana bahasa itu diluahkan. Tetapi ianya cukup menggambarkan seorang Melayu yang tidak beradab bagi menyampaikan maksud kebencian, amarah kepada seseorang. Tetapi adakah sintesis ayat itu wajar atas asbab kesetiaan membuta tuli atau membabi buta terhadap pemimpin lain yang disanjunginya?

Begitu juga dengan kes 1MDB yang tidak pernah selesai. Najib dilihat seperti tikus membaiki labu menghadapi persoalan berkenaan. Ada ketika beliau dilihat seperti kera sumbang di pentas antarabangsa ataupun bersifat bermuka tebal dalam menghadapi asakan demi asakan media antarabangsa yang memandang sinis terhadap kepimpinan kleptokrasi yang pernah dicop oleh DOJ.
walaupun begitu, peneroka FELDA sangat berbesar hati umpama orang mengantuk disorongkan bantal dengan durian runtuh yang diumumkan oleh Najib tanpa mengambil kira kos GST yang telah dibelanjakan oleh mereka.

Contoh klasik lain ialah Zahid Hamidi yang dilihat seperti kaduk naik junjung seawal beliau berada di kerusi TPM. dan dilihat seperti kacang melupakan kulit setelah berada di puncak kuasa tanpa memikir kedudukannya pada zaman Mahathir? Dendam peribadi sedalam mana yang Zahid maksudkan, sehingga sanggup berpatah arang dan berkerat rotan dengan Mahathir? Kalau benarpun Mahathir pernah mengarahkannya meletak jawatan sebagai Ketua Pemuda, dimanakah asasnya sehingga beliau dilantik sebagai Pengerusi BSN dan seterusnya menjadi sebahagian daripada kabinet Mahathir?

Banyak lagi persoalan-persoalan isu yang boleh dikupas menggunakan ayat-ayat beradab dalam menterjemah perasaan dan sampai maksudnya kepada orang yang dituju. Dalam situasi ini, apabila Mahathir ditanya tentang kecenderungannya untuk kembali kepada UMNO bolehlah di garap sebagai pinggan tak retak, nasi tak dingin. pemerhati politik






Tiada ulasan