SEJAK sebulan yang lalu, setiap minggu Clement Chong terpaksa
berulang-alik ke hospital kerajaan di Kota Kinabalu bagi mendapatkan
ubat sapu untuk penyakit kulitnya. Belanja ulang-alik itu memakan duit
pencen kerja kerajaan yang dia terima setiap bulan.
Sebelum ini, pesara kerajaan itu hanya ke hospital sekali sebulan
untuk mendapatkan ubat yang sama dari Hospital Queen Elizabeth.
Tetapi sejak kebelakangan ini, dia dan kawan-kawannya diberitahu
kakitangan hospital, ubat-ubatan terutama bagi masalah penyakit seperti
kolestrol tinggi dan darah tinggi terpaksa dicatu kerana tidak cukup
bekalan.
“Kami dinasihatkan untuk datang mendapatkan ubat setiap minggu.
Selalu mereka cakap tak ada stok,” kata Chong
“Ini menyusahkan untuk orang umur macam saya yang terpaksa bawa
kereta sendiri untuk ambil ubat,” katanya, sambil merungut susahnya
mendapatkan tempat parkir di kawasan hospital itu.
Masalah sama juga dilaporkan di beberapa hospital kerajaan di serata Malaysia.
Pesakit dan ahli keluarga pesakit yang ditemui The Malaysian Insight
memberitahu mereka sukar mendapatkan bekalan ubat sama ada untuk diri
sendiri atau untuk anak-anak dan ibu bapa yang tua.
“Stok tidak cukup” dan “pesakit digalakkan beli ubat sendiri” adalah
antara jawapan yang diberikan kepada pesakit oleh hospital kerajaan di
Lembah Klang apabila mereka meminta ubat lebih atau bekalan untuk
mencuci dan membalut luka.
Kesulitan yang mereka hadapi ini mencetuskan kebimbangan kerajaan
memotong peruntukan kepada Kementerian Kesihatan, sehingga menjejaskan
bekalan ubat di hospital dan klinik kerajaan.
Guru tuisyen Azila Ismail memberitahu anaknya dimasukkan ke wad
kanak-kanak di Hospital Selayang selama seminggu lewat tahun lalu
selepas kulitnya melecur dalam satu kemalangan di rumah.
“Hanya ada satu ubat untuk lecur tetapi pihak hospital beritahu saya
tidak ada stok. Saya terpaksa beli sendiri dari farmasi swasta dan
harganya agak mahal,” kata ibu 39 tahun itu.
Timbalan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Dr Jeyaindran
Sinnadurai mengaku hospital kerajaan berdepan dengan masalah ini tetapi
menekankan ia bukan kerana perbelanjaan kementerian sudah dipotong.
Malah, kementerian menerima tambahan RM2 bilion melalui Bajet 2017, menjadikan jumlah keseluruhannya RM24 bilion.
Isunya, kata Dr Jeyaindran, ada dua: jumlah keseluruhan pesakit yang
datang mendapatkan rawatan di hospital kerajaan pada tahun ini meningkat
20% dan masalah pada vendor yang bertanggungjawab membekalkan ubat
berdepan.
Dua isu itu bagaimanapun dijangka akan selesai dalam masa dua tiga
minggu akan datang, kata Dr Jeyaindran, dan pesakit akan mendapat
bekalan ubat bulanan seperti biasa.
Berita ini pasti menenangkan orang seperti Yapp Ling Yong, 39, dari
Kota Kinabalu, yang selalu ke hospital mengambil ubat untuk ayahnya yang
sudah berumur 80 tahun, Yapp Chong Lim.
Ayahnya menghidap penyakit darah tinggi, kolestrol tinggi, kelenjar
prostatnya membengkak, ditambah pula masalah paru-paru dan kemurungan.
“Kami diberitahu ubat di hospital tak cukup. Selalunya mereka beri ubat untuk 30 hari tetapi sekarang hanya 10 atau 15 hari.”
Ibu tunggal, Hairani Halim, 57, berharap hospital kerajaan boleh
menimbangkan memberikan balutan luka yang lebih untuk pesakit yang
berpendapatan rendah sepertinya.
Hairani menerima rawatan kencing manis di Hospital Besar Kuala Lumpur sejak setahun yang lalu.
Dua jari kakinya sudah dipotong dan dia berulang-alik ke hospital untuk pemeriksaan doktor dan cuci luka.
“Dulu saya biasa dapat balutan lebih. Tetapi tahun ini jururawat
beritahu hospital galakkan kami beli sendiri. Jadi saya belilah dari
farmasi,” katanya
“Saya tidak ada sebarang pendapatan dan saya bergantung sepenuhnya pada duit anak-anak.”-The Malaysian Insight.
Ubat habis stok, pesakit mengadu terpaksa kerap ulang-alik ke hospital
Reviewed by DetikDaily
on
Ogos 14, 2017
Rating: 5
Tiada ulasan