Header Ads


Terkini

Siapa remaja bikin kacau di ‘Nothing to Hide 2.0’, tanya Syed Saddiq

TIGA remaja yang ditahan kerana disyaki mencetuskan kekacauan semasa forum “Nothing to Hide 2.0” di Shah Alam semalam, bukan ahli sayap Pemuda Bersatu, kata ketuanya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Syed Saddiq menjelaskan ada syarat umur yang ditetapkan untuk jadi ahli sayap pemuda itu dan semakan keahlian dengan Bersatu juga menunjukkan tiga remaja berumur 17, 18 dan 19 tahun itu bukan ahli partinya.

“Mereka sama sekali bukan ahli PPBM,” katanya dalam satu kenyataan, merujuk kepada akronim Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

Syed Saddiq mendakwa tiga remaja itu hanyalah remaja upahan yang menyamar sebagai ahli sayap pemuda itu dengan memakai kemeja-T tetapi ia bukan kemeja-T rasmi mereka.

“Persoalannya, jika mereka bukan ahli PPBM, siapakah yang telah memperalatkan mereka untuk cubaan mencederakan Dr Mahathir?” tanyanya.

Forum “Nothing to Hide 2.0” yang berlangsung di Dewan Raja Muda Musa Shah Alam semalam berakhir dengan kekecohan apabila beberapa pemuda melempar kerusi, kasut dan membakar suar menyebabkan Dr Mahathir yang sedang berucap di pentas di bawa keluar dewan serta merta.

Susulan kejadian itu, tiga suspek yang didakwa mencetuskan kekecohan itu berjaya ditangkap dan diserahkan kepada polis.

Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Shafien Mamat, polis menahan tiga suspek berumur 17 hingga 19 tahun. Dua daripada suspek adalah pelajar sebuah kolej di Selangor.

Tiada ulasan