Header Ads


Terkini

Kemunafikan Karya Tempatan

OLEH : ONN ISMAIL 

Seperti menjadi satu fenomena yang mana penggiat seni (drama tv) kerap menghasilkan karya yang munafik sifatnya. Gambaran yang diberikan terhadap masyarakat yang digarap melalui idea dan imaginasi selalunya berpaksikan kekayaan, kemewahan dan rawatib mengejar jejaka atau suami orang disamping mengeksploitasi pelakon-pelakon ganteng dengan tajuk-tajuk yang tidak masuk akal. Dari askar hingga ke abang bomba semuanya dieksploitasi sedemikian rupa.

Tidak dinafikan, bahawa ianya sekadar hiburan halwa mata bagi surirumah atau kakitangan syif yang akan mengikuti setiap slot drama yang kebanyakannya bersiri sehingga kadangkala terleka akan tanggungjawab harian mereka.

Apa yang menjadi persoalan disini, apakah keperluan menghasilkan karya sebegitu rupa? Itukah realiti masyarakat kita masa kini yang cukup mewah, berumahkan banglow, pekerjaan yang cukup hebat dan memiliki kereta-kereta mewah yang begitu mengasyikkan jiwa. Atau juga memang sudah sifat wanita negara ini yang memiliki sifat busuk hati menginginkan jantan atau kekasih orang dianggap sebagai perkara wajib yang tuntas untuk dihidangkan kepada masyarakat? Sesungguhnya
setuju atau tidak pengkarya terbawa-bawa dengan pengaruh drama Indonesia dan Hindustan yang berbelit-belit walaupun sesuatu perkara itu tidaklah begitu se kompleks mana.

Sewajarnya pengkarya perlu peka terhadap maslahah masyarakat sekeliling dan bersikap jujur dalam penghasilan karya. Faktor keuntungan sudah pasti, tetapi bukankah mengejar keuntungan tanpa memikir tanggungjwab sosial kepada masyarakat itu suatu kedangkalan? Kalau diturutkan, terlalu banyak persoalan masyarakat yang perlu diketengahkan oleh pengkarya selain soal cinta, cinta 3-10 segi dan penipuan kemewahan! Persoalan jenayah, ketagihan dadah yang meruncing, pecah amanah, pengangguran, ibu tunggal, permasalahan gelandangan, cerita-ceria desa dan pedalaman sewajarnya diangkat supaya menjadi satu karya yang matang. Kita ketandusan dengan karya seperti Cikgu Limau Kasturi, Matinya Seorang Patriot dan Bukit Kepong (sekadar beberapa contoh).

Paling tidakpun, berilah suatu anjakan yang berbeza dalam memenuhi ruang karya yang tidak terbatas. Kita tidak perlu se imaginatif Walt Disney atau Jerry Brukhheimer dalam penghasilan karya. Cukuplah Kita mengekalkan identiti bangsa tanpa menjual kemunafikan untuk mengejar keuntungan semata-mata. Para pelakon yang berhijab perlu mengekalkan batas dalam adegan dan tidak perlulah membuka hijab atas alasan yang tidak masuk akal.

Akhirnya penulis mencadangkan agar satu dokumentari khas tentang kepayahan dan kesukaran seorang anak muda Melayu yang menempa nama di persada dunia dengan penghasilan karya Wolf Of Wall Street dijadikan bahan yang cukup kompetetif sebagai pembakar semangat karyawan mengangkat martabat Ketamadunan Bangsa!




Tiada ulasan