Header Ads


Terkini

Umno, BN makin tersepit

Oleh Syed Ibrahim Syed Noh  

Beberapa hari ini timbul soal hubungan dan kesetiaan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kepada Datuk Seri Najib Razak akibat “serangan” yang dilancarkan oleh timbalan perdana menteri itu ke atas Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pada 30 Julai, Ahmad Zahid mengungkit sejarah Dr Mahathir yang berketurunan dari India dan mendakwa bekas perdana menteri itu mempergunakan orang Melayu selama 22 tahun pentadbirannya.

Keesokannya pada 31 Julai, Dr Mahathir mencabar Ahmad Zahid membuktikan dakwaannya tersebut malah menyifatkan beliau sebagai kaki pembohong.

Beliau mendakwa Ahmad Zahid mempunyai cita-cita mengambil alih jawatan perdana menteri dan pernah membuat pengakuan kepadanya bahawa dirinya memiliki RM230 juta dalam akaun banknya.

Ahad lalu, Najib menyatakan keyakinan penuh terhadap kesetiaan timbalannya meskipun Dr Mahathir cuba menimbulkan keraguan. Malah pada hari sebelumnya, Ahmad Zahid berikrar akan terus setia kepada kepimpinan Najib melalui kalimah sumpah.

Katanya, taat setia yang dilafazkan itu bagi menangkis dakwaan yang dilemparkan ke atasnya iaitu mahu menggulingkan Najib.

Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein turut mempertahankan persefahaman antara dirinya dengan timbalan perdana menteri dan perdana menteri serta menyifatkan usaha pembangkang untuk melaga-lagakan mereka tidak akan berjaya.

Hmm menarik! Serangan politik memang menjadi adat resam dalam gelanggang pencak silat berpolitik.

Itu biasa, terutama menjelang pilihan raya umum (PRU). Cuma dalam kes ini, serangan pertama atau the first salvo telah dibuat oleh Ahmad Zahid terhadap Dr Mahathir tetapi kelihatannya yang terpaksa banyak bertahan ialah penyerang itu sendiri.

Yang dikatakan cuba menimbulkan keraguan ialah Dr Mahathir. Yang dikatakan cuba melaga-lagakan antara mereka ialah pembangkang, sedangkan serangan awal dilakukan oleh Umno BN sendiri.

Mengapa begitu? Apakah kerana muafakat Pakatan Harapan menggugat kekuatan BN?
Apakah kerana kedudukan Ahmad Zahid sebagai timbalan perdana menteri tidak kukuh, hanya sebagai pengganti sementara? Apakah kerana “serangan balas” Dr Mahathir merencatkan cita-cita politik Ahmad Zahid?

Apakah memang benar wujud persaingan kuasa antara Najib, Ahmad Zahid dan Hishammuddin? Peribahasa “kalau tiada angin, masakan pokok bergoyang” mungkin sesuai di sini.

Kenaikan harga barangan

Pada pendapat saya, jawapan kepada soalan-soalan ini tidak begitu penting kerana ia berupa gerakan percaturan politik yang boleh berubah-ubah.

Bahkan, apa-apa pun jawapan yang diberi boleh menimbulkan lebih banyak persoalan yang akhirnya menjadi polemik yang tiada kesudahan.
Yang lebih penting ialah apakah kesannya kepada nasib dan masa hadapan rakyat. Agenda rakyat berkait bread and butter atau mata pencarian utama sebenarnya yang bakal menentukan keputusan dalam PRU-14 kelak.

Bukankah lebih penting untuk perdana menteri, timbalan perdana menteri dan yang sewaktu dengannya untuk menumpu perhatian terhadap isu penyelesaian hutang 1MDB sebanyak RM2.58 bilion yang terlepas tarikh luputnya pada 31 Julai lalu?

Bukankah lebih penting untuk menyelesaikan masalah Felda yang kini mengalami kerugian setiap tahun dan masalah peneroka yang tidak boleh selesai hanya dengan pemberian durian runtuh yang tidak jelas dari mana sumber wangnya?

Bukankah lebih penting untuk memastikan ekonomi negara berkembang dengan kadar inflasi atau kenaikan harga barang terkawal, kadar pengangguran yang rendah, kos sara hidup yang seimbang dan cukai yang tidak membebankan rakyat?

Hujung minggu lalu, saya berkesempatan bertemu rakyat dan peniaga di sekitar Parlimen Ledang, Johor. Meskipun tidak bertemu ramai, namun pandangan yang mereka beri membayangkan suasana yang dihadapi oleh rakyat sekarang. Ia tidak banyak berubah sejak beberapa tahun.

Ada peniaga pasar pagi dan pasar malam yang mengeluh terpaksa mengenakan harga yang lebih tinggi kerana tiada kawalan terhadap kenaikan harga barang.

Kata mereka, pengguna tidak membeli seperti dahulu, justeru pendapatan peniaga juga kurang. Harga ikan kembong naik sehingga RM18-20 sekilo. Harga udang naik sehingga RM30 sekilo. Harga ikan tongkol naik sehingga RM10-13 sekilo.

Apabila ditanya pengguna, pembeli atau rakyat, mereka juga mengeluh dengan kenaikan harga barang dan kos sara hidup.

Menurut mereka, meskipun cukai GST dibayar oleh semua rakyat dan membawa pendapatan negara sehingga lebih RM40 bilion setahun, tetapi hidup mereka tidak semudah yang disangka.
Contohnya, terdapat suami isteri yang bekerja tetapi perlu mengeluarkan wang yang banyak untuk menyara ibubapa dan anak-anak.

Gagal dapat biasiswa

Juga ada yang terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk membiaya anak-anak ke universiti samada untuk membayar sendiri atau membuat pinjaman PTPTN.

Malah ada yang mengeluh, walaupun anak memperolehi keputusan akademik yang amat baik, namun gagal memperolehi biasiswa seperti dahulu.
Sebab itulah sejurus mendapat mandat rakyat dalam PRU-14, dalam tempoh 100 hari pertama setelah membentuk kerajaan, HARAPAN komited untuk menghapuskan GST; menstabilkan harga petrol; memberi fokus kepada usaha meringankan beban rakyat; memulakan proses reformasi institusi secara menyeluruh; memerangi rasuah hingga ke akar umbi; menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Di-Raja Skandal 1MDB; dan memulihkan Felda.

Pengkritik mengatakan semua ini retorik tanpa perincian, malah tiada penjelasan bagaimana ia akan dilakukan. Kata mereka, ia bertujuan untuk menipu rakyat dan penyedap hati rakyat sahaja. Malah kata mereka, pembangkang tiada pengalaman mentadbir sebagaimana Umno BN.

Satu perkara yang pengkritik perlu jelas ialah semua yang disebutkan oleh HARAPN itu merupakan keluhan utama rakyat. Ia seharusnya menjadi tanggungjawab parti pemerintah tetapi gagal dilaksanakan dengan baik, malah menyebabkan negara dan rakyat berada di persimpangan.

Perjuangan bela rakyat

Sama ada kekal dan reda dengan segala kepincangan dan pengalaman buruk di bawah Umno BN atau lakukan perubahan dan meletakkan kepercayaan kepada iltizam dan pengalaman berteraskan perjuangan pembelaan rakyat di bawah HARAPAN.

Penghapusan cukai GST, menstabilkan harga petrol, memulihkan Felda, mereformasi institusi secara menyeluruh - bukan retorik, bukan penipuan dan bukan penyedap hati sahaja.

Ia ada penyelesaian sekiranya ada keazaman politik dan keprihatian sebenar terhadap derita rakyat seperti yang ada pada PH.

Seperti yang pernah saya sebutkan dalam rencana-rencana terdahulu, perinciannya telah sedikit demi sedikit dihuraikan oleh pimpinan HARAPAN melalui risalah, buku panduan, kenyataan dan tindakan di dalam dan luar parlimen.

Rakyat boleh membaca dan menilai tetapi pengkritik selalunya membutakan mata dan mempekakkan telinga kepada saranan pembangkang. Contohnya, cukai GST boleh diganti dan ada kaedah penggantiannya.

Reformasi institusi seperti PDRM, SPRM, malah institusi kehakiman negara sudah banyak cadangan daripada pelbagai pihak termasuk Suruhanjaya DiRaja tetapi tidak terlaksana.

HARAPAN tegas menegakkan keadilan dalam institusi negara khususnya dalam sistem pengasingan kuasa antara legislatif, eksekutif dan kehakiman tetapi Najib jelas terus mahu memusatkan kuasa.
Ini jelas nampak dalam kes pelantikan hakim tambahan lalu melanjutkan jawatan Ketua Hakim Negara melebihi paras umur 66 tahun 6 bulan lantas melanggar apa yang termaktub dalam perlembagaan.

Memang benar HARAPAN tidak mempunyai pengalaman mentadbir negara kecuali di Selangor dan Pulau Pinang, namun kami juga tidak mempunyai pengalaman merompak dan menyelewengkan wang rakyat seperti mana yang wujud dalam kerajaan parti pemerintah Umno BN.

Justeru penerangan dan pendengaran suara hati rakyat dari akar umbi akan terus dilaksanakan oleh HARAPAN seperti jelajah Sayangi Malaysia dan Hapuskan Kleptokrasi serta usaha yang dilakukan oleh Rafizi Ramli dalam jelajah Bina Semula Negara.

Segala tindak tanduk Umno BN mempertahankan dirinya daripada serangan pembangkang berkait krisis kepimpinannya hanya akan merugikan Umno BN dan menguntungkan pembangkang.

Biar PRU datang September, Oktober, November atau tahun hadapan,HARAPAN sudah pasti menggugat Umno BN dalam PRU14. Najib sudah tersepit dan jalan keluar semakin sempit.

Tiada ulasan