Header Ads


Terkini

Perbandingan jujur Dr Mahathir-Najib

Oleh Timmy Say

Jika BN ialah Windows, maka Tun Dr Mahathir boleh dianggap sebagai pembina Windows 98 manakala Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pula menaiktarafkannya ke Windows 10.
Terdapat banyak persamaan di antara Dr Mahathir dan anak didiknya Najib.

Dr Mahathir menegaskan bahawa di zamannya BN berjaya memenangi setiap pilihan raya sehingga membentuk sebuah kerajaan disebabkan pihak pembangkang tidak pernah bersatu.

Anak didiknya juga memahami bahawa keadaan ini menguntungkan BN. Setelah Langkah Kajang yang meretakkan hubungan antara parti-parti pembangkang, Najib kini mendapat kelebihan yang sama seperti yang pernah dinikmati Dr Mahathir di zamannya.

Terfikir akan kehebatan Windows 98nya, Dr Mahathir teringat adanya feature dinamakan Ops Lalang lalu beliau membuat ramalan bahawa Najib turut akan bertindak sepertinya dengan melakukan penahanan beramai-ramai sebelum pilihan raya umum ke-14.

Apa tidaknya? Di zamannya, hanya ada ISA sebagai firewall. Di zaman Najib, firewall sudah dinaik taraf menjadi Sosma dan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang memberikan kuasa kepada perdana menteri kuasa untuk mengisytiharkan darurat bagi ‘satu kawasan atau kawasan-kawasan tertentu’.

Akta Hasutan Diganti Dengan Akta Keharmonian Nasional untuk menjaga mulut-mulut menghasut terlampau.

Sudah pasti Dr Mahathir terbayang apa yang akan dibuatnya kalaulah senjata-senjata ini ada di tangannya di zamanya, hatta begitulah ramalannya.

Di zaman Dr Mahathir juga, beliau terpaksa bertempur dengan serangan ransomware yang hebat terhadap Windows 98 iaitu Anwar. Anwar berjaya dinyahkan, tapi kerosakan reputasi pada Window 98 dan Dr Mahathir adalah sangat ketara. Negeri Terengganu yang kaya jatuh ke tangan PAS.
Najib juga berdepan dengan serangan ransomware iaitu Muhyiddin. Muhyiddin telah berjaya dinyahkan. Cuma kerosakannya nampak tidak seberapa, menandakan firewall Windows 10 adalah jauh lebih hebat berbanding Windows 98.

Dari sudut ekonomi dan nilai ringgit, kedua-duanya mengalami nasib yang sama. Di zaman Dr Mahathir, ringgit menjunam sehingga terpaksa ditambat pada RM3.80 kepada ASD$1. Di zaman Najib, ringgit juga menjunam satu ketika ke RM4.50 sebelum pulih ke RM4.20 kepada ASD$1.

Daripada sudut kemarahan rakyat, ada sedikit perbezaan. Dr Mahathir berdepan dengan kemarahan rakyat pedalaman, terutamanya para pengundi Melayu yang marah ekoran pemecatan Anwar.
Najib pula berdepan dengan kemarahan rakyat di kawasan bandar yang marah lanjutan daripada pentadbiran Tun Abdullah Badawi dan juga skandal 1MDB.

Dari sudut skandal, sebenarnya di zaman Dr Mahathir lebih banyak skandal berbanding Najib. Cuma bezanya skandal di zaman Najib mendapat liputan lebih meluas kerana adanya internet manakala skandal di zaman Dr Mahathir disebarkan melalui suratkhabar. Barangkali sebab itu, RCI kepada skandal forex akan bermula 8 Ogos ini untuk diberikan penyebaran di zaman internet supaya perbandingan yang setara dapat dilakukan di antara skandal di zaman Dr Mahathir dengan skandal di zaman Najib.

Perbezaan ketara zaman Dr Mahathir dan zaman Najib hanyalah pada kelajuan dan penetrasi internet dan media sosial. Kedua-dua senjata ini bagaikan perumpamaan terhadap air – di mana air boleh mengapungkan perahu, dan juga boleh menenggelamkan perahu.

Bolehkah Windows 98 yang diberikan nafas dan peranti baru di zaman internet dapat menangangi Windows 10?

Politik Malaysia memasuki fasa zaman pembodohan, pendek ingatan dan emosi. Sesiapa yang tidak mahu berfikir, pendek ingatan dan mudah dienjut emosinya pasti menjadi mangsa pertama kepada ahli-ahli politik zaman ini.

Tiada ulasan