Header Ads


Terkini

Exco Pulau Pinang ditahan SPRM semasa memberi kenyataan

GEORGE TOWN: Exco Pulau Pinang Phee Boon Poh ditangkap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang sedang menyiasat sebuah kilang penapis karbon haram di Bukit Mertajam, kata peguamnya hari ini.

RSN Rayer “bingung” mengapa anak guamnya ditangkap walaupun beliau secara sukarela pergi ke pejabat SPRM untuk diambil keterangan.

Rayer berkata Phee, yang juga Adun Sungai Puyu, akan dibawa ke mahkamah pagi esok untuk direman.

“Ketika kenyataannya diambil, kami diberitahu Putrajaya mengarahkan beliau ditangkap.
“Kami tidak diberitahu mengapa beliau ditangkap.

“Saya secara peribadi merayu kepada pegawai untuk membiarkannya balik selepas disoal malam ini. Mereka kata akan pertimbangkannya,” kata Rayer kepada pemberita di luar ibu pejabat SPRM.
Phee dan Rayer tiba di pejabat SPRM pada 2.40 petang, tetapi mereka tidak melayan sebarang soalan dari pihak media.

Terdahulu, pegawai SPRM melawat Phee di pejabatnya di Komtar pada 11.30 pagi dan beredar dari situ 2 jam kemudian bersama beberapa dokumen yang mungkin diambil dari pejabatnya.

Walaupun para pegawai tidak menyatakan alasan serbuan itu, ia dipercayai ada kaitan dengan kes sebuah kilang yang mendapati melanggar peraturan alam sekitar.

Phee sebelum ini ditahan kerana menjadi sebahagian daripada Skuad Peronda Sukarela atau PPS, yang dilarang Kementerian Dalam Negeri. Namun beliau bersama kira-kira 160 anggota PPS yang diberhentikan ketika mengambil bahagian dalam perbarisan Merdeka pada 2014 tidak didakwa.
Serbuan hari ini selepas operasi pelbagai agensi semalam di kilang memproses serbuk kayu di Bukit Mertajam, yang didapati melanggar banyak peraturan persekutuan.

Jabatan Alam Sekitar mendapati kilang itu tidak mempunyai sistem kawalan pencemaran udara yang sesuai.

Kilang itu juga didakwa beroperasi secara haram di tanah pertanian di Sungai Lembu.
SPRM, Jabatan Imigresen, Jabatan Alam Sekitar dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bersama-sama menjalankan operasi itu.

Selain kilang itu, jabatan perlesenan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) turut diserbu SPRM semalam. Para pegawai beredar dari situ bersama timbunan dokumen.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki mengesahkan serbuan itu semalam tetapi tidak mendedahkan butiran lain.

Seorang penduduk memberitahu The Sun kilang itu mengeluarkan asap berbahaya sejak “15 tahun” lalu, tanpa tindakan yang diambil pihak berkuasa di sini.

Tiada ulasan