Header Ads


Terkini

Waris desak Malaysia terima tawaran syarikat AS cari MH370

WARIS penumpang dan anak kapal MH370 mendesak Malaysia menerima tawaran syarikat Amerika Syarikat (AS) untuk memulakan pencarian pesawat hilang itu, di mana operasi mencarinya dihentikan awal tahun ini.

Pesawat yang hilang pada Mac 2014 dengan 239 penumpang dan anak kapal itu masih belum ditemui dengan pencarian dilakukan di laut dalam di selatan Lautan Hindi di barat Australia sebelum ia dihentikan pada Januari.

Ocean Infinity, syarikat penerokaan laut dalam yang mempunyai kapal pencarian dasar laut yang canggih, mengesahkan pada minggu lalu ia menawarkan untuk menyambung semula operasi mencari itu.

Pihak berkuasa Malaysia berkata perbincangan sedang dijalankan dan syarikat itu hanya meminta bayaran jika pesawat itu ditemui.

Voice 370, kumpulan waris MH370 menggesa pihak berkuasa menerima tawaran itu, dan dalam satu kenyataan berkata: “Mengapa Malaysia tidak mahu menerima tawaran yang menang-menang itu?”

Kumpulan itu berkata tawaran berkenaan dibuat sejak lebih empat bulan lalu dan ia patut diterima tanpa berlengah lagi, dan menggesa pihak berkuasa memberikan butiran lanjut kepada mereka.
Ocean Infinity atau kerajaan Malaysia tidak memberitahu bila cadangan itu dibuat.

“Kami sentiasa tidak tahu. Pihak berkuasa dalam operasi mencari tidak beritahu kami. Ia menyedihkan dan mengecewakan,” kata Grace Nathan, peguam dari Malaysia yang kehilangan ibunya, Anne Daisy dalam pesawat itu.

“Kami sentiasa tidak diberitahu apa-apa.”

Pegawai Kementerian Pengangkutan tidak dapat dihubungi untuk memberi komen.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Pengangkutan Aziz Kaprawi berkata perjanjian Australia dan China diperlukan untuk kata sepakat dicapai.

China, yang mempunyai paling ramai warganya dalam pesawat itu, dan Australia sama-sama terbabit dalam operasi mencari.

Hanya tiga cebisan MH370 ditemui di pantai Lautan Hindi, termasuk bahagian sayap berukuran 2 meter yang dikenali sebagai flaperon.

Agensi sains Australia CSIRO pada April berkata MH370 mungkin berada di utara zon pencarian sebelum ini – kawasan 120,000 kaki persegi yang dikenal pasti menerusi ping satelit dan anggaran jumlah minyak pesawat. – AFP

Tiada ulasan