Header Ads


Terkini

Dr Mahathir Yang Dihina, Zahid Sendiri Yang Kena

Oleh A Kadir Jasin 

ORANG kuat Tun Abdullah Ahmad Badawi, (Datuk Seri) Reezal Merican Naina Merican kata, berita kononnya (Datuk Seri) Ahmad Zahid Hamidi berjumpa Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad, untuk tagih simpati adalah pembohongan terbaharu Dr Mahathir.

Alasan Reezal bahawa dakwaan Dr Mahathir itu bohong ialah kerana dia (Reezal) bersama (Datuk) Nur Jazlan Mohamed Rahmat pernah dipanggil oleh Zahid untuk menyatakan sokongan sepenuhnya kepada Presiden Parti.

Ada dua isu di sini. Satu, Reezal kata Dr Mahathir bohong dan dua, tajuk berita surat khabar yang kata tidak ada pertemuan di antara Dr Mahathir dan Zahid.

I su ini bukanlah susah sangat untuk disahkan. Kalau Dr Mahathir bohong, Zahid boleh buktikan dengan menyiarkan rakaman yang kononnya dia buat semasa pertemuan dengan bekas Perdana Menteri itu.

Zahid kata dia ada buat rakaman. Biasalah. Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri tentu ada macam-macam kemudahan untuk intip dan rakam peristiwa sulit sama ada yang babitkan kegiatan beliau atau kegiatan orang lain, khususnya musuh politik beliau.

Tapi berkenaan tajuk berita yang menafikan pertemuan di antara Zahid dengan Dr Mahathir, saya keliru sikit sebab Zahid sendiri mengaku jumpa Dr Mahathir dan siap buat rakaman.

Bukan itu saja, Zahid berkata dia berjumpa Dr Mahathir 10 hari selepas dilantik menjadi TPM dan dengan izin restu Perdana Menteri (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil) Mohd Najib Abdul Razak, sendiri.

Tapi semestinyalah dia menafikan yang tujuan pertemuan itu ada kena mengena dengan rancangan menjatuhkan Najib.

Reezal budak kanyir (hanyir) ketika Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri. Tapi dia dewasa dan menceburi politik pada zaman Dr Mahathir. Namun itu tidak menghalangnya membuat tuduhan terhadap Dr Mahathir.

Mengutuk dan menghina Dr Mahathir kini modal utama ketua-ketua Umno. Tujuan mereka bukan lagi untuk meyakinkan rakyat jelata tetapi bagi melegakan hati Najib agar mereka terus diberikan dedak dan restu.

Tapi kita pun tahu Reezal dan Nur Jazlan adalah antara Ahli Parlimen Umno yang paling kritikal terhadap Najib apabila skandal 1MDB terbongkar. Bagaimana pun, mereka berubah menjadi penyokong tegar Najib apabila diberikan dedak melalui pelantikan sebagai timbalan menteri.

Saya yakin, kalau bukan Najib sendiri, penasihat Najib tahu bahawa Reezal dan Nur Jazlan tidak sukakan beliau dan mungkin terlibat dengan rancangan menjatuhkan beliau.

Jawapan Najib “the King of Cash” mudah saja – bagi mereka jawatan lebih tinggi.
Saya pun tidak salahkan mereka kalau mereka nampak macam orang mabuk todi. Memang pening dengan cerita Najib dan Zahid ni!

Kalau Najib kuat “spin”, Zahid lagi hebat putar-belit – sampai dia sendiri pening dan orang ramai susah nak bezakan yang mana satu cerita dogeng dan yang mana satu berita benar.

Macam putar-belit dia mengenai nama dan keturunan Dr Mahathir. Dia terlupa bahawa selain Jawa, Minang, Bugis dan Aceh, ramai dalam Umno adalah India Muslim. Reezal adalah salah seorang daripadanya.

Jadi apabila muncul dakwaan kononnya dia dilahirkan di Indonesia, banyak orang percaya. Saya tanya Setiausaha Akhbar beliau, (Datuk) Ibrahim (Tiger) Yahaya, melalui Facebook.
Dia kata palsu. Saya kata, pamerkan Sijil Kelahiran Zahid sebagai bukti. Saya tak pasti kalau sudah dipamerkan atau belum.

Menarik juga episod bodoh ini. Zahid hina keturunan Dr Mahathir tetapi akhirnya dia sendiri terpaksa sumpah ““Wallahi, wabillahi, watallahi” kerana takut Najib tak percaya kepada dia lagi.

Dalam tampalan Facebook, Zahid berkata: ““Wallahi, wabillahi, watallahi selagi saya diberi kepercayaan saya akan membantu yang amat berhormat presiden parti yang juga perdana menteri Malaysia. Saya akan terjemahkan kewalakan, ketaatsetiaan dan kerja keras untuk Datuk Seri Najib Abdul Razak, Insha Allah.”

Kalau dia tak buat macam budak jahat yang lastik sarang tabuan dengan mempersendakan nama dan keturunan Dr Mahathir, dia tidak akan dibelasah begitu teruk dan hina sekali. Tapi nampaknya mulut Zahid lebih laju daripada otaknya.

Yang tersenyum lebar adalah musuh-musuh politik beliau dalam Umno. Rasanya mereka sedang mengasapkan keris untuk menikam beliau dari belakang.

Ingatlah, Najib sendiri berkata keris sudah diasah dan memerintahkan askar siber Umno supaya “attack, attack, attack”. Silap-silap Zahid yang jadi sasaran serangan mereka.
Wallahuaklam.






















Tiada ulasan