Header Ads


Terkini

'Tun memang pendendam...'

Oleh IDRIS AHMAD

 Apa lagi Tun Dr Mahathir Mohamad hendak tuduh PAS selepas ini?

Semua orang tahu Tun seorang yang pendendam, sukar untuk memaafkan. Jikalau dia sayang seorang, maka janganlah pula ada orang pergi jumpa beliau beritahu individu ini demikian, demikian. Beliau tidak akan terima. Malahan dia marah balik kepada pengadu.

Kalau dia benci seseorang, sampai lubang cacing dia akan buru.

Tentu kita masih ingat apa yang beliau tidak tuduh Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam isu liwat. Beliau tetap buat tuduhan walaupun dinafikan berkali-kali.

Tun memang pendendam dengan PAS. Kerana Tun tidak boleh terima Islam yang hendak dibawa oleh PAS. Tun pernah tuduh ini hudud PAS. Apabila dicabar mana pula hudud Umno, sehingga kini tidak terjawab.

Ulama pengampu Umno tidak mampu untuk draf hudud ala Umno dan tolak hujah ulama PAS. Tun Mahathir dendam dengan Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz sehingga selepas meninggal dunia pun Tun balun Nik Aziz dalam ceramah di Tanah Merah, Kubang Pasu.

Ceramah ini turut disertai oleh pemimpin Parti Amanah Negara (AMANAH). Mereka kelu dan tidak berkata apa-apa walaupun Tun hentam almarhum Nik Aziz.

Mana dakwaan pemimpin AMANAH yang kata Nik Aziz ikon perjuangan mereka? Satu pembohongan.
Tun pernah tuduh PAS lebih berbahaya daripada komunis, walaupun hakikatnya Siddiq Ghouse, Setiausah Politik Dr Mahathir ketika beliau menjadi menteri pelajaran 1974-1975 ditahan ISA sebagai agen komunis.

Macam kokok berderai-derai

Tun pernah tuduh PAS ditubuhkan penjajah. Hakikatnya Umno adalah anak emas penjajah. Kerana ketika semua parti haluan kiri seperti Hizbul Muslimin, Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS) diharamkan pada 1948, Umno berada dalam dakapan penjajah.

Sejarah yang jelas pun Tun boleh tipu, apalah sangat dalam perkara lain.

Sekarang Tun tuduh PAS pemecah-belah pembangkang. Satu kenyataan kelakar. Dulu beliau kata PAS pemecah belah orang Melayu sewaktu beliau bermaharajalela selama 22 tahun.

Hakikatnya beliaulah bapa pemecah-belah masyarakat dan Melayu. Tiga timbalan perdana menteri - Tun Musa Hitam, Tun Ghafar Baba dan Datuk Seri Anwar Ibrahim - terpelanting. Umno pecah dua kepada team A dan team B.

Beliau hanya menang majoriti 43 undi dengan Tengku Razaleigh Hamzah. Akhirnya mahkamah telah mengharamkan Umno pada 1987.

Lahirnya Parti Semangat 46 dan PKR semuanya zaman beliau. Tiba-tiba Tun kata PAS sebagai pemecah-belah. Tun ini seperti berkokok berderai-derai, ekor bergelumang tahi.

Zaman beliau Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abbas dipecat. Tidak pernah berlaku dalam sejarah negara, tetapi berlaku zaman beliau. Sebelumnya institusi kehakiman di negara ini cukup dihormati.

Tun bapa pemecah-belah Melayu. Buktinya royalti minyak Terengganu ditarik. Sedangkan jelas tercatat di dalam perjanjian, 5 peratus mesti diberi kepada negeri yang ditemui minyak.

Sekarang perkara ini diteruskan sehingga zaman Datuk Seri Najib Razak. Siapa yang punya angkara? Apakah Terengganu bukan negeri Melayu?

Rumusannya kalau Tun kata kepada PAS, 10 yang dia cakap 13 tidak boleh percaya. Perlu diingat, semasa beliau berkuasa selama 22 tahun PAS lawan beliau, inikan pula beliau tidak ada kuasa.
Tolak BN dan Pakatan Harapan, pilih PAS dan Gagasan Sejahtera.

IDRIS AHMAD ialah naib presiden PAS dan anggota parlimen Bukit Gantang, Perak.

Tiada ulasan