Header Ads


Terkini

Memomokkan DAP taktik lama Umno, kata Tariq

PETALING JAYA: Seorang ahli majlis tertinggi PPBM membidas Setiausaha Akhbar Perdana Menteri Datuk Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad kerana menggunakan “taktik” lama Umno untuk memomokkan DAP dengan menggambarkan parti itu sebagai parti tertinggi Pakatan Harapan.

Tariq Ismail berkata dakwaan Sariffuddin kononnya Ketua Ahli Parlimen DAP Lim Kit Siang mengawal PH dari belakang tabir itu cuma cubaan mempermainkan emosi orang Melayu.
“Sememangnya taktik Umno memomokkan DAP bukan suatu fenomena baru,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Rasanya sudah berulang kali mereka cuba mempermainkan emosi masyarakat Melayu dan memainkan sentimen perkauman kononnya tampuk kepimpinan negara bakal diambil alih oleh DAP sekaligus mengganggu gugat kedudukan istimewa orang Melayu.

“Apakah Umno begitu terancam dan tergugat kedudukan mereka di hati masyarakat Melayu sehingga sanggup memperbodohkan masyarakat Melayu kononnya parti-parti Melayu di dalam Pakatan Harapan bagai lembu dicucuk hidungnya oleh DAP?” tambahnya.

Tariq mendakwa Sariffuddin dengan begitu angkuh sekali menuduh kepimpinan Melayu dalam PH, termasuk daripada PPBM, PKR dan Amanah sebagai terlalu lemah sehingga boleh dipermainkan DAP.

Merujuk kepada jawatan perdana menteri, beliau berkata “hukum matematik” tidak membenarkan DAP mengambil alih tampuk kepimpinan negara.

“Saya juga ingin menegaskan, perumpamaan yang dibuat Tengku bahawa pemimpin-pemimpin Melayu yang selain Umno amnya terlalu lemah dan tolol sebenarnya mencerminkan keadaan di dalam Umno itu sendiri,” katanya.

“Ini terbukti dengan sendirinya setiap kali menteri-menteri kabinet Umno membuka mulut.”
Sariffuddin semalam berkata susunan kepimpinan PH ialah strategi “Ali Baba” di mana ia berwajah Melayu tetapi kuasa sebenar di belakang tabir.

Beliau berkata DAP dan Lim sedar orang Melayu tidak akan menyokong mereka sama sekali.
Beliau berkata mereka sedang bermain helah kerana pengaruh Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam PH semakin berkurangan maka mereka perlukan tokoh Melayu baharu – merujuk kepada bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad – di depan untuk menyamarkan mereka.
Sariffuddin berkata bukan rahsia lagi 1 undi untuk PH bererti 1 undi untuk DAP – bukan PKR, Amanah atau PPBM.

“Bagi Kit Siang, perikatan dengan Dr Mahathir bertujuan untuk memadamkan imej anti-Melayu dan anti-Islam. Tetapi apa yang Kit Siang tidak faham ialah orang Melayu sedar mereka sedang dipergunakan DAP,” katanya.
https://susukunyitplus.blogspot.my/

Tiada ulasan