Header Ads


Terkini

Malapetaka Rohingya tanpa penghujung

Oleh Azuar Fahmi Mohd. Ali 

MALAPETAKA kemanusia­an di negeri Rakhine, Myan­mar melibatkan pen­duduk etnik Islam Rohingya berulang lagi tanpa menampakkan sebarang penyelesaian.

Sehingga hari ini, kira-kira 290,000 orang etnik Rohingya terpaksa melarikan diri ke Bangladesh sejak operasi ketenteraan dilancarkan pada 25 Ogos lalu.

Malah agensi Program Maka­nan Sedunia (WFP) di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan angka berke­naan telah meningkat hampir 300,000 sekali gus mengeluarkan amaran tentang kekurangan dana bagi menyediakan bekalan makanan kecemasan untuk kesemua pelarian.

Tindakan kerajaan Myanmar menyalahkan pejuang Rohingya terhadap apa yang berlaku hanya­lah alasan yang terlalu dangkal, malah dunia sendiri mengetahui pemerintah negara itu tidak pernah mahu mengiktiraf Rohingya sebagai rakyatnya meskipun me­re­ka merupakan penduduk asal berdasarkan fakta sejarah.

Sebenarnya kemelut semasa tidak sepatutnya timbul sekiranya kerajaan Myanmar sejak awal lagi mengiktiraf hak Rohingya dan memberikan layanan yang sewajarnya seperti mana rakyat­nya yang lain.

Malah pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi yang dijulang sebagai seorang pejuang de­mok­rasi dan penerima anugerah Nobel Keamanan oleh dunia berdolak dalih dalam mempertahankan hak penduduk Rohingya yang digelar mereka sebagai ‘be­ngali’ yang berasal daripada Bangladesh.

Sukar untuk kita menerima alasan wanita itu bahawa kerajaannya menjaga kepentingan semua penduduk termasuk Rohingya, begitu juga kononnya masa tidak mencukupi untuk menyelesaikan masalah yang berakar umbi sejak bertahun-tahun lamanya.

Barangkali lebih mudah untuk Suu Kyi menyatakan bahawa tindakannya selama ini adalah untuk menjaga kepentingan sendiri atau pemimpin itu sebenarnya gagal untuk mempengaruhi pihak tentera yang sebelum ini diakui beliau mahu menghapuskan ma­sya­rakat Islam ini.

Masalah yang dialami oleh Rohingya sudah sepatutnya dibe­ri­kan titik noktah. Malangnya, tia­da keikhlasan yang jitu dalam kalangan negara dunia untuk me­nyelesainya dan dunia Islam sendiri lebih banyak melaung bantahan demi bantahan.

Kewarasan akal kita ternyata sukar untuk membenarkan panda­ngan bahawa krisis kemanusiaan ini tiada penghujungnya. Bukankah kita sering mendengar di mana ada kemahuan di situ ada jalan.

Malang sekali, penduduk Islam terus menjadi buah catur ne­ga­ra-negara kuasa besar dunia.

Tindakan Myanmar merapati China dan Rusia untuk mendapatkan sokongan jelas merupakan usaha terdesak untuk mengelak negara itu dikenakan sekatan kerana pengha­pu­san etnik yang dila­ku­kannya.

Kita harus menga­kui bahawa tindakan Myan­mar itu merupakan satu perencanaan cukup licik sebagai pe­nampan kepada hukuman terhadap perbuatan bejatnya yang selama ini tidak dise­nangi oleh negara Barat terutamanya Ame­rika Syarikat.

Ternyata pendu­duk Rohingya kini su­dah hilang tempat untuk menga­du biar­pun suara ta­ngisnya mampu di­de­ngar oleh Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) dan negara anggota ASEAN juga terikat ta­ngan dengan dasar berkecuali daripada menjaga tepi kain jirannya.

Tidak menghairankan apabila Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman pernah menyatakan negara anggota ASEAN telah berkali-kali menggesa Myanmar mencari penyelesaian terhadap isu itu secara aman, tetapi negara tersebut tidak menunjukkan kesediaan atau keinginan untuk berbuat demikian.

Sebenarnya malapetaka kemanusiaan ini bukan sekadar mengharap bantuan bermusim yang pastinya akan datang mencurah-curah selepas ini tetapi penyelesaian yang bersifat muktamad.

Benar sekali kata Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres baru-baru ini bahawa pihak berkuasa Myanmar perlu menamatkan keganasan di negara Rakhine dan mengambil langkah untuk menyediakan penduduk Rohingya di sana dengan kehidupan yang normal.

Rungutan dan nasib penduduk Rohingya yang tidak diselesaikan sekian lama mampu menjadi fak­tor yang akan mencetuskan ketidakstabilan rantau ini.

Soalnya, mahukah kerajaan Myanmar di bawah Suu Kyi mengubahnya.

















Tiada ulasan