Header Ads


Terkini

MAHB Perlu Segera Selesai Masalah Kerosakan AEROTRAIN

Oleh Dato' Abdullah Sani Bin Abdul Hamid

Saya ambil maklum mengenai laporan yang dikeluarkan beberapa media bahawa perkhidmatan keretapi aerotrain yang menghubungkan terminal utama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan bangunan satelit rosak pada petang 4 September lalu.

Berikutan insiden itu, dilaporkan penumpang yang berada didalamnya terpaksa berjalan kaki di atas landasan menuju ke terminal utama.

1. Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) seharusnya tegas dalam menyelesaikan masalah ini kerana berdasarkan laporan itu, kejadian ini bukanlah pertama kali berlaku sebaliknya masuk kali kedua dalam tempoh yang sangat singkat iaitu tiga bulan.

Dua tahun sebelum ini juga perkhidmatan tersebut turut mengalami kerosakan teknikal yang mana telah menyebabkan ratusan penumpang terkandas.

2. Bagi saya kejadian seperti ini tidak sepatutnya berlaku lagi pada ketika ini kerana masalah kerosakan dan teknikal sebelum ini seharusnya sudah dapat di atasi oleh pihak MAHB.

3. Walaubagaimanapun, saya musykil sekiranya terdapat sesuatu yang tidak kena dan saya ingin menggesa MAHB memberi laporan penuh masalah kerosakan perkhidmatan itu kepada Kementerian Pengangkutan supaya masalah sebenar dapat diketahui.

4. Selain itu, pihak MAHB seharusnya mempunyai tanggungjawab untuk meneliti kembali perkhidmatan aerotrain ini selepas masalah kerosakan berulang. Mereka juga perlu memastikan sekiranya keretapi tersebut sudah lama digunakan sehingga lebih 20 tahun, ianya perlu ditukar.

https://susukunyitplus.blogspot.my/
Jika perlu dibaiki sekalipun, lakukanlah penyenggaraan segera kerana itu adalah tanggungjawab MAHB untuk menyediakan perkhidmatan yang terbaik kepada penumpang dan memastikan keselamatan penumpang.

5. Saya juga ingin menegaskan supaya prosedur operasi standard (SOP) dikuatkuasakan terutama dalam keadaan aerotrain rosak, di mana penumpang tidak sepatutnya berjalan di landasan. Tindakan penumpang yang mengambil langkah sendiri itu jelas membahayakan nyawa mereka dan kita tidak mahu kejadian tidak diingini terjadi.

6. Saya juga ingin mencadangkan agar menambah perkhidmatan aerotrain di KLIA bagi mengelak kesesakan dan kerosakan teknikal.

Saya amat berharap agar MAHB mengambil tindakan segera dan memastikan kejadian sama tidak akan berulang lagi di masa hadapan.

YB Dato' Abdullah Sani Bin Abdul Hamid
Ahli Parlimen Kuala Langat
Parti KEADILAN Rakyat
Pakatan Harapan
#BinaSemulaNegara

Tiada ulasan