Header Ads


Terkini

Dinamika bekas Umno dan bekas PAS dalam Pakatan Harapan

Oleh Zin Mahmud

September adalah bulan ulang tahun kelahiran PPBM, Amanah dan Pakatan Harapan (PH).
PPBM menyambut ulang tahunnya yang pertama dan Amanah serta PH menyambut ulang tahunnya yang kedua. PPBM didaftarkan pada 9 September 2016 sementara Amanah ditubuhkan pada 16 September 2015, tarikh yang dipilih supaya bersempena dengan Hari Malaysia. Sementara PH dilancarkan pada 22 September 2015.

Walaupun kedua-duanya adalah parti baharu, pemimpinnya ahli politik lama yang pernah bertarung menentang satu sama lain.

Dua pemimpin utama PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, bukan saja ahli politik veteran Umno tetapi juga pernah memegang jawatan tinggi dalam kerajaan.
Dalam Amanah pula adalah bekas ahli politik PAS dan bekas ahli Parlimen seperti Mohamad Sabu dan Salahuddin Ayub.

Kini Dr Mahathir yang merupakan pengerusi PPBM adalah juga pengerusi PH. Muhyiddin yang merupakan presiden PPBM dan Mohamad Sabu yang juga presiden Amanah adalah timbalan-timbalan presiden PH.

Dalam struktur awal PH, Amanah nyata menggantikan PAS. Walaupun ahli Amanah merupakan pemimpin dan aktivis penting dalam PAS sebelum ini, tetapi Amanah tidaklah sebesar atau sekuat PAS.

Ia juga bermakna PH tidaklah sekuat Pakatan Rakyat. Maka dalam keadaan ini, ada kalangan PKR yang berpendapat kerjasama dengan PAS adalah perlu. PH yang bekerjasama dengan PAS bermakna ia akan meraih kedudukan seperti Pakatan Rakyat sebelum ini.

Tetapi sebarang kerjasama dengan PAS tidak akan dapat diterima DAP dan Amanah. Bagi DAP, kerjasama dengan DAP sudah melanggar prinsip politik mereka. Bagi Amanah pula, PAS tidak akan mahu bekerjasama dengannya.

Tindakan pucuk pemimpin PAS meminggirkan segolongan barisan pemimpinnya membawa kepada penubuhan Amanah dan PH. Kalaulah PAS boleh bekerjasama dengan PH, maka tidak ada sebab Pakatan Rakyat dibubarkan dan Amanah ditubuhkan.

Jadi pada penghujung tahun 2015, adalah sukar bagi PH untuk meraih undi sebanyak apa yang pernah dikecapi oleh Pakatan Rakyat. Suasana berubah apabila berlaku perpecahan dalam Umno ekoran isu 1MDB. Ada antara ahli Umno itu keluar parti dan menubuhkan PPBM untuk menjadi pembangkang dan menentang Barisan Nasional (BN).

Antara hujah yang dikemukakan mereka ketika menjadi ahli Umno ialah parti itu akan menghadapi masalah dalam pilihan raya umum kelak jika isu 1MDB tidak diselesaikan. Bagi mereka, rakyat akan mengundi pembangkang akibat isu itu.

Maka apabila PPBM ditubuhkan, mereka percaya penyokong Umno yang prihatin terhadap isu 1MDB akan beralih arah dan mengundi pembangkang. Malah dipercayai akan berlaku tsunami politik Melayu pada pilihan raya akan datang. Ia bermakna orang Melayu akan meninggalkan BN dan mengundi pembangkang.

Tiada ulasan