KETIKA Pakatan Harapan (PH) semakin tersusun selepas Dr Mahathir
Mohamad menjadi pengerusi, parti komponennya PKR dilanda krisis besar.
Oleh Amin Iskandar
Krisis dalaman PKR ini dikatakan sudah bermula sebelum Ketua Umumnya
Anwar Ibrahim dipenjarakan pada 2015 akan tetapi meletus baru-baru ini
selepas pemimpin-pemimpin kanannya berperang secara terbuka menggunakan
media.
Krisis dalaman PKR bermula apabila Langkah Kajang yang digerakkan
Naib Presiden PKR Rafizi Ramli dan Setiausaha Agung Saifuddin Nasution
pada 2014 untuk menyingkirkan Khalid Ibrahim sebagai menteri besar
Selangor dan menobatkan Anwar tergendala kerana akhirnya Mohamed Azmin
Ali dilantik Sultan Selangor sebagai ketua negeri itu.
Langkah Kajang ini juga dikatakan sebagai punca perpecahan Pakatan Rakyat (PR) yang turut dianggotai PAS sebelum ini.
Ini kerana PAS mahu Khalid terus menjadi menteri besar Selangor dan
alasan diberikan PKR untuk menyingkirkan Adun Pelabuhan Klang itu tidak
meyakinkan mereka.
Sementara DAP pula yang sebelum itu turut terkejut dengan pengumuman
Langkah Kajang oleh PKR akhirnya akur dan menyokong langkah parti
pimpinan Anwar itu.
Selepas Azmin dilantik sebagai menteri besar Selangor perpecahan
dalaman PKR semakin jelas dan wujudnya kem Rafizi-Saifuddin dan kem
Azmin.
Keadaan menjadi semakin buruk selepas Anwar dipenjarakan apabila
pemimpin-pemimpin dari kem berbeza yang bertemu ketua umum PKR itu sama
ada di penjara atau mahkamah membawa pulang maklumat berbeza-beza.
Apabila Anwar dipenjarakan pada 2015, PKR turut kehilangan tokoh yang penyatu kepada pelbagai kumpulan di dalam parti itu.
Perlu diingat, PKR merupakan satu-satu parti yang mempunyai pebagai
kumpulan berbeza latar belakang ideologi seperti dari Umno, Parti Rakyat
Malaysia (PRM), Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Jemaah Islah
Malaysia (JIM), pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan aktivis
reformasi.
Selepas Anwar dipenjarakan, pemimpin-pemimpin PKR dari pelbagai
latarbelakang ideologi tidak lagi mempunyai penyatu dan mereka mula
bergerak mengikut kumpulan masing-masing.
Siapa yang terlibat?
Watak utama dalam perpecahan PKR ini ialah kumpulan Rafizi-Saifuddin dan kumpulan Azmin.
Dalam satu kenyataan sebelum ini, Rafizi menyenaraikan dua kem berbeza dalam PKR:
Kem Azmin: Chua Tian Chang, Shamdul Iskandar dan Xavier Jeyakumar, Dr
Shaharuddin Badaruddin, Zuraida Kamaruddin (ketua wanita), anggota biro
politik Sivarasa Rasiah, Saifuddin Abdullah, Kamaruddin Jaafar, Fahmi
Fadzil (pengarah komunikasi), N Surendren, serta pemimpin utama parti
Elizabeth Wong, Hee Loy Sian, Siti Aishah Sheikh Ismail, Mohamad Nur
Manuty, Latheefa Koya, Dr Afif Bahardin dan Haniza Talha.
Kem Rafizi: Sim Tze Tzin (pengarah strategik), Fariz Musa (ketua
setiausaha pengelola), Abdul Hadi Al-Khatab (pengerusi Lembaga Disiplin)
dan Christina Liew (pengerusi Sabah), pemimpin exco negeri Abdullah
Sani Abdul Hamid, Wong Chen, Rodziah Ismail, Fuziah Salleh, S
Manivannan, Gooi Hsiao Loong, Azan Ismail, Dr Idris Ahmad, Dr Azman
Ismail, Hassan Karim dan Aminuddin Haron. Kesan perpecahan PKR
Perpecahan dalaman PKR mendatangkan kesan besar kepada PH. Contohnya dalam isu senarai Majlis Pimpinan PH, pengumuman tertangguh selama dua bulan disebabkan berlakunya pertembungan antara dua kumpulan.
Keduanya, dalam isu kerjasama bersama PAS, dua kem dalam PKR
mempunyai pandangan berbeza. Kem Azmin mengatakan kerjasama dengan PAS
dalam bentuk pakatan pilihan raya (electoral pact) penting bagi
memastikan tiada pertembungan tiga penjuru pada PRU14, sementara kem
Rafizi mahu segala kerjasama dengan PAS ditamatkan.
Perdebatan berhubung kerjasama dengan PAS muncul kembali selepas
Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Azizah dan Timbalan Presiden Azmin melawat Presiden PAS Abdul Hadi Awang di sebuah hospital di Kuala Lumpur.
Ini menyebabkan Rafizi mengeluarkan kenyataan menggesa PKR mengadakan kongres khas dalam isu kerjasama bersama PAS.
Kenyataan Rafizi itu diselar Timbalan Ketua Pemuda PKR Dr Afif Bahardin tetapi disokong pemimpin akar umbi parti.
Anwar kemudiannya mengeluarkan kenyataan dari penjara, mengatakan rundingan bersama PAS dilakukan dengan pengetahuannya.
Anwar juga berkata, Azmin dilantik untuk mengetuai rundingan dengan PAS bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru pada PRU14.
Selain itu Anwar turut mempersoalkan keperluan mengadakan kongres khas.
Bagaimanapun Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad mengatakan beliau mahu PKR menghentikan rundingan dengan PAS.
"Kita akan hentikan rundingan tersebut. Saya harap kita akan dapat
lakukan," kata bekas perdana menteri yang kini menjadi pemimpin utama
pembangkang itu.
Apa sebenarnya sudah jadi dengan PKR?
Reviewed by DetikDaily
on
September 09, 2017
Rating: 5
Tiada ulasan