KEPIMPINAN Dr Mahathir Mohamad menuju Pilihan Raya Umum Ke-14 adalah
antara kesan besar yang dibawa oleh Bersatu selepas setahun parti itu
muncul dalam gelanggang politik Malaysia, kata penganalisis.
Bagaimanapun penganalisis berpendapat kekuatan Bersatu sangat
bergantung dan menumpang kepada personaliti Dr Mahathir sehingga timbul
tanda tanya, apa akan jadi pada parti itu sekiranya pengerusi mereka itu
sudah tiada.
Penganalisis mengakui belum nampak gambaran jelas bagaimana parti
serpihan Umno itu boleh bertahan sekiranya berlaku sesuatu kepada
pengerusi parti itu yang kini berumur 92 tahun.
“Jelas kalau kita tengok, Bersatu ini menumpang atas faktor Dr
Mahathir. Dr Mahathir ini ibaratnya tiang seri Bersatu. Kalau tidak ada
Dr Mahathir, kita tidak tahu apa yang boleh berlaku pada Bersatu,” kata
Pengarah Ilham Centre, Hisommudin Bakar
“Itulah sebabnya sekarang ini kita tengok betapa hebatnya serangan
dilakukan terhadap Dr Mahathir. Ini semata-mata adalah untuk
mengurangkan atau mengendurkan pengaruh Dr Mahathir yang seterusnya akan
melemahkan sokongan rakyat kepada Bersatu,” tambahnya.
Hisommudin merujuk kepada isu masa lalu yang dibangkitkan semula dan
dikaitkan dengan pentadbiran 22 tahun bekas perdana menteri itu,
termasuk peristiwa berdarah Memali 1985 dan kerugian Bank Negara
Malaysia akibat urus niaga mata asing antara 1988 dan 1994.
Kerugian Bank Negara Malaysia itu sedang disiasat oleh Suruhanjaya
Siasatan Diraja (RCI) manakala baru-baru ini, kerajaan turut menyatakan
kesediaan menubuhkan RCI untuk menyiasat peristiwa Memali.
Bersatu yang diluluskan pendaftarannya oleh Pendaftar Pertubuhan pada
8 September 2016 merayakan ulang tahun pertama dengan rapat umum yang
digelar Himpunan Rakyat Bermaruah di Muar, Johor, hari ini.
Hisommudin menambah kepimpinan dan personaliti dua lagi pemimpin
kanan Bersatu, Presiden Muhyiddin Yassin dan Timbalan Presiden Mukhriz
Mahathir belum cukup kuat pengaruhnya di peringkat nasional berbanding
Dr Mahathir.
“Muhyiddin dan Mukhriz masing-masing nampak lebih berpengaruh di negeri, di Johor dan di Kedah,” tambahnya.
Menurut Hisommudin, faktor Dr Mahathir bukanlah sesuatu yang boleh
diremehkan dan Barisan Nasional (BN), katanya, cukup menyedari pengaruh
bekas perdana menteri itu dalam PRU14 akan datang.
Beliau membandingkan bagaimana Dr Mahathir menggerakkan kempen
menjatuhkan penggantinya Abdullah Ahmad Badawi dengan kempen yang
sekarang sedang beliau terajui bersama Pakatan Harapan (PH).
“Dulu masa lawan Pak Lah (Abdullah), Dr Mahathir hanya menulis di
blog, mendapat sokongan daripada blogger dan tidak ada parti politik.
“Tetapi sekarang, beliau sudah ada parti politik dan ada jentera,
media juga sudah berkembang dengan lebih pesat dan beliau juga mengetuai
pembangkang,” kata Hisommudin, merujuk kepada kedudukan Dr Mahathir
sebagai pengerusi PH.
“Saya yakin, ini tentunya menggusarkan Umno,” tambahnya.
Jelas beliau, Umno wajar bimbang kerana faktor Dr Mahathir merentas kekuatan Bersatu malah melangkau pengaruh PH sendiri.
Bersatu melalui kempennya mengintai kerusi di kawasan majoriti Melayu
di pedalaman termasuk yang terletak dalam 54 kawasan petempatan Felda.
Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Malaya, Dr Awang
Azman Awang Pawi berkata penglibatan aktif Dr Mahathir dalam gerakan
pembangkang ini memberikan kesan emosi dan psikologi yang seterusnya
boleh mempengaruhi rakyat untuk tidak menyokong BN.
Kata beliau, hasil kajian pihaknya di lapangan mendapati faktor Dr
Mahathir cukup kuat bersandarkan kepada dua persoalan utama yang
bermain dalam fikiran umum tentang penglibatan politik bekas presiden
Umno itu sehingga ke hari ini.
“Orang bertanya mengapa Dr Mahathir keluar Umno, mesti ada sebab yang
besar. Orang melihat juga pada umur beliau sekarang ini, Dr Mahathir
ini berjuang untuk apa lagi, untuk negara atau peribadi?” katanya.
Jelas beliau, semua aktiviti politik yang disertai Dr Mahathir
daripada demonstrasi di jalan raya sehinggalah perhimpunan ceramah pada
hampir setiap minggu, secara tidak langsung memberi inspirasi kepada
rakyat, terutamanya golongan muda.
“Ia menimbulkan satu perasaan kalau Dr Mahathir pada usia seperti itu masih begitu, kenapa tidak mereka juga,” katanya.
Pengarah Institut Asia di Universiti of Tasmania, James Chin
bagaimanapun berkata kalau Dr Mahathir begitu popular dan pengaruhnya
besar kepada politik melawan BN, bekas perdana menteri itu mesti
bertanding dalam PRU14.
Jika tidak, katanya, pengaruh itu tidak ada gunanya dan sia-sia.
“Kalau Dr Mahathir tidak bertanding, bagaimana beliau hendak mengepalai pilihan raya?” kata editor bersama buku Malaysia Post-Mahathir: A Decade of Change? itu.
Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein sebelum ini mencabar Dr Mahathir bertanding di kerusi Parlimen Pekan, “kalau berani”.
Cabaran naib presiden Umno itu dijawab oleh Dr Mahathir yang mencabar Hishammuddin pula untuk bertanding di Parlimen Langkawi.
Langkawi memberikan dukungan padu kepada Dr Mahathir antara lain
kerana sentimen terima kasih atas sumbangan beliau mengubah ekonomi
pulau pelancongan semasa menjadi perdana menteri.
Sementara itu, Awang Azman yang menjalankan kajian bebas pilihan raya
di beberapa tempat di seluruh negara memberitahu sentimen di akar umbi
di kawasan-kawasan kajiannya menunjukkan Bersatu kurang mengumpulkan
ahli tetapi tidaklah bermakna sokongan terhadap parti itu kecil.
“Kita tahu jelas bahawa kebanyakan ahli Bersatu ini dulunya ahli
Umno. Tetapi dapati ada juga ahli Umno yang bersimpati menyokong Bersatu
walaupun tidak mendaftar sebagai ahli, atas pelbagai alasan mereka
sendiri,” katanya.
Malah beliau menarik perhatian kepada perpecahan dalaman PAS yang
melahirkan parti serpihan Amanah menyebabkan sokongan golongan
profesional bukan ahli PAS yang dulu menyokong parti Islam itu kini
terpecah dua, antara Amanah dan Bersatu.
Awang Azman bagaimanapun menyifatkan kekuatan Bersatu masih belum
dapat menandingi kekuatan akar umbi Umno dan PAS yang sudah kukuh.
“Bersatu ini ada kepimpinan di peringkat atasan tetapi di peringkat
pusat daerah mengundi, ia tidak sekuat Umno dan PAS,” katanya, sambil
menarik perhatian kepada kedudukan PKR pada PRU1999, yang ketika itu
dikenali dengan nama Parti Keadilan Nasional (Keadilan) — sebuah parti
baru dan tidak ada jentera yang kuat.
Keadilan ditubuhkan pada 4 September 1999, setahun selepas bekas
timbalan perdana menteri dipecat oleh Dr Mahathir daripada kerajaan dan
melancarkan gerakan Reformasi, hampir tiga bulan sebelum pilihan raya.
Dalam PRU10 itu, Keadilan bertanding 47 kerusi Parlimen dan 72 kerusi
Dewan Undangan Negeri (DUN). Ia hanya menang 5 kerusi Parlimen dan 4
kerusi DUN.
Jelas Awang Azman, kelemahan Bersatu sekarang terselindung oleh faktor Dr Mahathir yang cukup besar memayungi parti itu.
“Dr Mahathir ini talian hayat yang cukup penting bagi Bersatu.
Apa-apa berlaku pada Dr Mahathir akan beri kesan parti itu dan Pakatan
Harapan amnya,” katanya
Apa nasib Bersatu kalau Dr Mahathir tiada, tanya penganalisis
Reviewed by DetikDaily
on
September 09, 2017
Rating: 5
Tiada ulasan