Header Ads


Terkini

PAS gesa kerajaan sertai siasatan AS ke atas 1MDB

KUALA LUMPUR: PAS hari ini menggesa kerajaan campur tangan dalam siasatan AS untuk mendapatkan semula dana yang didakwa dicuri dari 1MDB selepas Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) meningkatkan siasatan kepada siasatan jenayah.

Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan berkata, kerajaan perlu memohon untuk terlibat dalam kes itu kerana 1MDB kini merupakan entiti yang dimiliki sepenuhnya di bawah Menteri Kewangan (Diperbadankan).

Kerajaan kini harus mendapatkan nasihat dari Jabatan Peguam Negara, katanya kepada FMT.
Beliau diminta mengulas mengenai pengumuman DoJ yang memohon seorang hakim di sebuah mahkamah di Los Angeles semalam untuk menggantung sementara permohonan sivil merampas aset diperolehi ahli perniagaan kelahiran Malaysia Low Taek Jho, atau Jho Low, kerana kes itu kini berubah kepada siasatan jenayah.

Pegawai DoJ dilaporkan berkata tindakan menggantung sementara permohonan sivil merampas aset diperolehi Jho Low mungkin mempunyai “kesan buruk” ke atas usaha menjalankan siasatan jenayah.
DoJ mendakwa wang yang dicuri daripada 1MDB digunakan untuk membeli hartanah dan aset lain bernilai lebih daripada AS$1 bilion (RM4.3 bilion).

Siasatannya melibatkan usaha untuk mengesan berapa banyak dana 1MDB yang sepatutnya untuk tujuan pembangunan tetapi disalah guna untuk membeli hartanah mewah, barang seni, penerbitan filem dan lain-lain.

Secara keseluruhannya, DoJ mendakwa di antara 2009 dan 2015, lebih AS$4.5 bilion daripada 1MDB dilencongkan pegawai tertinggi dana itu dan rakan mereka.

Takiyuddin berkata PAS mahu kerajaan mengambil tanggungjawab dengan memulakan siasatannya sendiri, sama ada di sebagai perkara sivil atau jenayah.

Beliau mengulangi gesaan membentuk sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) menyiasat 1MDB.

Tiada ulasan