Header Ads


Terkini

Selepas exco Pulau Pinang, SPRM tahan pengurus kilang, pengarah

GEORGE TOWN: Seorang bapa dan anak lelaki merupakan individu terbaharu ditahan hari ini oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan kes sebuah kilang beroperasi secara haram di Sungai Lembu, Bukit Mertajam sejak 10 tahun lepas.

Kedua-dua mereka pengurus dan pengarah kilang masing-masing berusia 37 dan 70 tahun.
Mereka ditangkap pada pukul 6.05 petang dan 6.25 petang di ibu pejabat SPRM Pulau Pinang hari ini, kata suruhanjaya dalam kenyataan dikeluarkan.

Terdahulu, exco kerajaan negeri Pulau Pinang Phee Boon Poh ditahan ketika memberi kenyataan di ibu pejabat SPRM di Northam Road di sini pada 3.35 petang.

SPRM juga menyerbu rumahnya di Sungai Puyu, Butterworth, malam ini.

“Ketiga-tiga mereka yang ditahan akan dibawa ke Mahkamah Majistret esok,” kata kenyataan itu.
Exco kanan itu merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Sungai Puyu itu hadir di pejabat SPRM Pulau Pinang bersama peguamnya R.S.N Rayer pada pukul 2.30 petang selepas pejabatnya di Tingkat 53, bangunan Komtar di sini dikunjungi 5 pegawai SPRM pada pukul 11.30 pagi.

Rayer ketika ditemui pemberita di luar pejabat SPRM negeri berkata Boon Poh kemungkinan akan dibawa ke mahkamah esok untuk didapatkan perintah tahanan reman.

Semalam, SPRM mengambil beberapa dokumen dari pejabat Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) di Bandar Perda bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Menurut sumber, dokumen itu diambil bagi membantu siasatan kes kilang memproses serbuk kayu yang beroperasi sejak 10 tahun lepas dikatakan tanpa permit di atas tanah berstatus tanah pertanian.
Isu berhubung kilang haram itu pernah dibangkitkan ADUN Penanti daria PKR Dr Norlela Ariffin pada sidang Dewan Undangan Negeri yang mendakwa banyak kilang haram dibiar beroperasi di Penanti tanpa tindakan lanjut oleh kerajaan negeri.

Mereka disiasat mengenai isu kilang yang membakar habuk papan dan mencemarkan alam sekitar, kata SPRM.

Tiada ulasan