Header Ads


Terkini

Saya akan serah bukti kepada RCI Memali, kata Dr M

PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad mengalu-alukan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat tragedi Memali pada bila-bila masa dan akan menyerahkan bukti berkaitan kepada suruhanjaya itu.

“Saya tidak kira mana-mana (bila-bila). Saya alu-alukan penubuhan RCI tragedi Memali sebab kita perlu dengar kebenaran.

“Saya merupakan perdana menteri pada masa itu, jadi saya mempunyai bukti dan Tun Musa Hitam merupakan pemangku perdana menteri. Jadi, bukti-bukti itu saya akan beritahu kepada RCI,” katanya kepada wartawan di Istana Kehakiman, hari ini.

Pengerusi Pakatan Harapan itu mengulas cadangan Musa yang juga timbalan menteri perdana ketika itu, supaya RCI Memali ditubuhkan selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14) bagi mengelakkan ia digunakan parti politik sebagai alat memancing undi.

“Asalkan penubuhannya adalah dengan niat betul untuk mencari fakta dan kebenaran tanpa sebarang prejudis. Perkara yang perlu diteliti ialah mengenai kesesuaian masa penubuhan dan prosiding yang dijalankan.

“Ia supaya objektif penubuhannya bukan untuk memenuhi agenda politik sempit hingga mengorbankan kebenaran dan tergelincir daripada matlamat mahu mencari kebenaran hakiki.
“Demi mengelak peristiwa Memali disalah gunakan untuk kepentingan politik dan memancing undi, adalah lebih bijak dan menepati tujuan penubuhan RCI ditangguhkan sehingga selesai PRU14,” kata Musa dalam kenyataan semalam.

Ahad lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, kerajaan sedia menubuhkan RCI untuk menyiasat tragedi Memali, jika ada permintaan daripada individu, pertubuhan atau parti politik.

Zahid berkata, Musa menerusi bukunya bertajuk “Frankly Speaking” mendakwa beliau diarah menghapuskan Kampung Memali kerana terdapat unsur keganasan dan militan oleh pemimpin PAS.

Dr Mahathir ialah perdana menteri ketika peristiwa berdarah itu berlaku yang menyaksikan konfrontasi polis dengan penyokong Ibrahim Mahmud bagi menghalang guru agama itu ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri atas dakwaan menyebarkan ajaran sesat.

Akibatnya, Ibrahim bersama 13 pengikutnya serta 4 anggota polis terkorban.

Dr Mahathir sebelum ini mendakwa beliau berada di China untuk urusan rasmi ketika tragedi Memali berlaku dan menyerahkan tanggungjawab itu kepada Musa yang juga menteri dalam negeri.
Bagaimanapun, dalam autobiografinya yang diterbit pada 2014, Musa mendakwa Dr Mahathir berada dalam negara ketika itu.

Tiada ulasan