Header Ads


Terkini

PAS Tidak Perlukan GST Ambil Wang Rakyat


Oleh IZWAN ABDUL HALIM
 
 Mengurus hasil mahsul sumber kekayaan negara secara amanah dan bijaksana serta perbelanjaan berhemah dengan jimat cermat dan mengekang ketirisan menjadi antara langkah akan dilakukan PAS dalam menangani permasalahan berkaitan urus tadbir kewangan negara.

Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, terjadinya pelbagai bebanan ke atas rakyat dan masalah kewangan hingga terpaksa ditampung dengan pelbagai percukaian adalah natijah dari amalan pengurusan yang tidak berteraskan Islam.

Menurutnya, Malaysia dikurniakan Allah dengan hasil begitu banyak dari petroleum, hutan, air, galian, pertanian dan pelancongan serta pelbagai lagi yang membawa kekayaan kepada negara, sedang ia tidak terdapat kepada negara lain.

“Malangnya kita melihat Kerajaan Umno-BN pada hari ini menggolongkan juga GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan) sebagai hasil kepada negara. Cukai yang diambil daripada semua rakyat, bukan sahaja daripada orang kaya, (termasuk) orang miskin, bukan sahaja daripada orang bandar, (termasuk) orang kampung.

“Bukan sahaja daripada kakitangan awam, bahkan juga bekerja sendiri, beli barang di kedai, hasil keperluan harian, semuanya dikenakan GST,” kesali beliau ketika menjawab pertanyaan mengenai GST pada program Sembang Santai di Felda Bukit Batu, di sini baru-baru ini.

Terang beliau, hasil dikurniakan Allah Taala berada dalam perut bumi, di atas tanah daratan dan lautan serta turun juga dari langit untuk dinikmati semua manusia, malangnya kerajaan memerintah tidak menjananya untuk manfaat umum, sebaliknya mengenakan pula cukai.

Katanya, kerajaan hari ini bertindak demikian lantaran salah urus tadbir, boros dan pembaziran terhadap kekayaan negara yang keuntungannya hanya berlegar dan dikaut di kalangan orang-orang tertentu, termasuk pelbagai projek mega, tetapi tidak dapat dimanfaat kepada rakyat.

Akibat semua itu ujarnya, menyebabkan tidak mencukupi hingga ditambah perolehan dengan mengenakan cukai kepada rakyat di mana ianya haram di sisi Islam kerana menzalimi dan bukan dalam keadaan darurat.

“Sebab itu kita tidak bersetuju. Macam mana PAS nak buat jika sekiranya diberikan keizinan memerintah negara? Tidak lain dan tidak bukan ialah dengan mengurus kekayaan negara yang dikurniakan oleh Allah dengan amanah, adil dan telus, supaya kekayaan negara ini terus sampai kepada rakyat. Perkara ini juga boleh ditangani dengan tidak membazir dan elak daripada ketirisan.

“Inilah menyebabkan negara kita sangat parah dari sudut ekonomi pada hari ini. Ketirisan saban tahun. Audit Negara melaporkan berbillion duit rakyat berlakunya ketirisan. Projek yang sepatutnya RM10 juta jadi RM100 juta. Ini didedahkan saban tahun dalam Laporan Audit Negara.

“Contohnya ialah beberapa tahun lepas dalam Laporan Audit Negara, jam dinding yang harganya hanya RM30, ‘claim’ (tuntut) sebanyak RM300, itu satu contoh. Di sana banyak lagi contoh-contoh yang lain, sebab itulah berlakunya ketirisan. Duit ini duit rakyat semua, duit kita semua.

“Yang keduanya ialah kita tidak akan melakukan pembaziran. Projek-projek banyak, tetapi kita lihat berlaku pembaziran menyebabkan faedahnya tidak kembali kepada rakyat. Justeru, kita mestilah kembali kepada petunjuk Allah S.W.T dalam mengurus masalah ekonomi yang berlaku dalam negara kita ini apabila rakyat dibebankan dengan dasar dan polisi cukai GST.

“Kena ubah dan kembali kepada petunjuk Islam yang mesti berteraskan kepada keadilan kepada rakyat, kekayaan negara mestilah dikembalikan kepada rakyat untuk mendapat manfaat dan faedah secara keseluruhan.

Tiada ulasan