Header Ads


Terkini

Merombak Ideologi Ortodoks

OLEH : Onn Ismail 

Ideologi merupakan satu bentuk fahaman atau pegangan yang membentuk suatu mazhab yang bakal didokong oleh manusia. Istilah ini berasal dari bahasa Yunani, iaitu idea dan logos. Idea bermaksud gagasan, manakala logos pula bererti pengetahuan. Dalam istilah politik pula, ideologi merupakan sistem ide yang berkaitan falsafah, ekonomi, politik bagi menzahirkan suatu gagasan ide serta kepercayaan. Secara hegemonis, jenis-jenis pemikiran ini lahir dari kesedaran dan keinsafan demi membentuk sebuah negara bangsa yang harmoni dan makmur.

Hal ini dapat dilihat dalam pertembungan pelbagai jenis ideologi yang tumbuh dan bertebaran di muka bumi ini dari segi agama, politik dan sosial. Disebabkan fahaman inilah manusia saling bertabrakan, bermusuh dan saling berbunuhan. Tidak kurang juga yang sanggup mempertahankannya secara membuta tuli tanpa faham isi serta maksud yang mendasari pegangan berkenaan.

 Kebangkitan dan kemusnahan akibat fahaman radikal tentang ideologi seringkali berlaku semenjak zaman pagan lagi. Empayar Rom-Yunani, dan Mesopotamia dua contoh klasik. Tamadun berkenaan akhirnya musnah akibat pelaksanaan dasar yang sepatutnya untuk tujuan murni, menjadi songsang akibat ketamakan, kerakusan, rasuah, kelptokrat dan pelbagai perilaku jijik yang tidak sewajarnya dilakukan demi membina negara bangsa.

Melangkaui usia bangka kemerdekaaan negara, sewajarnya kita cukup realistik dalam membentuk aliran fikir secara lebih dinamik dan kritis. Seharusnya wacana pemikiran masyarakat kini lebih luas tanpa dibebani dengan kebejadan nostalgik yang tidak berkesudahan. Realitinya, aliran pemikiran jenis ini telah dipatri sejak berzaman bagi memastikan ianya sentiasa bugar dan menjadi saka turun temurun. Hal inilah yang berlaku kepada pengikut mana-mana fahaman, terutamanya aliran nasionalis UMNO.

Aliran fikir jenis ini telah melahirkan segelintir pengikutnya yang radikal yang pastinya memberikan bantuan hayat berupa bonus kepada para pemimpinnya, tidak kiralah siapa pun. Maka kini giliran Najib mendapat laba. Bukan lagi menjadi rahsia, bilamana sekian banyak kesilapan, ketirisan dan kekonyolan yang berlaku memberi impak yang bukan sedikit kepada rakyat terbanyak, tetapi Najib masih lagi dianggap sebagai pemimpin wahid yang begitu maksum di mata mereka.

Begitu jugalah yang berlaku ketika era Mahathir. Segala kebobrokan dan ketempangan sistem ini, adalah hasil daripada doktrin Mahathirisme yang mana Najib merupakan anak didik asuhan Mahathir! Hasilnya, bukan sahaja di desa-desa dan tanah rancangan yang mana kita amat maklum dengan ledakan maklumat amat minima, serta faktor pendidikan mereka, bahkan di kalangan cerdik pandai di bawah payung ortodoks ini turut menggunakan kebatilan ini secara optimum dengan olahan-olahan yang lebih baik di era Najib.

Ianya boleh diumpamakan seperti satu rebranding. Mereka menggunakan momokan-momokan lapuk hasil adaptasi daripada mentor terdahulu yang berupa isu-isu perkauman sempit, agama dan nostalgis pemimpin, seperti mengenang legasi Allahyarham Tun Razak semahunya bilamana perkara-perkara seperti pembentukan Tanah Melayu, pembukaan tanah-tanah rancangan yang dibancuh sebati bagi menghasilkan suatu bentuk kengerian yang luar biasa terhadap rakyat terbanyak. Hasilnya, lihat sahaja kesannya di kebanyakan desa-desa dan tanah-tanah rancangan di seluruh negara.

Bermacam jenis doktrin ideologi telah diolah sedemikian rupa bagi memastikan keteberlangsungan pemikiran jenis ortodoks ini berterusan dan bercambah.

Oleh sebab itu, golongan-golongan ini seakan terpukau dan tidak mahu menerima fakta kebenaran di depan mata.

Mereka semahunya akan mempertahankan ideologis ini dengan menzahirkan pelbagai bentuk kelakuan secara lisan atau perbuatan.

 Meminjam dari kata-kata Hitler, “ If you tell a big enough lie, and tell it frequently enough, it will be believed,” Contoh terdekat ialah insiden program NOTHING TO HIDE 2.0, bilamana sekumpulan remaja bertindak biadap mencemar majlis berkenaan yang sepatutnya berlangsung dengan lebih tertib dan bertatasusila.

Bagi memecahkan pola kebebalan ini, satu bentuk modus operandi wajar dibentuk bagi memberikan dimensi baru kepada golongan ini.

Pihak oposisi sepatutnya melakukan lebih banyak gerak gempur yang lebih terancang dalam melaksanakan program tertentu serta menyebarkan maklumat kepada kumpulan sasar.

Ianya memerlukan alternatif propoganda yang berbeza, supaya sekurang-kurangnya mereka dapat memahami segala aspek kekonyolan yang dilakukan oleh UMNO Najib.

 Sekian banyak perkara yang perlu didedahkan kepada mereka bukan sekadar kata-kata retorik seperti yang dilakukan oleh UMNO, bahkan gerakerja yang lebih bersifat praktikal. Keberadaan Mahathir sewajarnya digunakan secara maksimum. Isu-isu yang sering dimainkan oleh pihak nasionalis UMNO dan segelintir kumpulan Reformis sepatutnya mudah dikilas oleh Mahathir kerana punca segala kebobrokan itu adalah hasil daripada air tangannya sendiri.

Sepatutnya Mahathir lebih arif dalam selok belok isu yang dihamburkan oleh mana-mana pihak, supaya dapat mendepani situasi-situasi berkenaan dengan lebih berkesan! Tidak salah untuk merendah diri dan bersikap tawadhu dalam mengisi kekhilafan usang seperti isu-isu berkaitan Memali dan Anwar Ibrahim.

 Tidak keterlaluan di peringkat ini, ada satu-satu ketika kelihatan front Pakatan Harapan agak tidak sepakat dalam mendepani isu-isu yang terhidang, walaupun ada kalanya kelihatan front Pakatan tampak gagah.

 Tetapi apalah gunanya sekadar mendabik dada atau diibaratkan seperti burung terbang dipipiskan lada sekiranya kekuatan belum benar-benar teruji. Ide mendominasi Pakatan atas retorik basi ketuanan Melayu perlu dinyahkan di setiap peringkat Parti BERSATU supaya mereka boleh keluar secara total dari kepompong kedangkalan doktrin itu sendiri.

Mencedok dari kata-kata Allahyarham Buya Hamka, “ Kalau hidup sekadar hidup, babi di hutan juga hidup, kalau kerja sekadar bekerja, kera di hutan juga bekerja,”
Fikirkan…

ONN ISMAIL MERUPAKAN PEMERHATI SOSIAL DAN POLITIK.










Tiada ulasan