Header Ads


Terkini

Islam dan dasar luar Turki

Oleh Haris Zalkapli

Dasar luar Turki sebagai sebuah republik yang masih diteruskan hingga ke hari ini terbina hasil satu sejarah yang panjang, melibatkan peperangan dan persaingan Uthmaniyah dan kemudian Republik Turki dengan empayar Rusia dan Kesatuan Soviet. Selepas keruntuhan Uthmaniyah, haluan dasar luar Turki kuat ditentukan oleh Perang Dingin, kemuncaknya ialah penyertaan dalam Perang Korea yang membawa Turki menjadi anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara, Nato.

Turki, Mesir dan Iran menjadi sekutu paling kuat Barat terutama Amerika Syarikat sepanjang Perang Dingin, walaupun Mesir turut dipengaruhi Soviet dan Iran berubah haluan ekoran perubahan politik tahun 1979. Semasa tempoh Perdana Menteri Adnan Menderes, Turki membuat pilihan untuk mengukuhkan diri dalam kem Barat. Menderes walau bagaimanapun dilihat sebagai seorang tokoh yang membawa Islam dalam politik Turki. Turgut Ozal turut memanfaatkan populisme Islam semasa pemerintahannya. Semua ini dilakukan pada masa sama Turki kekal sebagai sekutu kuat AS dan menjalin hubungan diplomatik yang baik dengan Israel.

Parti baharu yang muncul selepas parti Islamis dilemahkan, Parti Keadilan dan Pembangunan, AKP, mendapat kesan positif sejak awal kemunculannya daripada populisme Islam yang dimanfaatkan oleh pemimpinnya Recep Tayyip Erdogan. Visi agung Turki sebagai sebuah kuasa serantau dibawa oleh tokoh akademik Ahmet Davutoglu yang pernah digelar "Henry Kissinger Turki." Davutoglu melihat Turki perlu keluar daripada perangkap "torn country" dan membina kekuatan daripada kelebihan geografi dan sejarah Turki. Visi Davutoglu ini dibina pada awal keruntuhan Soviet, dan turut melihat peluang daripada republik pasca-Soviet rumpun bangsa Turki di Asia Tengah.

Cabaran terbaru dihadapi Turki kini memerlukan visi yang diperbaharui daripada visi Davutoglu. Usaha mengimbangi kedudukan sebagai sekutu kuat AS dan pada masa sama mempunyai dasar luar yang tersendiri membawa kepada satu lagi perangkap "torn country." Perkembangan terkini melibatkan perubahan dasar luar Turki menjadi petunjuk jelas keperluan satu dasar luar baharu yang lebih tegas dan berani.

Tiada ulasan