Header Ads


Terkini

Bertahanlah Malaysia

Oleh Haissazc Shuqkin Hisham 

Ketika membaca berita daripada media elektronik berkenaan tragedi perkauman yang berlaku di Charlottesville, mengingkatkan saya kepada negara kita, Malaysia. Bukan kita tidak pernah melalui tragedi sama seperti ini, malah hari ini ia masih berterusan walaupun kononnya “harmoni” kuat tertanam dalam sanubari setiap rakyat.

Dari zaman DEB hinggalah zaman MEB sekarang, tidak ditemui jalan noktah akan sentimen perkauman dalam negara. Semua orang mahu peluang, tetapi peluang dipolitikkan untuk kepentingan tertentu.

Kata mahu bina “Malaysia Baru”, katakan dan yakinkan kepada saya apakah “Malaysia Baru” yang dimaksudkan? Adakah Malaysia yang tiada sikap prejudis, politik gengsterisme dan perkauman, atau macam mana?

Di saat pemain politik sibuk menjaja mahu wujud “Malaysia Baru”, kita masih bergantung harap kepada parti yang berpaksikan kaum untuk menjadi pemain utama meraih undi bagi membantu blok yang sudah lama menjadi bayangan di bawah pemerintah kerajaan sedia ada. Macam mana kita mahu percaya dan yakin “Malaysia Baru” yang dicanangkan jika permainan seperti ini yang dipamerkan?

Hutang belum selesai

Dari Terengganu, syarikat ini dijenamakan semula menjadi GLC yang kini di bawah kawalan Kementerian Kewangan dengan objektif untuk menjana pendapatan melalui pelaburan menguntungkan, walaupun pada awalnya modal hanya RM1 juta.
Orang tua berkata, tidak salah bermimpi setinggi langit demi kebaikan diri. Apakah itu kata-kata sekadar menyedapkan hati tidak mungkin tercapai dalam realiti, jika tiada bekalan mencukupi untuk merealisasikan mimpi setinggi langit itu?
Sama seperti syarikat itu, modal hanya RM1 juta, tetapi mimpi labur berjuta-juta, berbilion sehingga terpaksa meminjam atau menjual aset demi kepentingan syarikat tersebut yang mana akhirnya menjadi bualan mulut di seluruh dunia kerana saratnya hutang yang ditanggung.
Kepala yang mengetuainya kekal diam membisu untuk jelas menceritakan apa sebenarnya yang berlaku. Ditutupnya mulut kepala sistem keadilan negara mengatakan tiada apa perlu diceritakan, sedangkan kepala luar yang lain sibuk menggali punca, termasuk negara yang kini ditadbir selebriti politik.
Kita sarat dengan hutang, dibeban cukai yang jelas untuk bayar hutang. Mampukah kita kekal bertahan?
Kuala Lumpur ‘licin’
Malaysia, sudah lama kita tidak menjadi tuan rumah acara sukan yang menghimpun sahabat kita dari satu rantau yang sama. Pastinya tahun ini menjadi tahun yang menarik, kita menjadi tuan rumah bagi sukan Asia Tenggara dalam bulan kemerdekaan. Semestinya atlet kita akan berjuang demimu, Malaysia.

Tetapi, Kuala Lumpur licin dengan tiada lagi mereka yang biasanya kelihatan tidur di mana-mana di sekitar ibu kota. Mereka dibawa dan dikumpulkan di sebuah tempat untuk beberapa bulan sepanjang sukan ini berlangsung.

Di manakah mereka dibawa? Apakah sistem operasi yang dijalankan pihak berwajib ke atas mereka? Adakah keadaan mereka dijamin baik? Selepas habis temasya sukan, ke mana mereka akan “dicampakkan”?

Satu demi satu persoalan datang menyinggah akan kenapa diperlakukan tindakan sebegitu. Adakah kita malu ada golongan ini berpeleseran di rumahmu, Malaysia?
Orang lama diserang

Malaysia, masih ingatkah kamu insan yang pernah memegang kunci rumahmu selama 22 tahun sebelum ini? Nampaknya dia cuba mendapatkan kembali kunci itu dengan cara berlainan. Hadirnya kembali bukan dengan keris Melayu, tetapi dengan bunga Melayu.

Minggu lepas, kehadirannya diserang dengan kerusi terbang, suar api merah yang dibaling dengan penuh kemarahan. Tak ubah seperti berada di stadium bola yang kecoh dek kerana puak “hooligans”, begitulah keadaannya.

Ada yang kata ia dirancang bunga Melayu, ada yang tuduh keris Melayu hunus RM50 untuk buat huru-hara. Mangsanya anak remaja yang buta keadaan, sedangkan sang perancang masih bersembunyi dalam kalangan kami.

Ada yang mempertahankan beliau dengan menyeru agar menghormati beliau sebagai orang tua setidaknya, ada yang mengatakan beliau selayaknya dikenakan keadaan sedemikian akan kesilapan beliau selama 22 tahun memegang kunci rumahmu.

Begitulah politik moden kini di negaraku, Malaysiaku.

Bagaimana saya dan rakan muda lain mampu mempertahankanmu di saat suara rakanku ditutup dengan akta bersifat kolonial dan melanggar sifatmu yang dibentuk sebelum kamu dibebaskan penjajah British.

Mereka yang bersuara, masa depan akan dirampas. Sama ada ditendang daripada menara gading atau ditahan di bawah akta menentang kebebasan bersuara.

Mereka bina TN50, tetapi beranikah mereka untuk mendengar kritikan dan cadangan kami yang ternyata berbeza daripada pegangan dan prinsip mereka?

Bagaimana kami mampu mempertahankanmu, Malaysia?

Tempoh 5 tahun sudah makin hampir. Saya berdoa agar anak muda dibukakan mata untuk sedar dan peka akan keadaanmu dengan memenuhi prinsip demokrasi dengan menentukan masa depan melalui pengundian. Harap mereka semua cakna dengan keadaanmu, tetapi buat masa ini, tiada apa yang mampu saya katakan selain daripada bertahanlah, Malaysia.

Haissazc Shuqkin Hisham ialah exco Challenger Malaysia.

























Tiada ulasan