DR Mahathir Mohamad hanya duduk tersenyum di pentas forum “Nothing to
Hide 2.0” di Shah Alam petang semalam apabila tiba-tiba sepasang
selipar -- diikuti beberapa pasang kasut, dan kemudiannya beberapa buah
kerusi dan akhirnya, suar menyala -- terbang melayang dari tengah dewan
dan keadaan bertukar jadi kelam-kabut.
Dr Mahathir duduk tenang tidak berganjak, kata seorang wanita yang menyaksikan kekecohan selama lebih kurang 15 minit itu.
Sepertimana beliau tidak berganjak pada petang semalam, begitu
jugalah beliau tidak akan mengubah tekadnya untuk beberapa bulan akan
datang.
Dr Mahathir tidak akan tunduk dan mengalah dengan ancaman
keselamatan terhadap dirinya, sebaliknya akan terus menyebarkan
pemahaman kepada rakyat di seluruh negara tentang skandal 1Malaysia
Development Berhad.
Dr Mahathir sekali lagi akan turun padang dalam Jelajah Selamatkan
Malaysia Selamatkan Rakyat atau ringkasnya Jelajah Semarak di Pulau
Pinang pada Jumaat ini, kata pegawai kanannya
Pada perhimpunan itu, Dr Mahathir sekali lagi akan mengulangi apa
yang sudah beliau katakan sejak berbulan-bulan lalu — pentadbiran
Perdana Menteri Najib Razak mesti ditumbangkan pada pilihan raya umum
akan datang.
Kesungguhan Dr Mahathir itu senada dengan rakan barunya dalam Pakatan
Harapan yang menegaskan mereka tidak takut dan gentar dengan apa juga
ancaman atau keganasan. Mereka akan meneruskan kempen memberi penjelasan
tentang 1MDB.
“(Insiden ini) tidak jejaskan apa-apa,” katanya pegawai kanan itu ketika dihubungi semalam.
“Kami akan adakan perbincangan peringkat dalaman berhubung beberapa
perkara dan prosedur serta isu yang berbangkit daripada insiden ini.”
Pegawai kanan itu menambah beliau masih tidak dapat bercakap dengan
Dr Mahathir selepas kejadian berlaku tetapi memaklumkan bekas perdana
menteri itu dan isteri Dr Siti Hasmah Mohd Ali dalam keadaan baik-baik
saja.
Ini adalah kali kedua forum seumpamanya yang menggunakan tajuk majlis
yang sama. Forum “Nothing to Hide” pada 5 Jun 2015 di Pusat Dagangan
Dunia Putra (PWTC) dihentikan polis ketika Dr Mahathir baru enam minit
berucap atas alasan keselamatan. Forum itu dianjurkan oleh badan
Sukarelawan Peguam (SukaGuam).
Forum kedua itu bermula pada pukul 4 petang semalam dan pada awalnya
berlangsung dengan aman. Dr Mahathir sempat menjawab sekurang-kurangnya 8
soalan sebelum individu yang tidak dikenali tiba-tiba muncul dari
tengah-tengah hadirin dan membaling selipar. Tiga
orang pemuda yang didakwa pelajar kolej berjaya ditangkap dan
diserahkan kepada polis kerana dipercayai memulakan kekecohan semalam. –
Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 14 Ogos, 2017.
Keadaan bertukar kecoh dan majlis yang dikendalikan oleh peguam Azhar Harun itu berhenti serta-merta, begitu saja.
Serentak itu, sekumpulan ahli Bersatu menuju ke pentas membentuk
bulatan untuk melindungi Dr Mahathir dan kemudiannya mengiringi beliau
keluar ikut pintu belakang.
Di bawah pentas, keadaan jadi kelam-kabut. Suara terdengar
hingar-bingar. Di satu sudut dewan, ada api menyala bersama asap yang
mula menyesakkan ruang tertutup itu. Suasana kecoh merebak dan
berjangkit begitu adanya.
Di satu sudut lain, sekumpulan ahli pemuda Bersatu mengenal pasti
suspek pengacau dan mengejar mereka sampai ke luar bangunan, sehingga
hampir 100 meter dari pagar kawasan dewan.
Mereka mencekup tiga remaja yang kemudiannya diserahkan kepada polis.
Tiga suspek itu berumur antara 17 hingga 19 tahun, dua daripadanya
pelajar kolej di Selangor, kata polis. Menurut saksi, ada beberapa lagi
suspek yang sempat melarikan diri.
Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendakwa kekecohan yang ditimbulkan itu bertujuan untuk mencederakan Dr Mahathir
dan cuba menggendalakan program, berdasarkan cara pengacau itu
bertindak serta bukti beberapa helai kemeja-t Bersatu yang ditinggalkan
oleh suspek di luar dewan.
Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayob meramal akan ada banyak lagi provokasi selepas ini terutamanya apabila PRU14 semakin dekat kerana mendakwa PH sudah semakin kuat dan rakyat pula semakin faham isu 1MDB.
"Tetapi kami tidak takut. Kami akan teruskan jelajah 1MDB dan segala
aktiviti selagi ia masih dalam kerangka demokrasi," kata bekas ahli
Parlimen Kubang Kerian itu.
Dr Mahathir tak akan undur, program jelajah rakyat diteruskan
Reviewed by DetikDaily
on
Ogos 14, 2017
Rating: 5
Tiada ulasan