Header Ads


Terkini

BN tumbang dengan Tsunami Melayu?

Oleh Lim Hong Siang

Tidak ramai yang selesa dengan istilah “Tsunami Cina” seketika dahulu, tetapi ramai yang nampaknya ghairah dengan “Tsunami Melayu” sekarang. Misi menawan Putrajaya pada empat tahun lalu sungguhpun digagalkan sistem pilihan raya yang pincang, tidak dinafikan juga hakikatnya bahawa Pakatan Rakyat tidak kesampaian untuk meraih undi Melayu yang mencukupi.

Analisa pola pengundian kemudian menyimpulkan, antaranya, masyarakat Melayu atau muslim ditakut-takutkan dengan kebangkitan Cina (yang diwakili DAP), sehingga tidak berani mengorak langkah untuk perubahan pada saat-saat akhir ketika menurunkan pangkah pada kertas undinya.

Mereka tahu UMNO-BN korup, tetapi mereka tidak pasti apakah nasib masyarakat Melayu-Muslim seandainya UMNO-BN ditumbangkan.

Untuk satu jangka masa pasca 8 Mac 2008, Anwar Ibrahim dianggap ikon yang paling “Melayu” dalam Pakatan Rakyat (yang telah dikuburkan), dan Almarhum Tok Guru Nik Aziz Nik Mat dianggap ikon yang paling “Islam” untuk meyakinkan masyarakat Melayu-Muslim. Itupun ada yang mempertikaikan bahawa Anwar Ibrahim semakin “liberal” pendekatan politiknya, tanpa “liberal” ditafsirkan dengan definisi yang tepat. Anwar dituduh pro-Cina (atau lebih tepat, pro-kaum bukan Melayu), pro-Barat, terlalu banyak berganjak ketika berdepan dengan kepentingan kaum dan agama, kononnya. Jikapun ada unsur “Melayu” dalam susuk tubuh itu, ianya hanya saki-baki yang tertinggal, yang dibawa ketika gerakan zaman mudanya dan tempoh 16 tahun ketika beliau berada dalam kerajaan.

Justeru itu, ada yang meramalkan bahawa undi Melayu-Muslim kepada Pakatan tidak akan melonjak lagi, lebih-lebih lagi setelah PAS meninggalkan Pakatan. Ia membuka kesempatan susuk Dr. Mahathir Mohamad diterima masuk ke Pakatan Harapan (PH), kerana beliau dianggap sebagai ikon Melayu yang lebih “Melayu” daripada sesiapa sahaja tokoh dalam PH. Mahathir dikagumi kemampuannya memasuki kubu Melayu yang sebelum ini gagal ditembusi Pakatan Rakyat.

Sungguhpun kerjasama antara Mahathir dengan PH mencetuskan kekeliruan dan pertikaian di kalangan reformis dan penyokong pembangkang sebermulanya, namun beliau nampaknya lebih diterima di kalangan masyarakat Melayu. PH dilihat mula meluncur di atas landasan setelah mencapai muafakat dalam struktur pimpinan dan agenda yang bakal dilaksanakan dalam 100 hari pertama seandainya menawan Putrajaya.

Lantas PH menumpukan fokusnya pada isu GST, harga minyak, FELDA, rasuah dan skandal 1MDB untuk menggembleng sokongan massa. Perhitungan di sebaliknya mudah. PH menjanjikan “perubahan yang stabil”, tanpa impak yang menggegarkan sehingga mencetuskan kegusaran, terutamanya masyarakat Melayu-Muslim, yang sebelum ini menambat langkah dirinya untuk menyokong Pakatan Rakyat. Dengan kata lain, status quo akan dikekalkan, sementara rasuah (1MDB) dihapuskan, ekonomi diuruskan dengan lebih baik untuk meringankan beban kos sara hidup rakyat.

Tidak salah agenda ini didukung. Persoalan saya, apakah agenda ini cukup untuk meraih sokongan reformis, penyokong pembangkang tradisional, dan juga, sebahagian pengundi bukan Melayu yang dianggap “deposit tetap” pembangkang?

Jangan sesekali kita terlepas pandang keperluan politik kelompok di atas, yang selama ini turun ke jalan raya, dibedil gas pemedih mata, disumbat wang kertas ke dalam tin milo, berkempen dari rumah ke rumah dan sebagainya, untuk satu perjuangan, yang akhirnya memanfaatkan pembangkang. PH harus sedar, bahawa senario politik terkini sudah berbeza. Ia bukan lagi garis hitam putih sebagaimana dahulu. Pembangkang sekarang berganding bahu dengan seorang diktator pencen untuk menentang seorang diktator yang sedang berkuasa.

Sudah tentu kelompok ini menuntut sesuatu yang lebih daripada “meringankan beban kos sara hidup” dan penyiasatan skandal 1MDB. Apakah yang akan terjadi seandainya diktator yang pencen diberi kuasa semula, tanpa komitmen yang khusus untuk merombak sistem yang sedia ada? Kesemua ini menjadi “kegusaran baru”, yang menyebabkan kelompok pengundi ini keberatan untuk menyokong PH seandainya tidak ditangani dengan baik.

Lebih-lebih lagi, jangan mengambil ringan pengundi bukan Melayu yang dianggap sebagai “deposit tetap” pembangkang. Mereka menyokong Pakatan Rakyat ketika slogan “Ketuanan Rakyat” dilaungkan untuk menyanggah “Ketuanan Melayu”. Mereka juga berharap perubahan yang menyusul selepas pertukaran kerajaan persekutuan turut memanfaatkan mereka, misalnya peruntukan yang lebih adil untuk pendidikan aliran bahasa Cina, pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan sebagainya.

Jangan sesekali kita melunturkan warna idealistik yang ada, semata-mata untuk menampakkan diri lebih “ke-Melayu-an”, agar pengundi Melayu berpaling tadah. Ramai yang teruja apabila Mahathir menembusi kawasan FELDA tetapi jangan sesekali kita lupa bahawa ramai juga yang mencemuh ketika Mahathir menonton filem kontroversi, Tanda Putera bersama peneroka FELDA sebelum PRU13. Mahathir masih dilihat sebagai tokoh yang tebal dan pekat sentimen ke-Melayu-annya. Ini mungkin senjata paling tajam untuk menusuk UMNO, tetapi apakah jaminan parut (pada bukan Melayu) yang pernah dilukai keris ini tidak dicederakan sekali lagi?

Politik Malaysia adakalanya ibarat tarik tali antara kaum. Berkali-kali UMNO-BN diselamatkan kerana pandai menyeimbangi dirinya antara sokongan Melayu dengan bukan Melayu. Kekuatan PH bergantung kepada sejauh manakah semua kelompok ini digandingkan. Maka keperluan politik semua kelompok harus diambil kira, tanpa menganak-tirikan sesiapa. Tsunami Cina gagal menumbangkan UMNO-BN dalam PRU13. Begitu juga jikalau hanya “Tsunami Melayu” yang mengombak dalam PRU14.

Tiada ulasan