Header Ads


Terkini

Asal biru, kini merah; bersama Mahathir, Langkawi berubah

Oleh Zulkifli Sulong

DI Pantai Cenang, Langkawi, bendera berwarna merah dengan lambang bunga raya dipacak megah penyokongnya tanpa takut diambil tindakan oleh pihak berkuasa. Mereka percaya Bersatu pimpinan Dr Mahathir Mohamad akan menguasai pulau itu selepas pilihan raya umum ini.

Keyakinan itu berbunga selepas Bersatu menembusi dua kubu yang selama ini jadi deposit tetap Umno di Langkawi – Pulau Tuba dan Bukit Malut. Dek tembusnya dua kubu kuat itulah mereka yakin, Pakatan Harapan (PH) khususnya Bersatu akan menang kerusi Parlimen Langkawi.

Pulau Tuba mempunyai kira-kira 3,000 pengundi manakala Bukit Malut pula 10,000.

"Mahathir hero kami. Tanpa dia apalah ada pada Langkawi. Boleh jalanlah Najib," kata pemilik Sabri Water Sport and Recreation kepada The Malaysian Insight ketika ditemui sedang memasang peralatan perniagaannya di Pantai Cenang.

Sambil-sambil memasang peralatan perniagaan, dia juga menaikkan bendera Bersatu, parti pimpinan Dr Mahathir tanpa ada sedikit pun kerisauan ia akan ditegur atau diturunkan penguatkuasa tempatan pulau bebas cukai itu.

"Dr Mahathir memang punca utama keyakinan kami di Langkawi sebab tanpa beliau apalah yang ada pada Langkawi.

"Tetapi berjayanya kami menembusi Pulau Tuba dan Bukit Malut penanda aras utama kejayaan kami," kata ketua sayap Pemuda Bersatu, Firdaus Ahmad.

Najib Razak dijadualkan turun sendiri ke Langkawi pada 19 Ogos ini untuk merasmikan program berkembar, pemimpin bersama rakyat dan mesyuarat agung tahunan Umno Bahagian Langkawi.

Pelbagai acara diatur dalam majlis bersama rakyat itu termasuk cabutan bertuah yang menawarkan hadiah berjumlah RM1.5 juta berupa rumah, kereta, motosikal, basikal, telefon bimbit dan pelbagai barangan elektrik.

Kalau dua tahun lalu, wakil rakyat Umno sukar untuk menunjukkan muka di Pulau Tuba yang agak terbiar, kini pulau itu dapat tumpuan pembangunan. Wakil rakyatnya saban minggu turun berjumpa penduduk.

Dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 lalu, calon pembangkang daripada PKR yang bertanding kerusi Parlimen Langkawi hanya dapat tujuh undi saja daripada lebih 1,800 undi di Pulau Tuba. Selebihnya, mengundi Umno.

Ceritanya hampir sama di Bukit Malut yang merupakan petempatan orang Rohingya diberikan taraf kerakyatan beberapa tahun lalu.

"Dengan sambutan yang diberikan penduduk Pulau Tuba kepada program kami, kami yakin kini 50% pengundi di sini akan menyokong PH," kata Firdaus, dan menambah Bersatu mendaftarkan kira-kira 800 pengundi baharu di Pulau Tuba saja.

Faktor Mahathir yang membangunkan Langkawi daripada perkampungan nelayan sehingga jadi pusat pelancongan terkenal di dunia akan selalu tersemat dalam ingatan penduduknya.

"Kami tetap bersama dengan Tun. Itu kata mereka terutama generasi tua di Pulau Tuba," kata Firdaus, anak jati Langkawi yang pernah jadi ahli Parlimen belia.

Bagi penduduk Bukit Malut pula, mereka masih percaya, kerajaan pimpinan Dr Mahathir yang membolehkan mereka selamat tinggal di negara ini khasnya Langkawi selepas lari meninggalkan kampung halaman mereka di Myanmar.

"Kerajaan Mahathir yang selamatkan kami," kata seorang pemimpin mereka yang enggan namanya disiarkan.

Bendahari Amanah Langkawi Abdul Rahman Jamaludin berkata ketika beliau dalam PAS dulu, sudah jadi rahsia umum yang Bukit Malut dan Pulau Tuba adalah kubu Umno yang tidak boleh dipecahkan pembangkang.

"Kini dengan Tun Mahathir, kami sudah boleh masuk bersama Bersatu," katanya.

Bot yang membawa penceramah terkenal PAS ketika itu, Mohamad Sabu yang kini presiden Amanah, pernah dihalang dengan pukat oleh penduduk Pulau Tuba daripada masuk ke pulau mereka untuk berceramah.

Dr Mahathir, yang kini ketua Bersatu Langkawi disebut-sebut bakal bertanding di Parlimen Langkawi dalam PRU akan datang, walau beliau sendiri menafikannya.

"Kami harap begitulah, dia jadi calon kami dan sememangnya kami yang hendak dia pimpin Bersatu Langkawi.

Tiada ulasan