Tegaskan Pertahankan Al- Aqsa
Oleh Zin Mahmud
Jemaah haji
seluruh dunia mula sampai di Mekah, kota suci utama umat Islam. Sebelum
pulang, mereka akan menziarah Madinah, kota suci kedua umat Islam.
Tetapi umat Islam ada tiga kota
suci. Kota ketiga ialah Baitulmaqdis. Masjid tiga kota itu ialah
Masjidilharam, Masjid Nabawi dan Masjid Al-Aqsa. Tanah Haram atau Balad
Al-Haram merujuk pada suatu kawasan yang ditetapkan di Mekah dan
Madinah. Di Baitulmaqdis, kawasan itu disebut Haram Al-Sharif.
Pihak Yahudi menyebutnya sebagai Temple
Mount. Bila diterjemahkan ia menjadi Bukit Haikal. Haikal bermaksud
bangunan tinggi yang selalunya dikaitkan dengan rumah ibadat.
Jadi Temple di sini merujuk pada Solomon
Temple atau Haikal Sulaiman. Sebahagian orang Yahudi mempercayai di
Haram Al-Sharif it merupakan tapak Haikal Sulaiman yang wujud pada zaman
purba.
Kini
Tanah Haram Mekah dan Madinah adalah di bawah pengurusan Arab Saudi di
mana rajanya juga bergelar Khadim Al-Haramain atau Penjaga Dua Tanah
Haram. Tetapi bagi Haram Al-Sharif ia berada di bawah perlindungan Raja
Jordan walaupun Baitulmaqdis di bawah penguasaan Israel.
Rasulullah SAW membesar di Mekah. Baginda
sering beribadat di Masjidilharam walaupun ketika Mekah masih berada
dalam zaman jahiliah dengan Kaabah dikelilingi berhala kaum Musyrikin.
Setelah Rasulullah SAW menerima wahyu dan
berdakwah, berlakulah peristiwa Isra dan Mikraj.
Perjalanan Isra adalah
dari Mekah ke Baitulmaqdis. Dari Masjid Al-Aqsa di kota itu, baginda
melakukan Mikraj ke Sidratul Muntaha.
Rasulullah SAW kemudian berhijrah ke Madinah
dan mendirikan masjid yang kini dikenali sebagai Masjid Nabawi. Hadis
ada menyebut mengenai tiga kota suci iaitu Mekah, Madinah dan
Baitulmaqdis.
Sebelum Hijrah, umat Islam tidak menguasai
kota-kota itu. Semasa awal Hijrah, Rasulullah SAW hanya menguasai
Madinah sementara Mekah masih dalam tangan Musyrikin. Ketika itu
Baitulmaqdis di bawah Empayar Rom Bizantin berpusat di Constantinople,
kini Istanbul.
Beberapa tahun kemudian barulah orang Islam
dapat menguasai Mekah. Masjidilharam dibersihkan daripada berhala. Maka
umat Islam dapatlah menguasai Mekah dan Madinah. Namun hanya pada zaman
Khalifah Umar Ibn Khattab, orang Islam dapat menguasai Baitulmaqdis. Ia
berlaku tanpa pertumpahan darah.
Khalifah Umar datang ke Baitulmaqdis dan
Ketua Paderi yang mentadbir kota itu menunjukkan satu kawasan runtuhan
dipercayai terletaknya Masjid Al-Aqsa.
Beliau mengarahkan pembersihan kawasan itu
yang kini dikenali sebagai Haram Al-Sharif. Pada zaman Umayah, bangunan
Masjid Al-Aqsa dan Kubbah Sakhrah atau Dome of the Rock dibina.
Selepas Abasiah, Baitulmaqdis ditawan oleh
Turki Seljuk sebelum datangnya Fatimiah. Kemudian tentera Salib dari
Eropah datang dan menakluk Baitulmaqdis, membunuh semua orang Islam dan
Yahudi di situ.
Mereka menubuhkan Kingdom of Jerusalem dan
menamakan Masjid Al-Aqsa sebagai Solomon Temple, sementara Dome of the
Rock dijadikan gereja.
Menghalau
Hanya semasa Salahuddin Ayubi, Baitulmaqdis
dapat kembali berada pada pemerintahan orang Islam. Ia kemudian
diperintah oleh Kekhalifahan Uthmaniah sebagai sebahagian wilayah
Palestin.
Uthmaniah juga memerintah Semenanjung Arab
termasuk Mekah dan Madinah. Ini bermakna ketiga-tiga kota suci Islam di
bawah kekuasaannya.
Kerajaan Uthmaniah melantik keluarga
Hashimiah untuk terus mentadbir Mekah dan Madinah sebagai pemerintah
Hejaz. Keluarga Hashimiah telah mentadbir dua kota suci itu sejak kurun
ke-10.
Apabila keluarga Saud menguasai Hejaz dan
mentadbir Mekah dan Madinah pula, keluarga Hashimiah tetap mentadbir
wilayah yang kini meliputi Syria, Iraq, Palestin dan Jordan.
Apabila Britain dan Perancis masuk, keluarga
Hashimiah hanya dapat memerintah Syria, Iraq dan Transjordan secara
kerajaan berasingan. Palestin diletakkan di bawah mandat Britain tetapi
Haram Al-Sharif tetap ditadbir oleh keluarga Hashimiah.
Selepas Perang Dunia Kedua, Britain telah
menyerahkan sebahagian daripada Palestin kepada Zionis untuk dijadikan
Israel. Zionis menghalau orang Palestin dengan melancarkan serangan
keganasan.
Namun Tebing Barat Sungai Jordan termasuk
Baitulmaqdis diletakkan di bawah keluarga Hashimiah yang memerintah
Tebing Timur Sungai Jordan dikenali sebagai Transjordan.
Ia kemudian dinamakan Kingdom of Jordan. Maka
Raja Jordan tetap mentadbir Masjid Al-Aqsa. Tetapi keluarga Hashimiah
kehilangan Syria dan Iraq apabila kedua-dua negara itu menjadi republik
dalam rampasan tentera.
Dalam tahun 1967, negara-negara Arab iaitu
Jordan, Mesir, Syria dan Iraq berusaha membebaskan Palestin daripada
rejim Zionis yang memerintah dari Tel Aviv. Tetapi dalam peperangan itu,
pihak Zionis dapat mengalahkan mereka dan menawan Gaza, Sinai, Bukit
Golan dan Tebing Barat termasuk Baitulmaqdis dan Masjid Al-Aqsa.
Apabila Britain dan Amerika Syarikat (AS)
campur tangan, perjanjian damai diadakan antara Jordan dan Israel. Haram
Al-Sharif dan Masjid Al-Aqsa tetap di bawah pentadbiran dan jagaan
Jordan, ketika itu di bawah Raja Hussein.
Sungguhpun begitu Zionis terang-terang
mahukan keseluruhan Baitulmaqdis termasuk Haram Al-Sharif. Selain
daripada propaganda dan penyelewengan sejarah dilakukan untuk meyakinkan
dunia bahawa Haram Al-Sharif itu adalah Temple Mount dan di situlah
tapak Haikal Sulaiman.
Mereka juga melakukan kerja kaji gali
arkeologi di bawah Masjid Al-Aqsa untuk mendapatkan bukti dakwaan
mereka. Selain itu terdapat gerakan Yahudi yang mahu mendirikan semula
Haikal Sulaiman di atas Haram Al-Sharif.
Gambar, reka bentuk dan model Haikal Sulaiman
telah pun dibuat dengan harapan satu hari cita-cita mereka tercapai
apabila mereka dapat menguasai Haram Al-Sharif.
Maka dalam konteks ini, pada minggu lalu
Israel telah memasang alat pengesan logam di pintu masuk Masjid Al-Aqsa
atas alasan mengelak penyeludupan senjata ekoran terbunuhnya polis
sebelumnya.
Mereka juga membenarkan hanya orang berusia
lebih 50 tahun boleh masuk ke masjid itu. Bagi rakyat Palestin, tindakan
Israel tersebut adalah usaha untuk menguasai Masjid Al-Aqsa.
Mereka protes dengan enggan memasuki masjid
itu. Kejadian lempar batu juga berlaku dan ada orang Palestin turut
terbunuh ditembak tentera Israel.Orang Palestin bersembahyang di luar
masjid. Mereka juga mengadakan demonstrasi. Suasana tegang menarik
perhatian umat Islam seluruh dunia.
Presiden Turki, Reccep Tayyip Erdogan
menegaskan bahawa Masjid Al-Aqsa adalah milik umat Islam seluruh dunia
dan mereka semua akan mempertahankannya.
Rundingan pun diadakan antara Raja Jordan,
Abdullah, dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu. Akhirnya
beliau mengarahkan pemasangan alat pengesan logam di pintu masuk masjid
itu dibatalkan. Sebaliknya pihak Israel nya akan menggunakan teknologi
canggih lain untuk mengesan senjata.Rakyat Palestin menganggap perkara
ini satu kemenangan.
Sikap tegas jemaah masjid itu telah dapat
memelihara Haram Al-Sharif supaya tidak sedikit pun pihak Zionis
menguasainya. Tanpa protes orang Palestin, kejayaan pemeliharaannya
tidak akan dapat tercapai.
Tiada ulasan