Header Ads


Terkini

Kuatkuasa akta dana politik sebelum PRU

Oleh Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man

PAS menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Paul Low Seng Kuan untuk mempercepatkan penggubalan Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik untuk dibentangkan di sidang Parlimen akan datang.

Ini kerana sudah setahun idea Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik telah diutarakan dan jawatankuasa teknikal untuk mengkaji akta ini sudah ditubuhkan beberapa bulan yang lalu.

Tambahan pula, PAS melalui Gagasan Sejahtera telah menyerahkan dokumen sokongan kepada Paul Low pada April yang lalu. Sepatutnya segala kajian dan cadangan mengenai akta ini sudah pun selesai. Apakah yang sedang menyebabkan kelewatan ini?

PAS ingin menegaskan bahawa akta itu sangat penting memandangkan wujud dua isu besar yang sering berlaku ketika pilihan raya umum. Isunya, dana yang diberikan kepada parti-parti politik dan juga politik wang. Kedua-dua isu ini boleh merosakkan parti dan negara.

Di Malaysia tidak ada akta yang mengawal politik kecuali akta pilihan raya yang mengehadkan jumlah duit kempen pilihan raya umum. Apabila tidak ada akta, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak boleh berbuat apa-apa.

Jika ia tidak dibendung, perkara sebegini akan berterusan. Dengan wujudnya akta ini nanti, ia dapat mengawal supaya politik wang tidak akan berlaku. Politik wang akan melahirkan parti yang merosakkan parti politik di negara ini.

Berbeza dengan Paul Low, PAS berpendapat seeloknya akta ini dapat dikuatkuasakan sebelum diadakan pilihanraya umum ke-14 (PRU14) supaya amalan politik wang dan budaya rasuah dapat dikawal untuk mengelakkan insiden pembelian undi.

Ia juga dapat mengelakkan peristiwa seperti dana derma berbilion ringgit daripada negara luar dapat disalurkan tanpa dikesan sehingga ia terbongkar di ruangan awam.

Semua ini adalah untuk memastikan pilihanraya dapat diadakan dalam keadaan yang betul-betul adil dan padang yang rata.

Memandangkan, setakat ini, tiada siapa yang tahu bila akan diadakan PRU14, Paul Low perlu mempercepatkan usaha kementeriannya agar akta ini dapat dikuatkuasa sebelum PRU14, dan bukannya bernada putus asa bahawa akta ini tidak akan dapat dilaksanakan sebelum PRU14.

Atau Paul Low sudahpun mengetahui tarikh yang bakal diadakan PRU14?

Ramai yang merintih dengan kepayahan membuat perancangan kerana tarikh PRU14 masih tidak diketahui. Akibat tarikh yang tidak diketahui, semua berada dalam spekulasi. Pelbagai acara dikait dengan PRU14, keadaan ini sangat tidak baik bagi sebuah masyarakat dan negara.

Sepatutnya tarikh PRU14 sudah diumumkan. Ia memudahkan rakyat dan menteri seperti Paul Low untuk membuat perancangan.

* Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man adalah timbalan presiden PAS.

Tiada ulasan