Header Ads


Terkini

Kerugian RM8.7 bilion kumpulan Felda setaraf kerugian 1MDB, dakwa Rafizi

PETALING JAYA: Kerugian RM8.7 bilion dialami kumpulan Felda sejak 2013 hingga 2015 meletakkan syarikat itu setaraf kerugian dialami 1MDB, dakwa Rafizi Ramli.

Rafizi mendakwa, kerugian berpanjangan sejak 2013 meletakkan syarikat itu dalam kedudukan yang tenat dari aspek kewangan.

“Saya ingat cukuplah satu perkara saja iaitu 1MDB hingga kecoh di serata dunia tetapi kini kumpulan Felda ini tidak jauh dari segi prestasinya.

“Jika kumpulan Felda adalah sebuah syarikat biasa yang tidak dijamin kerajaan, syarikat Felda sudah diisytihar muflis,” katanya pada sidang media hari ini.

Rafizi mendakwa kumpulan Felda mencatatkan kerugian komprehensif melebihi RM1 bilion setiap tahun sejak Felda Global Ventures (FGV) disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur pada 2012.

“Maklumat jumlah pegangan saham kumpulan Felda di dalam FGV dan jumlah dividen diumumkan FGV boleh didapati di dalam laporan tahunan FGV 2013 hingga 2015.

“FGV alami kerugian sebanyak RM1.670 bilion pada 2013, RM1.109 bilion (2014) dan RM1.112 bilion (2015),” katanya.

Jelasnya, kerugian ini turut memberi kesan kepada jumlah dividen yang FGV bayar kepada kumpulan Felda, melihat kepada penurunan dividen secara mendadak daripada RM256 juta pada 2013 kepada RM49 juta pada 2015.

Naib presiden PKR itu berkata, kerugian berterusan ini menyebabkan beliau lebih bimbang akan isu Felda berbanding 1MDB.

“Kerugian kumpulan Felda ini melibatkan kerajaan Persekutuan yang menguruskan kehidupan lebih kurang 100 ribu keluarga peneroka.

“Bukan semua peneroka kaya. Masih ada peneroka tinggal di rumah kayu, tidak banyak berbeza dengan sewaktu mereka miliki rumah asal ketika mula menjadi peneroka.

“Jika berlaku sesuatu, ia memberi kesan kepada Felda untuk membayar elaun (dan) menanggung perbelanjaan tanam semula. Kesannya terlalu menakutkan untuk dibayangkan,” katanya.
FMT masih menunggu respon daripada Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Samad.
https://susukunyitplus.blogspot.my/

Tiada ulasan