Header Ads


Terkini

Dilema PKR

Oleh Zin Mahmud 

Seharusnya kenyataan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) pada 29 Ogos lalu menjadi pendirian muktamad gabungan parti pembangkang itu untuk menyertai pilihan raya umum (PRU) ke-14 tanpa PAS dan bersedia menghadapi pertandingan 3 penjuru.

Namun, 5 hari kemudian, keluar laporan Ketua Umum PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim merestui usaha Pengarah Pilihan Raya Datuk Seri Azmin Ali berunding dengan PAS bagi mengelak pertandingan 3 penjuru itu.

Ia sekaligus menunjukkan isu rundingan PKR dan PAS tidak akan berakhir.

Hanya dalam PKR, isu rundingan dengan PAS ini terus dibincangkan dengan wujud 2 pandangan bertentangan.

Ada pihak yang berpendapat bahawa usaha untuk mewujudkan pertandingan satu lawan satu wajar diteruskan. Sementara pihak yang lagi satu percaya bahawa pertandingan satu lawan satu sudah tidak wajar diteruskan dan tumpuan patut diberikan bagi mendapatkan undi bagi PH, walaupun akan terdapat pelawanan 3 penjuru.

Bagi parti lain dalam PH iaitu DAP, Amanah dan PPBM, mereka kelihatan bersedia untuk menyertai PRU walaupun berbentuk 3 penjuru, menentang PAS. Bagi mereka sudah tidak ada gunanya berunding dengan parti itu dan membenamkan saja sebarang harapan untuk bertanding satu lawan satu.

Sebab itu mesyuarat Majlis Presiden PH dianggap penting sebagai penegasan muktamad bahawa ia tidak akan bekerjasama dengan PAS dalam pilihan raya akan datang. Mesyuarat yang memakan masa 4 jam itu menamatkan perbincangan masalah itu, dan seterusnya memutuskan ketua negeri PH, yang juga mencerminkan pembahagian kawasan pilihan raya yang akan ditandingi kelak.
Ke mana Azmin?

https://susukunyitplus.blogspot.my/
Walaupun mesyuarat itu ternyata mencapai kesepakatan dalam hal menolak PAS, yang bermakna PKR juga bersetuju dengan pendirian parti lain mengenai isu ini, tetapi terdapat satu perkara penting yang merupakan suatu kekurangan telah berlaku di situ.

Perkara itu ialah ketidakhadiran Azmin. Beliau yang merupakan timbalan presiden PKR adalah ahli penting Majlis Presiden gabungan parti pembangkang itu. Selain daripada menjadi naib presiden PH, Azmin juga pengarah pilihan rayanya.

Keputusan mesyuarat itu tetap sah dari segi PKR kerana kehadiran presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Datuk Saifuddin Abdullah juga dari PKR tetapi beliau bertindak sebagai ketua setiausaha Sekretariat PH.

Di kalangan PKR, pemimpin di pihak yang menentang kerjasama dengan PAS ialah Rafizi Ramli. Beliau yang menyandang jawatan Naib Presiden PKR mencadangkan supaya kongres khas parti diadakan bagi memuktamadkan keputusan menolak kerjasama dengan PAS. Bagaimanapun Azmin menolak cadangan itu.

2 pengarah pilihan raya

Seorang lagi pemimpin PKR yang kelihatan menolak kerjasama dengan PAS ialah Datuk Saifuddin Nasution. Beliau bukan saja merupakan setiausaha agung PKR tetapi juga pengarah pilihan raya parti itu.

Adakah pengarah pilihan raya PKR berbeza pandangan dengan pengarah pilihan raya PH?

PKR terkenal sebagai parti yang meluahkan perbezaan pandangan dalamannya ke khalayak umum.

Apabila surat Anwar yang menyatakan beliau merestui usaha PKR berunding dengan PAS bagi mengelak pertandingan 3 penjuru dihebahkan, Rafizi membuat tafsiran berbeza.

Menurutnya Anwar dalam surat itu menyatakan rundingan dengan PKR hendaklah turut dalam konteks bersama dengan parti PH yang lain. Jika PH menolak kerjasama dengan PAS, maka PKR perlu hentikan sebarang rundingan dengan mereka.

Rafizi selanjutnya menghujahkan mengenai kesukaran bekerjasama dengan PAS atas realiti pembahagian kerusi. Pada asasnya PAS mahu bertanding di semua kawasan yang pernah ia sertai dalam PRU ke-13 ketika berada dalam Pakatan Rakyat. Jika ia dituruti, maka tidak ada kawasan yang boleh diperuntukkan untuk Amanah dan PPBM.

Nampaknya, kalau kedua-dua parti baharu itu hendak bertanding, maka PKR dan DAP hendaklah menyerahkan sebahagian kawasan yang mereka tandingi dalam PRU ke-13 itu kepada PPBM dan Amanah.

Ugutan keluar PH

Tetapi dalam mesyuarat itu, adalah dipercayai bahawa penolakan kerjasama dengan PAS bukan semata-mata atas soal masalah pembahagian kawasan. Apa yang lebih penting ialah soal fahaman politik parti-parti PH yang tidak dapat menerima ideologi PAS.

Ada satu khabar menyatakan bahawa terdapat sebuah parti PH yang amat bertegas menolak kerjasama dengan PAS hingga membawa kepada peringkat ugutan dalam bentuk langkah politik.
Walaupun khabar itu tidak menyebut nama parti bagi memelihara hubungan baik antara barisan pembangkang itu, tetapi dapat diagak parti mana yang mengambil sikap tegas itu. Juga walaupun tidak disebut langkah politik apa yang dijadikan sebagai ugutan, tetapi ia juga boleh diagak. Adalah dirasakan parti itu ialah DAP dan ugutan politik ialah menarik diri daripada PH.

Namun begitu, pertentangan fahaman politik bukan saja berlaku antara DAP dan PAS. Tetapi fahaman politik PAS adalah juga bercanggah dengan parti-parti lain dalam PH termasuk PKR.

Perkara fahaman politik inilah seringkali dilupakan apabila terlalu tertumpu untuk memenangi pilihan raya.

Walaupun kesemua parti PH mempunyai fahaman politik berbeza tetapi mereka boleh bersetuju dalam satu platform bersama. Kerjasama mereka dalam PH bukan semata-mata strategi dan taktik bagi memenangi pilihan raya tetapi juga atas prinsip politik yang dikongsi bersama.
Fahaman politik PH

Ini bermakna PH juga mempunyai fahaman politiknya tersendiri, yang bukan saja bertentangan dengan Barisan Nasional (BN) tetapi juga PAS.

Fahaman politik PH terkandung dalam manifestonya ketika pengumuman mengenai lambang dan pucuk kepimpinannya yang menamakan Anwar sebagai ketua umum dan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pengerusi Julai lalu.

Pada umumnya fahaman politik PH yang ditunjukkan melalui manifestonya adalah urus tadbir negara yang baik. Apa yang disebut sebagai siasatan terhadap skandal 1MDB dan pembanterasan rasuah merupakan ciri-ciri baik dalam urus tadbir negara.

Jadi jika itu urus tadbir negara yang baik, maka ia merupakan fahaman politik PH. Tetapi tidakkah ia sama juga dengan perjuangan PAS dan BN? Tentunya PAS dan BN juga mahu mengurus tadbir negara dengan baik.

Di sinilah terdapat perbezaan antara PH dengan PAS dan BN. Perbezaan ketara terletak pada isu 1MDB. Bagi PH, soal 1MDB adalah suatu isu urus tadbir negara. Sedangkan bagi BN dan PAS, ia tidak menjadi isu.

Tetapi di peringkat ideologi parti, perbezaan antara mereka adalah lebih mendalam. Ia menyentuh keadaan di mana berlaku kompromi yang boleh membawa kerjasama. Di sini terdapat isu ideologi politik Islam. Kedua-dua, PAS dan Amanah berpegang pada ideologi politik Islam. Namun tafsiran dan sikap kedua-duanya terhadap ideologi politik itu bukan saja berbeza, malah bertentangan.

Kesannya ialah Amanah boleh berada dalam PH tetapi PAS tidak boleh. Bagi PAS, tidak ada kompromi dengan DAP. Begitu juga DAP tidak boleh berkompromi dengan PAS. Tetapi dengan Amanah boleh.

Keempat-empat parti ini, DAP, PKR, PPBM dan juga BN boleh dilihat oleh sebahagian pihak sebagai sekular. Cumanya PKR, PPBM dan BN adalah parti sekular yang sederhana dan berkompromi dengan fahaman politik Islam dan nasionalisme Melayu. PKR melalui ketua umumnya menampil dirinya sebagai demokrat Muslim. Tetapi dalam PKR terdapat tradisi Parti Rakyat yang berfahaman sosialisme. Dari satu segi fahaman politik, PKR adalah berada di tengah-tengah antara DAP dan Amanah.

Bagaimanapun parti yang jelas menekankan soal sekularisme ialah DAP. Secara tradisi, ideologi parti itu ialah sosialisme demokratik.

Sementara Amanah yang anggotanya adalah asalnya elemen progresif dalam PAS menampilkan dirinya sebagai demokratik Islam. Parti itu asalnya mahu mendaftar sebagai Parti Progresif Islam.

Tetapi setelah ditolak pendaftarannya, ia mengambil alih sebuah parti pekerja berhaluan sosialis.

Sementara itu, sebahagian ahli PKR adalah bekas ahli Umno seperti mana juga anggota PPBM.
Maknanya mereka berkongsi akar dengan BN. Namun begitu, PKR, DAP, PPBM dan Amanah boleh berkompromi dan berkongsi platform dalam PH di atas fahaman politik tadbir urus negara yang baik.

Tiada ulasan