Tun M, kami tak lupa Semarak
Oleh Budiman Mohd Zohdi
SAYA masih remaja pada ketika itu. Saya dalam tingkatan tiga. Program Semarak akan singgah di Sungai Besar. Ketika itu saya dan rakan-rakan menginap di asrama sekolah. Kami diarah balik ke rumah kerana asrama tempat kami menginap akan digunakan untuk program Semarak.
Kami diberitahu, Dr Mahathir Mohamad, perdana menteri akan datang ke Sungai Besar.
Tiba hari yang diperkatakan, orang ramai membanjiri padang sebuah kawasan yang dikenali Tonggak 10.
Di atas pentas kelihatan Muhammad Mohd Taib (ketika itu menteri besar Selangor), Mohamad Rahmat (ketika itu menteri penerangan) dan Megat Junid Megat Ayub.
Inilah kali pertama saya melihat pemimpin secara langsung dan lebih dekat.
Tugas saya pada hari itu mengedarkan nasi bungkus kepada yang hadir di dua lokasi berlainan iaitu Parit 2 Barat dan Tonggak 10. Upahnya tugasan seharian sekadar RM5. Cukuplah untuk makan minum saya ketika itu.
Sebenarnya bukanlah menjadi rahsia lagi yang program Setia Bersama Rakyat atau Semarak yang diilhamkan Dr Mahathir ketika beliau menjadi perdana menteri, timbul hasil krisis kepercayaan rakyat terhadap dirinya sendiri.
Rakyat masih ingat pertarungan politik hebat dalam Umno pada 1987.
Apabila Dr Mahathir dicabar pada tahun berkenaan yang terjadi disebabkan krisis kepimpinan di dalam parti, beliau menyatakan separuh daripada orang dalam parti tidak menyokongnya.
Mana kita boleh lupa yang beliau ketika itu hanya memperoleh 43 undi.
Oleh sebab itu Dr Mahathir terpaksa pergi kepada akar umbi untuk memberitahu orang Umno yang “saya mendapat sokongan daripada rakyat.”.
Atas dasar itu, kempen Semarak menjelajah ke seluruh negara.
Semarak menurut Dr Mahathir, kononnya lebih kepada kempen meningkatkan semangat cintakan negara dalam kalangan rakyat.
Tetapi realitinya lebih kepada usaha untuk Dr Mahathir mengekal status quo beliau dalam kerajaan dan parti serta “mengangkat” kembali imej dan maruahnya ketika itu yang sedang tercalar.
Sebab itu, walaupun teruk diserang kiri dan kanan, Dr Mahathir terus mendapat sokongan terutama dalam kalangan ahli Umno yang membulatkan tekad terus setia padanya atas prinsip kesetiaan kepada pemimpin.
Dalam konteks ini, kesetiaan terhadap presiden kerana ia adalah falsafah yang dipegang jutaan ahli Umno dari dulu hingga sekarang.
Najib Razak sendiri pernah mengulas mengenainya dalam perhimpunan agung Umno tahun lalu.
Najib berkata, prinsip kesetiaan kepada pemimpin dan falsafah wala’ yang sentiasa dipegang dirinya dan ahli Umno lain selama ini antara sebab Umno mampu bertahan sehingga kini.
Malah, katanya, masih diingat bagaimana beliau terpaksa mengetepikan” Tengku Razaleigh Hamzah sehingga rakan baiknya itu berkecil hati semata-mata mahu menunjukkan kesetiaannya terhadap Dr Mahathir selaku presiden parti pada pemilihan presiden Umno 1987.
“Dalam episod pertembungan antara Team A dan Team B, semasa pemilihan presiden Umno pada 1987, sebagai yang saya sebutkan pada perhimpunan agung tahun lalu, ketika itu siapa yang setia berada di belakang Dr Mahathir kalau bukan kita, ahli-ahli Umno.
“Hinggakan Tengku Razaleigh ketika itu berkecil hati atas keputusan saya dan pasukan berpihak kepada Dr Mahathir. Namun ketahuilah, saya lakukan itu semata-mata berpegang atas prinsip wala’ dan tuntutan kesetiaan kepada seorang presiden parti, walaupun secara peribadinya saya sangat akrab dengan Tengku Razaleigh dan sehingga kini saya tetap menghormati beliau sampai bila-bila.”
Najib turut mengimbas peristiwa apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 1988 mengisytiharkan Umno sebagai pertubuhan haram.
“Siapa juga pada saat-saat genting dan mendebarkan tersebut, yang berdiri teguh menyokong dan membantu Dr Mahathir selaku presiden, sehingga Umno baharu secara rasmi diterima semula secara sah?
“Siapa lagi, siapa lagi, kalau bukan kita, orang Umno,” katanya.
Hari ini imej Najib tercalar diserang pembangkang atas pelbagai tohmahan mereka. Saya bersama-sama jutaan ahli-ahli Umno lain mengamalkan konsep setia ini ke atas Najib yang kini perdana menteri dan presiden parti?
Adakah ini satu kesalahan?
Kenapa pula Dr Mahathir dan para sekutunya sangat marah bila jutaan ahli parti memberi sokongan tidak berbelah bagi kepada presiden parti mereka sendiri?
Dan bukankah Dr Mahathir juga mengajar kami perkara yang sama dalam program Semarak yang dianjurkannya ketika di tampuk kuasa dulu?
Mengapa Dr Mahathir tidak memberi pandangan sinis kepada penyokong yang membuta tuli ke atas ketua umum sebuah parti yang sudah diputuskan bersalah ke atas kesalahan jenayah dan penyokongnya menganggap pemimpinnya masih tidak bersalah?
Saya sendiri cukup menyanjung konsep wala’ ini kerana ia selari dengan tuntutan agama.
Wala’ daripada segi bahasa ialah penjaga, pemimpin, pelindung dan penyerahan malah, ia juga membawa maksud dekat, kasih, mengikut, memberi pertolongan dan perlindungan.
Menurut Timbalan Syeikh Universiti Al-Azhar Mesir, Prof Dr Abbas Syuman, konsep itu juga akan menentukan sesebuah kerajaan dapat bertahan lama dalam keadaan aman dan harmoni.
Menurutnya, sesebuah negara akan hancur akibat perpecahan jika ahlinya gagal menunaikan tanggungjawab menzahirkan wala’ dan taat atau kesetiaan kepada ketua, pemimpin dan negara.
“Kesetiaan merujuk kepada semangat sepasukan dalam suatu saf yang kukuh lagi padu tidak terpisah daripada pemimpin dan ketuanya.
“Ia menjadi tuntutan agama lebih-lebih lagi dalam budaya pandangan dan tindakan politik berasaskan prinsip spekulasi dan andaian pada hari ini,” katanya.
Boleh rujuk apa yang saya katakan itu dalam ucaptama Dr Abbas di Seminar Antarabangsa Wasatiyyah 2017 Fiqh Wala’ dan Taat: Peranannya Dalam Mensejahterakan Negara baru-baru ini.
Dr Abbas menambah: “Konsep wala’ yang diamalkan di dalam sesebuah organisasi politik bermaksud kesetiaan seseorang kepada ketua, pemimpin, imam atau seumpamanya dipupuk dengan nilai kasih sayang, kepatuhan, sumpah setia, taat dan bai’ah yang wajib diberikan kepada pemimpin sah.”
Pada saat pemimpin kita ditohmah, salah kita mempertahankannya?
Sekurang-kurangnya Najib telus bila memperkatakan mengenai konsep setia, dari bawah ke atas dan bukan seperti Dr Mahathir yang terpaksa mengarahkan juak-juaknya dan agensi kerajaan yang ada untuk mengaburi rakyat di sebalik “roadshow” Semarak dulu.
Kami tidak lupa Tun M. –
* Budiman Mohd Zohdi ialah ahli Parlimen Sungai Besar.

Tiada ulasan