Perjuangan lama dalam parti baharu
Dengan bertujuan memperkecil-kecilkan Parti Amanah Negara (AMANAH) ada pihak menyebut bahawa parti ini adalah baharu kerana ia ditubuhkan pada tahun 2015, lebih-lebih lagi apabila dibandingkan dengan parti-parti lain dalam Pakatan Harapan, sebelum adanya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
Ekoran itu ada yang memandang kecil pada Amanah apabila dibandingkan dengan Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Iaitu terdapat faktor ketuaan atau kesenioran antara parti itu, seolah-olah seperti pelajar kolej yang mana senior memperkecilkan junior.
Apabila PPBM ditubuhkan pada tahun ini, cara pandangan senior-junior turut ditujukan pada parti itu. New kid in the block, seperti dalam ungkapan Inggeris merujuk seseorang yang baharu dalam lingkungan kawan-kawan di suatu kejiranan. Walaupun AMANAH lebih tua daripada PPBM, kira-kira dua tahun saja, tetapi kedua-dua parti ini dianggap sekutu muda dalam Pakatan Harapan berbanding DAP dan PKR yang dianggap tua.
Hakikat bahawa banyak anggota AMANAH termasuk pemimpin-pemimpinnya telah aktif dalam politik, bukan sebarang politik tetapi politik pembangkang menentang Barisan Nasional sejak tahun 1981 tidak diambil kira. Lebih-lebih lagi antaranya pernah ditahan melalui Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Walaupun kegiatan politik mereka dibuat melalui parti lain.
Begitu juga dengan PPBM. Walaupun ia baharu ditubuhkan tetapi ahli-ahlinya bukan orang baharu. Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri berusia 92 tahun yang menyebabkan beliau lebih senior daripada sesiapapun dalam Pakatan Harapan sekarang.
Sebenarnya dalam Pakatan Harapan ini tidak timbul siapa senior atau junior. Semua parti Pakatan Harapan mempunyai kedudukan setaraf dengan ketua masing-masing berada dalam majlis kepimpinannya. Walaupun dari segi parti, AMANAH dan PPBM belum diuji dalam pilihan raya umum tetapi pemimpin-pemimpinnya turut menang sebelum ini sama ada atas nama Pakatan Rakyat atau Barisan Nasional.
Sememangnya dari segi usia rasmi parti, DAP boleh dianggap paling tua kerana ditubuhkan pada tahun 1965. Ini diikuti dengan PKR yang didaftar pada tahun 2003. Sementara Amanah adalah pada tahun 2015 dan PPBM pada tahun 2017.
Namun, parti bukan sekadar organisasi yang didaftarkan. Ia terdiri daripada sekumpulan aktivis yang kebanyakannya sudah berkecimpung dalam perjuangan lebih lama.
Walaupun PKR didaftarkan pada tahun 2003 tetapi tarikh itu merupakan gabungan Parti Keadilan Nasional dan Parti Rakyat Malaysia (PRM). Keadilan pula ditubuhkan lebih awal lagi iaitu pada tahun 1999. Tetapi PRM pula lebih tua lagi, iaitu tahun 1955.
Namun begitu Keadilan sendiri merupakan perubahan nama kepada Ikatan Masyarakat Islam Malaysia yang ditubuhkan lebih awal iaitu pada tahun 1991. Pun begitu aktivisnya telah bergerak sebelumnya dalam Pergerakan Keadilan Sosial (Adil) yang ditubuhkan pada tahun 1998.
Sementara AMANAH pula adalah hasil daripada perubahan nama Parti Pekerja-pekerja Malaysia (PPM) yang ditubuhkan lebih awal lagi iaitu pada tahun 1978. Sebelum AMANAH dapat ditubuhkan, aktivisnya bergerak dalam Gerakan Harapan Baru (GHB) yang ditubuhkan pada tahun 2015.
Dalam DAP pula, banyak aktivis yang senior dalam DAP sebelumnya adalah dari parti lain. Walaupun banyak merupakan bekas anggota Parti Tindakan Rakyat (PAP) ketika Singapura dalam Malaysia, tidak kurang juga yang merupakan aktiviis Parti Buruh Malaya yang jauh lebih tua.
Umum mengetahui banyak aktivis AMANAH adalah' bekas anggota Parti Islam Se-Malaysia (Pas) dan di antara mereka pula ada yang pernah menganggotai Keadilan juga. Begitu juga banyak aktivis PKR dan PPBM adalah bekas anggota Umno.
Maka jika dilihat dari sudut ini, di antara parti-parti Pakatan Harapan, tidak ada yang boleh disebut tua atau muda. Kesemuanya adalah setara dalam perjuangan untuk rakyat dan negara demokrasi Malaysia.-http://akhbarrakyat.blogspot.my/
Tiada ulasan