Header Ads


Terkini

Mencari Kewajaran Islam Di Malaysia

Oleh Dinsman 

Apa maksud mencari kewajaran Islam di Malaysia? Maksudnya ialah terdapat banyak ketidakwajaran berlaku dalam amalan, nilai, kepercayaan dan fahaman di kalangan umat Islam di Malaysia; dan saya memerhati dan menganalisa sebahagian daripadanya, untuk melihat kewajarannya, dalam tempoh 2008 hingga 2014.

Tanpa tujuan itu pun sebenarnya, kerana saya menulis kolum di dalam akhbar yang terbit dua kali seminggu; dengan pelbagai topik dan isu – politik, seni dan sastera, sosio-budaya, Islam dan keIslaman, tokoh dan ketokohan, pemikiran, dan macam-macam. Sekitar 460 esei semuanya, dalam tempoh tujuh tahun.

Daripada sejumlah itu telah dipilih 29 esei mengenai perancangan seni-budaya dan pemikiran mengenainya, dibukukan dengan judul Pemikiran dan Perancangan Seni-budaya (2012). Kemudian dipilih pula 15 esei khusus di sekitar kepemimpinan Tok Guru Nik Aziz, untuk menjadi sebahagian kandungan buku Kelantan 22 Tahun Bukti Kejayaan (2013).

Pada tahun 2015 dipilih lagi 36 esei, mengenai seni-budaya juga, dengan bahan-bahan yang baru, dan dibukukan dengan judul Jelajah Budaya.

Dan kini dipilih lagi 63 esei, ditambah lapan daripada kolum lain di akhbar online, menjadi jumlah kesemuanya 71 esei, yang akan dibukukan. Apabila dibaca semula semua esei berkenaan berkali-kali sebelum dicetak, saya dapati wacananya adalah mengenai pencarian kewajaran Islam di Malaysia.

Mencari kewajaran Islam! Satu persoalan yang saya kira sangatlah menarik. Seperti disebut tadi, terdapat banyak ketidakwajaran berlaku dalam kehidupan kita orang Islam di negara ini. Dan buku ini membahagikan 71 eseinya kepada 10 bahagian, atau lapangan, iaitu:

Ilham dari al-Quran (3 esei), Ulamak dan kepemimpinan (A) (6 esei), Ulamak dan kepemimpinan (B) (7 esei), Semacam realiti baru (9 esei), Masalah politik berlebih-lebih (7 esei), Sikap dan fahaman kita (10 esei), Kelantan dan kepemimpinan Nik Aziz (9 esei), Persoalan Hudud (5 esei), Memahami hal ekonomi (7 esei), dan Persekitaran masyarakat (8 esei).

Tidaklah 71 esei di dalam buku ini semuanya secara langsung membincangkan pencarian kewajaran Islam di Malaysia. Esei-esei berkenaan itu sebenarnya ditulis secara bersahaja dalam bidang-bidang yang sebahagiannya kelihatan seperti tidak ada kaitan langsung dengan Islam dan keIslaman.

Tetapi apabila semuanya diletak dalam satu kelompok dan dibaca dalam perkaitan antara satu sama lain, maka jelaslah kelihatan hubungan yang saling melengkapi di bawah satu tajuk persoalan, iaitu mencari kewajaran Islam di negara ini.

Cuba perhatikan tajuk-tajuk enam esei di bawah bahagian “Ulamak dan kepemimpinan (A)” misalnya, iaitu: Apabila ulamak hilang keyakinan diri; Kepemimpinan ulamak dan salah faham mengenainya; Pemimpin tahu bila masanya dia harus berundur; Darihal ulamak dan wala’ dalam politik Islam; Beza ulamak dulu dengan ulamak sekarang; dan Masihkah Islam boleh diamanahkan kepada PAS?

Manakala di bawah bahagian “Memahami hal ekonomi” pula misalnya, terdapat enam esei dengan tajuk-tajuk berikut – Kenapa pentingkan kuasa ekonomi?; Basmi kemiskinan bukan agenda Islam; Memikirkan Nabi yang selalu tiada makan; Mengapa benarkan bank mencengkam hidup kita?; Nik Aziz dan jimat cermat; Wujudkah sistem ekonomi Islam?; dan Macamana gajinya boleh sampai RM425,000?

Esei-esei ini, kecuali lapan dari kolum di The Malaysian Insider (TMI), adalah daripada kolum ‘Wacana Budaya’ dalam akhbar Harakah (sebelum saya diharamkan menulis di situ). Sengaja diambil sedikit daripada kolum di TMI itu bagi menambah wacana terutamanya mengenai “Ulamak dan Kepemimpinan”, yang sedang saya bicarakan ketika kolum di Harakah itu ditutup, akibat tulisan-tulisan saya yang mengkritik pedas kepemimpinan PAS waktu itu.

Kolum Wacana Budaya itu dalam akhbar Harakah, iaitu akhbar PAS. Menunjukkan bahawa saya memang bersetuju dengan parti politik itu, makanya saya menulis dalam Harakah. Tetapi seperti yang kelihatan dalam beberapa tulisan yang ditulis pada September hingga Disember 2014, saya mulai tidak bersetuju dengan pimpinan PAS waktu itu. Esei “Imej Ulamak Sedang Mengalami Kerosakan Besar” adalah tulisan terakhir saya di Harakah.
https://susukunyitplus.blogspot.my/

Jadi esei-esei dalam buku ini ada yang memihak kepada PAS, ada yang mengkritik, dan ada juga yang menentangnya. Sebab apa? Sebab perubahan yang berlaku di dalam parti itu sendiri, yang jelas terjadinya apabila parti itu tidak lagi dipimpin oleh Tok Guru Nik Aziz.

Misalnya saya menyatakan fahaman agama dan politik tidak harus dipisahkan. Itu saya merujuk kepada fahaman yang dibawa oleh Nik Aziz, yang menjadi fahaman PAS waktu itu, dan saya bersetuju dengan fahaman itu. Tetapi setelah Nik Aziz tiada, saya dapati PAS pun tidak lagi berfahaman demikian. Saya melihat ada unsur memperalatkan agama untuk politik juga di dalam PAS, selepas ketiadaan Nik Aziz.

Adapun buku ini bukanlah bertujuan untuk membicarakan politik parti. Walaupun banyak juga saya menyentuh hal politik dan parti politik dalam tulisan-tulisan di Harakah, tetapi semua itu tidak dipilih untuk buku ini.

Pada Bab 2 dan 3 misalnya saya bicara mengenai ‘Ulamak dan Kepemimpinan’ secara umum. Kebetulan waktu itu di Malaysia apabila bercakap mengenai ulamak. kebanyakan orang bercakap mengenai ulamak di dalam PAS. Saya sendiri pun lebih menghormati ulamak yang di dalam PAS daripada yang bukan di dalam PAS, pada waktu itu, yakni waktu Tok Guru Nik Aziz menjadi Mursyidul Am dan Menteri Besar Kelantan. Sekarang sudah berubah. Esei-esei di dalam buku ini merakamkan perubahan itu.

Dan buku ini sekarang dalam proses percetakan. Sedikit hari lagi akan terbitlah. Saya bercadang nak buat majlis pelancarannya di beberapa tempat. Kalau ada mana-mana pihak yang berminat, silalah hubungi watsap saya 018-2874915.

Tiada ulasan