Header Ads


Terkini

Khalid bakal bersara sebagai ketua polis negara, Noor Rashid akan ambil alih

WALAUPUN menjalankan banyak aktiviti saat akhir dan menerima sokongan daripada beberapa pemimpin kerajaan, anggota polis nombor satu Malaysia, Khalid Abu Bakar akan bersara bulan depan dan bakal digantikan timbalannya, Noor Rashid Ibrahim.

Diketahui umum yang Khalid memburu pelanjutan khidmatnya sebagai ketua polis negara (KPN) walaupun berulang kali mengatakan yang beliau tidak sabar untuk bersara selepas tempoh khidmatnya dipenuhi kontroversi memberi perintah dan arahan melalui Twitter.

Khalid, yang dilantik menjadi KPN pada Mei 2013, dijadualkan bersara pada hari lahirnya yang ke-60 pada 5 September ini dan tidak dilanjutkan tempoh perkhidmatannya walaupun ada desas-desus pentadbiran Najib mahu mengekalkan pegawai utamanya menjelang pilihan raya umum akan datang.

Khalid pada 16 Jun lalu mengesahkan persaraan wajibnya kepada media: "Ya, saya bersara wajib bulan September ini, saya cukup 60 tahun."

Dua hakim kanan Malaysia -- Ketua Hakim Raus Sharif dan Presiden Mahkamah Rayuan Zulkefli Ahmad Makinudin dilanjutkan tempoh perkhidmatan mereka selama tiga tahun awal bulan ini.

Difahamkan timbalan baru kepada Noor Rashid ialah Pengarah Cawangan Khas Mohamad Fuzi Harun. Noor Rashid dinamakan sebagai Timbalan KPN pada 3 Disember 2014 manakala Fuzi dilantik sebagai Pengarah Cawangan Khas pada Julai 2015.

Noor Rashid dilahirkan pada 17 Mac 1958 dan menyertai pasukan polis pada 1987 sebagai asisten superintenden polis. Beliau merupakan lulusan fizik dari Universiti Malaya.

Pelantikan baru ini berlaku selepas rombakan besar-besaran dalam pasukan polis awal bulan ini apabila sejumlah 74 pegawai ditukar atau dinaikkan pangkat, dengan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam serta Jabatan Narkotik menerima pengarah baru.

Rombakan itu dibuat selepas beberapa serbuan yang menyaksikan sejumlah anggota polis ditahan untuk siasatan berhubung rasuah dan salah guna kuasa, termasuk dikaitkan dengan kegiatan sindiket jenayah.

Sebelum ini, beberapa negeri termasuk Johor, Selangor, Sarawak dan Negeri Sembilan juga akan menerima lantikan ketua polis baru yang dimaklumkan Khalid sebagai persiapan menjelang pilihan raya akan datang dan Sukan Sea yang sedang berlangsung.

“Kita sedang persiapkan pasukan polis untuk menghadapi pilihan raya umum dan Sukan Asia Tenggara,” katanya di Bukit Aman bulan lalu.

“Rombakan dan pertukaran yang akan kita lakukan ini adalah ke arah itu -- untuk bersedia, terutamanya untuk pilihan raya,” katanya seperti dipetik media.

Khalid mula menyertai pasukan polis sebagai inspektor di Pusat Latihan Polis, Kuala Lumpur pada 5 Disember 1976, umurnya ketika itu 19 tahun. Beliau kemudiannya lulus ijazah undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Khalid dikenali umum sebagai ketua polis yang kerap menggunakan Twitter sebagai saluran komunikasi awamnya termasuk mengeluarkan amaran kepada orang ramai.

Kecenderungannya ini dikritik oleh kelompok aktivis yang menuduh beliau menggunakan Twitter untuk menyekat kebebasan bersuara.

Beliau juga dituduh mempunyai kaitan dengan sindiket bawah tanah sementara anak perempuannya mengendalikan perniagaan senjata di negara ini yang mensyaratkan permit polis untuk seseorang memiliki senjata.

Khalid mengesahkan sebahagian anggota keluarganya mengenali individu yang bernama Gopinathan, lelaki yang disyaki menjadi “orang tengah” utama siasatan rasuah polis bagi melindungi sindiket perjudian dan pelacuran di Melaka.

Kerajaan bagaimanapun membersihkan nama Khalid dan mengatakan beliau tidak ada kena mengena dengan kes itu.

Tiada ulasan