Kesefahaman Politik Menjelang PRU14
Oleh : Onn Ismail
Setelah Pakatan Rakyat ditalkinkan, lanskap politik seakan bungkam. Ianya seolah-olah membenarkan kemenangan parti ketuanan Melayu menyusup masuk mengadu domba pemikiran pemimpin Parti Islam.
Maka terbarailah ukhuwah yang terjalin sekian lama yang suatu ketika dulu cukup digeruni oleh kawan dan lawan.
Kronologi perbalahan antara parti yang dicop sebagai cauvanist iaitu DAP dan Parti Islam itu mengisi ruang vakum kelemahan dan kenazakan UMNO khasnya. Di kala UMNO sedang lemas dengan isu-isu gadang, seakan ada pula tangan-tangan yang mungkin berfahaman nasionalis berhaluan agama menzahirkan bantuan hayat.
Ini dapat disaksikan ketika berlangsungnya Muktamar PAS ke 62 seusai perceraiannya dengan Pakatan Rakyat yang mana pemimpin-pemimpinnya mengenakan tengkolok dan berkeris lagak pahlawan Melayu.
Mungkin itu merupakan terjemahan sinikal, bilamana bekas rakan-rakan lama dalam front Pakatan Rakyat kerap mengasak PAS dari pelbagai sudut dan melihat ianya sebagai satu kecurangan amanah yang diterjemahkan rakyat dalam PRU12 dan 13.
Dari sudut tarbiyah, sebenarnya PAS seakan berundur setapak ke belakang dalam usaha dakwah bagi mendekati pengundi-pengundi bukan Islam.
Ketika era Pakatan Rakyat, kita begitu terkesan dengan penyertaan rakyat berbilang kaum yang memegang dan mengibar panji Islam (bendera PAS). Bukan itu sahaja, pemimpin-pemimpin yang dianggap cauvanist juga mula mendekati Islam dan menyantuni tokoh-tokoh Islam seperti Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz dalam mendepani isu-isu maslahat rakyat umumnya. Mereka juga berjinak-jinak meneladani prinsip-prinsip Islam yang mana sebelumnya tidak pernah terjadi. Petikan dari terjemahan ayat-ayat al-Quran juga digunakan dalam perbahasan bukan sahaja di Parlimen, bahkan di gelanggang-gelanggang rakyat! Peristiwa bersejarah ini tidak pernah berlaku di era-era sebelumnya baik di era APU atau Gagasan Sejahtera yang dianggotai oleh tokoh-tokoh hebat seperti Tengku Razaleigh Hamzah, Rais Yatim dan Allahyarham Utz Fadzil Noor.
Ianya merupakan satu kerugian yang bukan kepalang dari sudut dakwah dan tarbiyah yang merupakan dasar PAS itu sendiri. Sedar atau tidak, era itu dilihat sebagai satu wadah pembentukan negara bangsa yang begitu tinggi nilainya. Berbeza dengan zaman sebelumnya, masyarakat bukan Islam melihat PAS sebagai satu momokan yang wajib dijauhi. Maka zaman gelap itu kembali lagi ketika ini. Kredit buat Najib dan UMNO.
PAS yang dilihat mesra UMNO dengan cetusan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) serta melahirkan blok ke 3 sebenarnya bukanlah satu tindakan bijak. Ini adalah hasil daripada kecurangan politik ketika PRU12 lagi dan dapat dihidu oleh Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz. Tokoh –tokoh yang terlibat secara langsung dalam kelahiran ideologi yang agak tidak matang ini merupakan bekas pemimpin-pemimpin kanan PAS sendiri seperti Nasarudin Md Isa dan Hassan Ali.
Momokan berbaur nasionalis dan perkauman yang menolak sama sekali tahaluf siyasi dengan DAP atas dasar Ketuanan Islam mirip kepada ketuanan Melayu.
Ketika dalam pakatan Rakyat lagi, PAS sebenarnya sudah menunjukkan kecurangan dengan menandingi kawasan-kawasan pilihanraya seperti Bukit Damansara dan Sungei Acheh yang menyebabkan kedua-dua kerusi itu bertukar tuan.
Sudah tentu ianya merugikan front Pakatan itu sendiri. Belum lagi dengan isu Unity Government yang digembar-gemburkan seusai PRU12. Disini PAS dilihat sebagai watak antagonis yang meruntuhkan satu kesepakatan yang dimetrai bersama.
Penulis tertarik dengan cetusan Saudara Syed Badli Shah Syed Osman (DetikDaily ;8 OGOS 2017) yang menceritakan kronologi bersejarah tentang pembabitan beliau di era Reformasi sehingga terkuburnya Pakatan Rakyat. Beliau juga mengharapkan setidak-tidaknya kalau tiada gabungan, satu persefahaman politik wajar diwujudkan antara blok-blok politik oposisi yang memungkinkan 1 lawan 1 dalam PRU14. Mengambil dari kata-kata Albert Einstein ;” Everybody is a genius. But if you judge a fish by its ability to climb a tree, it will live its whole life believing that it is stupid “
Isu-isu tetek bengek seperti yang kerap dilemparkan antara DAP dan PAS seharusnya ditamatkan serta merta. Perlu ada satu mekanisme bagi menjunjung ideologi kedua-dua belah pihak dalam menggarap kesepakatan.
Bagi menyelsesaikan masalah ini, perlu diwujudkan satu jawatankuasa peringkat tertinggi yang dapat menemui titik persamaan dalam menjelmakan kesepaduan, sekurang-kurangnya dalam mendepani PRU14.
Adalah satu kerugian yang amat sangat bilamana kenazakan UMNO kini tidak digarap dengan cara yang betul. Benar, PAS kini kehilangan sentuhan bilamana ahlinya berbondong-bondong berhijrah ke pihak Pakatan.
Tidakkah PAS merasai kerugian bilamana nama-nama besar dalam PAS merajuk dan menubuhkan AMANAH?
Ini adalah disebabkan kekhilafan pimpinan PAS itu sendiri yang seakan hanyut dengan retorik atau juga kuasa yang bersifat fatamorgana.
Walhal punca kuasa yang mereka perolehi sekarang ini adalah berpunca dari kesepakatan dalam Pakatan Rakyat yang mana setiap peringkat bersusah payah dalam mengharungi perjuangan politik.
Sekurang-kurangnya ambillah sikap hikmah sepertimana yang ditonjolkan oleh Rasulullah SAW dalam peristiwa Perjanjian Hudaibiyah antara baginda dan pihak Musyrikin Mekah.
Begitu juga dengan pimpinan DAP. Isu-isu yang menyentuh keperibadian Islam tidak perlulah disentap. Segala bentuk cadangan dan tindakan yang melibatkan perundangan Islam sepatutnya di sokong kerana ia hanya berkisar kepada maslahat umat Islam yang merupakan majoriti di negara kita.
Bertindaklah seperti menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus, tepung tak berselerak. Ianya sekaligus dapat menimbulkan persepsi yang baik di kalangan pengundi Melayu khususnya. Jangan hanya membuat kenyataan-kenyataan populis tentang perbandingan jumlah peruntukan yang disalurkan kepada agensi-agensi Islam di Pulau Pinang.
Kita wajib sedar, untuk memenangi sesuatu pilihanraya, persepakatan antara parti politik pembangkang amatlah penting. Tidak dapat tidak, mekanisme 1 lawan 1 wajib dijadikan wahana utama. Sekiranya berlaku pertandingan tiga penjuru, ianya hanya menguntungkan UMNO.
Segela jenis skandal yang membebani rakyat tidak akan dapat diperjuangkan selagi Najib dan UMNO tidak dinyahkan dari Putrajaya. Ketika ini, dalam satu-satu ketika, dilihat seperti PAS bersimpati dengan DAP tentang isu ROS, dan di waktu lainnya PAS dilihat turut membidas isu-isu kritikal semasa. Nah, ambillah kesempatan ini sebagai sandaran dalam memenangi PRU14! Takbir!
*Onn Ismail merupakan pemerhati social dan politik.

Tiada ulasan