Header Ads


Terkini

Hujan lebat landa tanah suci Makkah

MAKKAH: Hujan lebat lebih 30 minit yang melanda Tanah Suci Makkah petang Isnin, ternyata menggembirakan penduduk setempat dan jutaan jemaah haji termasuk dari Malaysia yang berada di sini, untuk menunaikan ibadah haji.

Hujan kira-kira 4.45 petang itu, mulai membasahi kota suci ini selepas umat Islam selesai menunaikan solat Asar.

Jemaah haji Malaysia yang menginap di Hotel Abraj Al-Janadriyah di sini, turut tidak melepaskan peluang untuk berada di luar bangunan penginapan itu, sambil menadah tangan kesyukuran setelah terpaksa berdepan cuaca panas terik sejak mula tiba di kota suci ini.

Beberapa jemaah Malaysia keluar ke kawasan lapang sambil berdoa: "Alhamdulillah...

Alhamdulillah, hujan rahmat". Suhu di Tanah Suci ini, lazimnya mencecah antara 40 dan 43 darjah celsius.

Menurut seorang penduduk tempatan, Majid, 25, kali terakhir hujan lebat melanda kota suci itu adalah pada Ramadan lepas.

Sementara itu, Ketua Rombongan Haji Malaysia 1438 Hijrah, Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman ketika ditemui pemberita melahirkan rasa syukur, dan menyifatkannya sebagai hujan rahmat.

"Alhamdulillah...ia satu hujan rahmat kerana setiap tahun walaupun kita dalam musim panas, masih lagi hujan yang dapat menyejukkan suasana dan membersihkan kawasan di Arafah dan Mina yang digunakan setahun sekali," katanya.

Tidak sampai 10 hari lagi, jemaah haji akan bergerak ke Arafah, Muzdalifah dan Mina dalam operasi Masyair. -- BERNAMA





Tiada ulasan