Bukan cek kosong buat Mahathir
Oleh Ahmad Lutfi Othman
Saya terpaksa berehat panjang selama lebih tiga bulan, kira-kira 100 hari, bermula sebelum Ramadan lalu. Biarpun tahap kesihatan sepanjang sebulan puasa dilihat agak meningkat dan diakui sendiri jururawat di pusat dialisis MAIS Taman Melewati namun ada gangguan lain yang menghalang aktiviti menulis dan membaca.
Lama sebelum itu, pena saya tergantung lebih dua tahun, semasa saya masih berkhidmat untuk akhbar Harakah. Rutin mingguan tertumpu untuk merawat penyakit dan menyeseuaikan diri dengan keadaan serba kekurangan.
Tambah memenatkan, 'kegiatan berfikir' juga terbantut; terasa berdenyut kepala dan mata berpinar apabila cuba merenung dan mendalami. Justeru, saya lebih gemar mendengar audio daripada menekuni bahan bacaan, apatah lagi kualiti penglihatan sering terjejas. Pastinya kaedah tersebut amat terbatas dan tidak senikmat membaca abjad di atas lembaran kertas.
Ada rakan-rakan yang menawarkan bantuan untuk merakamkan pandangan saya, antaranya wartawan Arif Atan, kemudian ditranskrip, tetapi saya rimas dengan kaedah itu. Idea saya terasa tersekat-sekat jika diluahkan melalui lisan.
Biarlah ... mungkin ada aktiviti lebih sesuai dalam waktu sukar begini. Mungkin juga untuk lebih mengenai diri dan Khaliq. Hikmah sentiasa tersembunyi pada setiap jalur takdir yang merentasi.
Sebenarnya saya cuba mententeramkan hati sendiri di tengah pergolakan politik semasa yang kian kalut dan membingungkan. Meskipun jarang mengikutinya tetapi tempias bahang yang panas terasa lekit.
Agak lama juga kehilangan nikmat menghidu aroma lembaran buku baru. Masih belum terusik naskhah menimbun yang diborong dari toko buku lebih setahun lalu. Jarang benar dapat bersantai dengan lembaran akhbar di pagi hari sambil mencicip kopi pahit. Jam 8 malam berlalu tanpa terasa mahu ikuti perkembangan di kaca TV.
Saya cuba untuk sentiasa belajar menerima dengan reda perjalanan takdir yang sebenarnya indah dan tersusun cantik itu. Hadapi dan terima apa sahaja ketentuan-Nya. Ramai teman kerap mengingatkan agar terus berdoa dan mohon bantuan kepada Allah agar jiwa rasa tenang serta ikhlas. Tentunya tidak mudah, 'kan? Namun ia gumpulan pengalaman kerohanian yang mengasyikkan.
Muktamar PAS 2017
Senario politik tambah warna-warni gemerlapannya dengan kehadiran proaktif Dr Mahathir Mohamad bersama gabungan mega pembangkang. Penubuhan Pakatan Harapan dengan hiraki barisan kepemimpinannya yang diumumkan Julai lalu menyuntik rasa yakin rakyat untuk menyokong perubahan. Sebelum ini idea dan gagasan perubahan mudah dibantutkan dengan seribu satu persepsi palsu yang ditanam strategis elit penguasa.
Diteliti urutan sejarah, penubuhan Pakatan Harapan adalah proses penambahbaikan yang berterusan sejak Harakah Keadilan Rakyat (1986), Angkatan Perpaduan Ummah dan Gagasan Rakyat (1990), Barisan Alternatif (1999) dan Pakatan Rakyat (2008). Nampak peningkatannya dari satu tahap ke satu marhalah. Sayang sekali, Pas sebagai penggerak utama atau pelopor persefahaman barisan oposisi sebelum ini telah tercicir di belakang.
Dalam imiginasi mudah, sekiranya Pas kekal bersama pembangkang yang lain, dengan kekalutan parah dalam Umno dan perpecahan serius di bawah kleptokrat Najib Razak, Putrajaya nampak agak senang untuk diambil alih. Tetapi, begitulah kelaziman putaran roda politik, segalanya tidak mesti menurut impian dan khalayak. Siasah seringkali menuntut iltizam, keberanian dan kebijaksanaan yang jitu, juga kesediaan menanggung risiko yang bukan kepalang.
Secara peribadi, saya sukar memahami silat politik Pas, khususnya sejak memutuskan tahaluf siyasi dengan DAP pada 2015. (Perwakilan muktamar tidak diizinkan untuk berbahas agenda penting itu, sebaliknya usul diluluskan atas kehendak dua tiga kerat pimpinan tertinggi).Lebih mengelirukan apabila ditamatkan hubungan dengan PKR dua tahun berikutnya dengan alasan yang dicari.
Tambah aneh, unjuran daripada itu, perkongsian kuasa bersama DAP dan PKR dalam kerajaan negeri Selangor, tetap kekal. Ya, wakil Pas masih mampu bersekongkol dengan parti yang dianggap anti-Islam dan mengkhianati agenda perjuangan Islam. Bagi pemerhati, situasi sedemikian sebenarnya menjadi bukti persefahaman politik ketiga-tiga parti tetap relevan dan boleh berjalan baik.
Garis pemikiran dan sifir perkiraan pemimpin Parti Islam itu nampak "berpusing-pusing dan berbelit-belit". Sekurang-kurangnya itulah yang saya dapat rasakan. Rasional mereka payah untuk ditelah walaupun berpengalaman luas dalam sepak-terajang politik tanahair. Ya, parti mana yang dapat menandingi eksperimen sehebatnya, namun mendekati destinasi Pas seakan-akan kehilangan arah dan tidak dapat menentukan prioriti keutamaannya.
Berulang kali Pas menafikan kemungkinan ia bakal mengadakan kerjasama tidak formal dengan BN dalam PRU14, tetapi pemerhati politik tetap melihatnya sebagai parti yang mesra-Umno. Gerak politik tidak semestinya diumumkan secara rasmi; terkilas ikan di air sudah tahu jantan betinanya
.
Berbicara soal kerjasama Pas dengan Pakatan Harapan, pelbagai daleh dikemukakan; semuanya terarah kepada kesimpulan bahawa mustahil menjalin hubungan selagi ada DAP dan Parti Amanah Negara. Pas juga tidak bersedia bekerjasama dengan mana-mana parti yang ada hubungan dengan DAP dan Amanah. Ya, sudah pasti parti yang tiada kaitan dengan DAP dan Amanah hanyalah Umno-BN! Pemimpin Pas juga berulangkali menegaskan syarat ketat seperti keperluan pihak lain mengiktiraf Pas sebagai pemimpin; suatu kondisi yang menyerlahkan keangkuhan, sekali gus mempamerkan aksi songsang dalam berdiplomasi.
Ada pemimpin tertingginya yang menimbulkan peranan baru Pas sebagai "king maker" selepas pilihan raya nanti, iaitu penentu kepada pembentukan kerajaan yang didukung BN ataupun Pakatan Harapan. Tafsiran negatif segera dibuat bahawa Pas hanya mahu menjadikan undi rakyat sebagai komoditi yang diperdagangkan untuk kepentingan parti itu.
Dalam amalan mendekati sistem dua gabungan parti, sukar untuk membayangkan ada ruang untuk parti yang bersendirian, apatah lagi dalam keadaan parti pemerintah diserkup pelbagai skandal dan penyelewngan yang maha dahsyat. Apakah Pas masih boleh berkompromi dengan segala kejahatan Najib-BN itu sehingga ia membayangkan masih bersedia untuk membentuk kerajaan selepas PRU14 nanti? Saya kira rakyat tidak akan membazirkan undi mereka dalam suasana amat genting dan kritikal ini; khususnya ketika potensi membentuk kerajaan baru terbentang luas.
Mahathir MohamadFaktor Mahathir juga bukan bagai lampu aladin untuk menyelesaikan segala kemelut negara. Politik kepembangkangan kita turut menerima impak positif, bermula faktor Tengku Razaleigh Hamzah lagi, dalam pemilihan Umno April 1987, seterusnya faktor Anwar Ibrahim dalam era Reformasi (1998). Mahathir pastinya tidak bermula daripada kosong; beliau sekadar mahu "menyempurnakannya", dengan sokongan berterusan tanpa lelah oleh gerakan pembangkang tradisi.
Malah, sebenarnya jika Pakatan Harapan yang dipengerusikan Mahathir berjaya sekalipun, ia bukan penamat cerita panjang ini. Pakatan Harapan berbeda sama sekali dengan Umno-BN yang diterajui Mahathir selama 22 tahun dahulu. Dengan kombinasi empat parti yang dijangka hampir seimbang kekuatannya, didahului oleh komitmen reformasi institusi dan tekad pembaharuan asas yang mementingkan kesejahteraan rakyat, maka pembolotan kuasa dan gaya autokrat akan dapat dielakkan.
Mungkin ada yang berpandangan sinis terhadap "Mahathir yang baru", namun saya lebih percaya kepada faktor "semak dan imbang" dalam Pakatan Harapan. Ya, mungkin sukar untuk ditolak persepsi negatif terhadap bekas pemimpin-pemimpin Umno yang kini bersama Bersatu, namun bagaimana dengan tiga parti komponen PH yang mengakar dengan idea reformasi, iaitu Amanah, PKR dan DAP, serta segar dengan cadangan pembaharuan? Dan jangan lupa, faktor penyokong atau pengikut yang kritikal dan tidak mudah untuk mengaminkan saja kehendak elit atasan?
Saya cuba menghuraikan faktor Mahathir ini dalam tulisan berikutnya nanti. Kini Mahathir dianggap seteru utama oleh Najib dan juak-juaknya. Justeru, segala potensi dan aset ditumpukan untuk menghancur-lumatkan musuh no. 1 itu. Maka rekod lama Mahathir selama 22 tahun menjadi perdana menteri, yang pastinya tersimpan pelbagai kesalahan dan kebobrokan akan dilondeh. Tragedi berdarah Memali hanyalah secebis kecil yang menjadi umpan untuk mengepun undi penyokong Pas.
Di atas segalanya, saya tertarik dengan slogan kempen Rafizi Ramli: "Jom Bina Semula Negara!" Proses partisipasi politik harus lebih meluas dan menyeluruh, bukan sekadar untuk tempoh singkat musim pilihan raya. Usah beri cek kosong kepada pemimpin politik kerana kita semua bertanggungjawab untuk membangunkan semula negara yang hampir hancur ini.

Suatu penulisan bias yang tidak berpegng pada fakta. PAS difitnah, di hina dan
BalasPadamdipinggirkan bukan meminggir diri....