Header Ads


Terkini

Benarkah DAP Tidak Bercita - Cita Tinggi Dalam Politik ?

Oleh Dr. Kamarul Yusoff

Sesiapa sahaja yang mahu melaungkan bahawa DAP tidak bercita-cita tinggi dalam politik perlu mengkaji terlebih dahulu sejarah penglibatan DAP dalam pilihan raya umum di Malaysia sebelum berkata demikian.

Selaku seorang pengkaji politik yang cekal, saya berpeluang meneliti beberapa sumber primer mengenai proses agihan kerusi Parlimen antara parti-parti dalam Barisan Alternatif pada Pilihan Raya Umum 1999.

Cadangan awal agihan kerusi Parlimen oleh ketiga-tiga parti adalah seperti berikut:

(1) Cadangan PAS: 76 PAS, 38 DAP, 23 KeADILan dan 7 PRM.
(2) Cadangan KeADILan: 54 PAS, 54 KeADILan, 29 DAP dan 7 PRM.
(3) Cadangan DAP: 48 DAP, 48 PAS, 48 KeADILan dan 0 PRM.

Berunding punya berunding (lihat umpamanya “DAP tetap tanding 48 kerusi”, dlm. Berita Harian, 21 Julai 1999; dan “DAP mahu pembahagian sama rata”, dlm. Berita Harian, 22 Julai 1999), agihan akhir yang dipersetujui ialah 63 PAS, 58 KeADILan, 38 DAP dan 3 PRM.

Lihatlah betapa lunaknya Almarhum Datuk Fadzil Mohd Noor selaku Presiden PAS terhadap KeADILan yang baru sahaja ditubuhkan dan betapa tegasnya beliau terhadap DAP sehingga KeADILan mendapat lebih dari yang diminta dan DAP mendapat kurang dari yang diminta.

Kelunakan Almarhum Datuk Fadzil terhadap KeADILan dan ketegasan beliau terhadap DAP ini sekali gus membuatkan ketetapan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 24 Jun 1999, iaitu bahawa kerusi minima yang akan ditandingi oleh PAS adalah 76, tidak terpenuh.

Apa pun, perkara sebenar yang mahu saya tunjukkan di sini ialah, jika benar DAP kononnya tidak bercita-cita tinggi dalam politik, mengapa pula pemimpin DAP awalnya bertegas mahu agihan kerusi antara parti-parti dalam Barisan Alternatif dilakukan sama rata?

Lihat pula apa yang berlaku sejak Pilihan Raya Umum 1999: Jumlah kerusi Parlimen yang ditandingi oleh DAP sentiasa meningkat, iaitu dari 38 dalam Pilihan Raya Umum 1999 menjadi 44 dalam Pilihan Raya Umum 2004, 47 dalam Pilihan Raya Umum 2008 dan 51 dalam Pilihan Raya Umum 2013.

Lihat pula apa yang berlaku selepas Pilihan Raya Umum 2013.

Bukankah Penasihat DAP, Lim Kit Siang, telah mengumumkan, pada 30 Disember 2016, bahawa DAP mensasarkan untuk bertanding dua kali ganda jumlah kerusi Parlimen (dan Dewan Undangan Negeri) yang ditandingi olehnya di Sabah dalam Pilihan Raya Umum 2013?

Bukankah, kerana DAP bertanding di 4 kerusi Parlimen di Sabah dalam Pilihan Raya Umum 2013 (Sepanggar, Kota Kinabalu, Putatan dan Sandakan), maka kerusi Parlimen yang akan ditandingi oleh DAP dalam pilihan raya umum akan datang akan bertambah menjadi 55?

Bukankah hari ini beberapa sumber DAP secara terbuka mendedahkan hasrat DAP untuk meletakkan tokoh-tokoh veterannya bertanding kerusi Parlimen yang lebih sukar, di mana “sesetengah kerusi itu sebelumnya ditandingi oleh rakan kerjasama kami (DAP)”?

Bukankah jika hasrat DAP ini tercapai, dengan PKR dan/atau AMANAH akan menghadiahkan kerusi mereka kepada DAP, maka kerusi Parlimen yang akan ditandingi oleh DAP dalam pilihan raya umum akan datang akan bertambah menjadi lebih daripada 55?

Lebih jauh lagi, bukankah DAP pernah mengemukakan draf persempadanan semula kawasan pilihan raya yang, jika dipersetujui, akan membolehkan DAP mengambil-alih kuasa politik dengan menambah kerusi bandar menjadi 143 berbanding 80 kerusi luar bandar?

Dan bukankah Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, pernah menyebut di Nanyang Technological University, Singapura, bahawa “kita” (bukan Melayu Islam) mempunyai peluang untuk menjadi Perdana Menteri jika Perlembagaan Persekutuan kekal seperti sekarang?

Jangan mudah kata DAP tidak bercita-cita tinggi dalam politik ya.

Rujukan: "DAP timbang letak veteran di kerusi sukar pada PRU14", dlm. The Malaysian Insight, 17 Ogos 2017.

DAP sedang menimbang untuk meletakkan tokoh-tokoh veterannya seperti Lim Kit Siang, Teresa Kok dan lain-lain bertanding kerusi Parlimen yang lebih sukar bagi membuka jalan kepada generasi pelapis parti itu menyertai pilihan raya umum akan datang.

Beberapa sumber parti memberitahu The Malaysian Insight DAP akan terus memberi fokus kepada Johor, negeri kelahiran Umno, parti yang menerajui kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Kita mengintai kerusi yang lebih sukar untuk pemimpin veteran. Tetapi sesetengah kerusi itu sebelumnya ditandingi oleh rakan kerjasama kami, jadi kena ada pujuk-memujuk,” kata seorang sumber.

Tiada ulasan