Header Ads


Terkini

Lawak baju wanita Iban, Dayak desak Astro mohon maaf

PETALING JAYA: Masyarakat Daya mendesak Astro, penerbit Maharaja Lawak Mega 2017 dan kumpulan lawak Raban Zero mohon maaf kerana mementaskan sketsa yang menyinggung perasaan kaum Iban, lapor Borneo Post hari ini.

Naib Presiden Persatuan Penggiat Seni dan Kebudayaan Dayak Kuching, Isa Lee juga menasihatkan pihak terlibat tidak mengejek warisan masyarakat tempatan lain dengan mempersendakan pakaian tradisional.

“Jangan ulang kesilapan sama pada masa depan. Contohnya bila komposer menulis lagu, dia mesti mempertimbangkan sensitiviti pendengar, terutama sekali mereka yang berbeza budaya dan bangsa.
“Tolong ingat jangan sentuh sensitiviti kaum lain, buat kajian dulu,” katanya dipetik daripada akhbar harian Kuching itu.

Beliau merujuk kepada sketsa dipersembahkan Raban Zero, di mana kumpulan 3 lelaki itu memakai pakaian tradisional wanita Iban yang dikenali sebagai “Ngepan”, di mana biasanya ia dipakai ketika sambutan perayaan istimewa seperti Gawai.

“Lelaki pakai baju wanita bukan kelaziman dalam masyarakat Malaysia, apatah lagi jika lelaki itu memakai Ngepan,” katanya, menambah Astro, Raban Zero dan penerbitnya mencemar keharmonian kaum dengan memperkecilkan kaum Iban.

Lee berkata ada kisah di sebalik setiap Ngepan Iban, maka pakaian itu perlu disimpan di tempat sesuai jika ia tidak dipakai.

“Masyarakat Dayak atau Iban, tidak membantah kaum lagi memakai Ngepan tetapi jika hendak memakainya, perlulah dengan cara yang betul dan sempurna,” katanya.

Susulan persembahan sketsa lawak itu, masyarakat Dayak meluahkan rasa bengang mereka menerusi media sosial.

Tiada ulasan