Header Ads


Terkini

Usah biar laporan tak berasas jatuhkan maruah hospital awam

Oleh Timmy Say 

Isnin lalu, bapa saya dikejarkan ke bahagian kecemasan di Hospital Kuala Lumpur.

Setibanya ambulans di depan pintu kecemasan, 2 pegawai perubatan terus berkomunikasi dengan pegawai perubatan ambulans mengenai masalah yang dihadapi bapa saya.

Seorang jururawat yang membawa laporan kesihatan disediakan pihak Hospis Malaysia terus mengarahkan bapa saya dihantar ke zon kuning bagi menjalankan rawatan.

Saya dan ibu saya terus mengekori para pegawai perubatan melalui lekuk-liku untuk tiba di zon kuning.

Setibanya bapa di zon kuning, doktor dan jururawat terus memberikan perhatian kepadanya. Tekanan darahnya diambil, dan bapa disoal mengenai simptom dan sakitnya.

Ketika itulah, saya diminta oleh jururawat untuk mendaftarkan bapa saya sambil doktor dan jururawat cuba memikirkan cara terbaik untuk merawat bapa saya.

Selama 4 bulan mutakhir ini, kerana bapa uzur, saya berulang-alik ke 2 hospital awam dengan kerap.

Bagi saya, perkhidmatan dan prestasi doktor dan jururawat di Hospital Selayang dan Kuala Lumpur ini sangat memuaskan, dan saya percaya prestasi yang sama juga akan turut dirasai di hospital lain.

Jika adapun yang saya perlu merungut, cumalah masa menunggu untuk kutip duit daripada pesakit (bayaran discharge) agak lambat sedikit. Segalanya diberi kepada pesakit pada kadar yang cepat, cuma bayaran saja yang lambat diminta daripada pesakit.

Tetapi, apabila kalian melihat jumlah yang tertera di atas bil hospital awam, kalian akan terasa penantian lama itu cukup berbaloi dengan ubat diberikan.

Bagi saya, kebanyakan negara hanya boleh bermimpi dan iri hati dengan khidmat hospital awam di Malaysia.

Oleh itu, saya amat terkilan apabila terbaca berita yang memburukkan perkhidmatan hospital awam negara kita minggu lalu, di mana portal berita The Independent mendakwa seorang rakyat Singapura meninggal dunia kerana kecuaian Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru.

Portal itu mendakwa ambulans HSA lewat memberi respons sehingga 30 minit terhadap laporan kemalangan membabitkan rakyat Singapura itu.

Bukan itu sahaja, HSA juga didakwa menuntut sejumlah wang deposit daripada keluarga mangsa sebelum membenarkan sebarang rawatan dijalankan.

Berdasarkan pengalaman saya di Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Selayang, naluri saya memberitahu saya, laporan itu bersifat berat sebelah dan tidak betul. Saya sabar menunggu jawapan balas daripada pihak berkenaan terhadap dakwaan The Independent.

Namun, saya kecewa ada rakyat Malaysia yang bulat-bulat mempercayai laporan tersebut, lalu ikut serta membalun prestasi hospital awam di Malaysia, seolah-olah perkara itu lazim berlaku di negara kita.

https://susukunyitplus.blogspot.my/
Mereka tidak menunggu penjelasan daripada pihak berkuasa, yang akhirnya membuktikan dakwaan The Independent hanyalah fitnah semata-mata.

Apakah yang difikirkan golongan rakyat ini? Insiden ini melibatkan maruah hospital awam kita. Ini melibatkan maruah dan keyakinan terhadap kakitangan yang bertungkus-lumus merawat berjuta rakyat di negara kita. Ia berkait rapat dengan maruah negara kita.

Meskipun hospital awam tidaklah sempurna, mereka sudah menyelamatkan berjuta rakyat Malaysia yang tidak mampu ke hospital swasta. Bahkan, boleh dikatakan hospital awam kita bagaikan sebuah badan kebajikan besar membantu rakyat tanpa mengira bangsa dan warna kulit.

Penyebab kematian rakyat Singapura itu adalah orang yang melanggarnya, bukan hospital awam Malaysia.

Jangan biarkan emosi mengaburi rasional kalian.

Oleh itu, saya menyokong penuh tindakan Kementerian Kesihatan menghantar surat rasmi kepada kerajaan Singapura bagi menyatakan rasa tidak puas hati berhubung penyiaran berita tanpa fakta sebenar mengenai perkhidmatan kesihatan dan warga perubatan negara ini oleh The Independent.
Inisiatif ini perlu disokong penuh rakyat Malaysia.

Tiada ulasan