SEJARAH menunjukkan parti pembangkang tidak pernah dapat mengalahkan
Barisan Nasional (BN) kalau bertanding tiga penjuru dalam pilihan raya
umum, sesuatu yang mustahil.
Tetapi Presiden Amanah Mohamad Sabu tidak setuju. Katanya, sejarah
itu akan ditulis semula pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), malah pada
pilihan raya itu jugalah Johor, tanah kelahiran parti tunggak BN, Umno,
akan jatuh kepada pembangkang.
Alasannya: pemikiran politik Melayu-Islam sudah berubah manakala dua
parti yang menguasai orang Melayu, Umno dan PAS, tidak lagi kuat seperti
dulu, kata pemimpin veteran pembangkang itu yang lebih dikenali dengan
nama Mat Sabu.
Kesannya, empat parti dalam gabungan PH akan dapat menggembleng
sokongan yang cukup daripada pengundi Melayu dan bukan Melayu, dan
seterusnya menang dalam pertandingan tiga penjuru.
Menurut Mat Sabu, perubahan dalam pemikiran pengundi Melayu-Islam itu
berlaku terutamanya kerana isu kos sara hidup yang membelenggu
perbelanjaan mereka sementara bantuan kewangan daripada kerajaan
persekutuan tidak lagi memadai.
“Orang Melayu tidak pernah ditekan seperti ini dan ia mengubah persepsi mereka bahawa Umno boleh menjaga mereka,” kata Mat Sabu
“Kami percaya hujah kami tentang salah urus negara dan rasuah membantu perubahan pemikiran ini.”
Keperitan yang dialami oleh golongan pekerja dan kelas menengah orang
Islam, katanya, sudah menghakis sokongan terhadap Umno, termasuk di
kubu tradisinya di Johor dan Pahang.
Mat Sabu juga cukup yakin, berbanding Kedah atau Kelantan, Johor akan
jatuh kepada PH dengan peralihan undi Melayu daripada Umno.
“Misalnya, semasa saya ke Johor berceramah, saya nampak hampir 60%
yang hadir adalah bekas penyokong BN. Mereka bukan penyokong biasa
kita.”
Pada masa yang sama, pendirian PAS yang berdolak-dalik dalam soal
hubungannya dengan Umno dan PH meresahkan ahli dan penyokongnya, katanya
lagi.
“PAS tidak ada pendirian yang tetap. Dia kata dia tak mahu menukar
kerajaan. Kalau undi PAS, tak boleh tukar kerajaan. Mengubah kerajaan
itu mustahak untuk meletakkan negara kembali ke landasannya.”
PAS rugi besar
Amanah merupakan ahli PH, gabungan yang disertai oleh parti berbilang kaum PKR dan DAP, dan parti Bumiputera, Bersatu.
PH dijangka akan berdepan BN dan gabungan kerjasama politik diketuai
PAS, dikenali sebagai Gagasan Rakyat Sejahtera pada PRU14 nanti. PAS
sebelum ini mengumumkan mahu bertanding di 100 kerusi kawasan Parlimen
serta di hampir semua kerusi Dewan Undangan Negeri di seluruh
Semenanjung.
Keputusan pilihan raya sebelum ini menunjukkan apabila ada lebih
daripada seorang calon pembangkang menentang BN, parti pemerintah itu
akan menang kerana undi untuk pembangkang berpecah.
Ini berlaku pada Pilihan Raya Umum Ke-13 di kerusi negeri di Selangor
dan Pulau Pinang apabila calon PAS bertanding menentang BN dan Pakatan
Rakyat, gabungan yang kini digantikan oleh PH.
BN menang dua kerusi negeri, Semenyih dan Kota Damansara dengan
kurang separuh daripada keseluruhan undi. Dalam kawasan ini, undi yang
diberikan kepada pembangkang kalau dicampur-campur melebihi yang diraih
oleh calon BN.
Jangkaan parti pembangkang akan kalah dalam pertandingan tiga penjuru
didasarkan atas premis kesemua tiga parti — BN, PAS dan PH – sama
kuat, kata Mat Sabu.
Pada masa ini, di kerusi di sebelah barat Semenanjung, Umno boleh
mendapat lebih kurang 30% daripada keseluruhan undi Melayu di mana-mana
kawasan.
Menurut Mat Sabu, sokongan terhadap PAS malah lebih rendah berbanding sokongan orang Melayu kepada Umno.
“Jadi apabila undi Melayu pecah, parti yang menang biasanya yang dapat sokongan padu daripada pengundi bukan Melayu,” katanya.
“Dan kelompok itu bersama dengan PH,” katanya, sambil mengingatkan
kebanyakan kerusi di pantai barat Semenanjung membentuk lebih 20%
daripada jumlah keseluruhan pengundi.
“Kajian kami menunjukkan PAS hanya boleh dapat satu peratus sokongan
bukan Melayu. Antara kami dan BN, kami boleh dapat 80% undi bukan
Melayu. Jadi sekiranya undi Melayu berpecah, parti yang dapat sokongan
majoriti bukan Melayu akan menang.”
Malah sekiranya pentadbiran BN mampu meluluskan pelan persempadanan
semula kawasan pilihan raya yang kontroversi itu, Mohamad tetap yakin PH
masih boleh menang.
Pelan persempadanan semula itu didakwa bertujuan menyusun semua
kawasan pilihan raya untuk menjadikannya lebih bertumpu pada satu-satu
kumpulan etnik. Sekiranya diluluskan di Parlimen, akan ada lebih banyak
kerusi dengan lebih 80% pengundi Melayu dan bukan Melayu, dan semakin
kurang bilangan kerusi campuran.
PH mendakwa pelan ini sepatutnya menguntungkan BN kerana ia tidak mendapat sokongan besar daripada pengundi bukan Melayu.
“Apabila ada peralihan sokongan Melayu, BN akan kalah teruk di kerusi
majoriti Melayu, kerana seperti yang saya kata, Melayu sudah berubah
pandangannya terhadap Umno.”
Pakatan bakal menongkah sejarah, yakin menang 3 penjuru, kata Mat Sabu
Reviewed by DetikDaily
on
September 14, 2017
Rating: 5
Tiada ulasan