Header Ads


Terkini

5 sebab tak undi PAS pada PRU14

Oleh Amran Ahmad Nor 

 PAS kian giat mengkritik Pengerusi Pakatan Harapan, Dr Mahathir Mohamad dan DAP dengan pelbagai label ketika negara semakin hampir di ambang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Sebelum Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man mengingatkan Dr Mahathir bahawa masalah Umno kini berpunca daripadanya, pemimpin PAS turut mengatakan DAP ada versi Islam tersendiri dan dilanda virus anjing gila.

Segala tindakan pimpinan PAS itu kian menggambarkan parti berkenaan sebagai “sekutu” Umno, pembela Perdana Menteri Najib Razak dan bakal membantu BN untuk terus kekal di Putrajaya pasca PRU14.

Justeru, sesiapa jua yang menggelarkan diri mereka sebagai penyokong pembangkang pada pilihan raya umum yang lalu harus berhati-hati dengan tidak lagi mengundi PAS pada PRU kali ini.
Ini kerana, pertama, mengundi PAS itu diibaratkan sama seperti mengundi Umno. Ini kerana undi buat PAS bertujuan memenangkan Umno dengan memecah serta mengurangkan undi bagi Pakatan Harapan.

Dengan PAS kini mendapat sentuhan panglima “tembikai” (di luar hijau, dalam merah), mereka kian mempengaruhi presiden PAS untuk menyendeng Umno dan menjadikan pendiriannya mustahil untuk bertukar walau apa jua yang terjadi selepas PRU14.

Kedua, dengan perkembangan terkini, PAS sendiri menjadi parti yang keliru dan tidak konsisten dengan dasar perjuangan dan pendiriannya dengan dahulunya menyokong DAP dan PKR tetapi mengubah keputusan tidak sampai lima tahun.

Bukankah PAS bersama dalam Pakatan Rakyat dengan DAP, PKR pada PRU13 untuk menukar kerajaan tetapi hari ini melabel DAP sebagai anti-Islam sedangkan DAP tetap parti yang sama seperti sebelum PRU13.

Ketiga, PAS juga gagal untuk membangunkan Kelantan. negeri Cik Siti Wan Kembang itu memerlukan kegiatan ekonomi yang lebih bertenaga bagi menyediakan anak muda dengan peluang pekerjaan.

Menurut bancian yang dibuat oleh bekas menteri Umno, Datuk Dr Awang Adek Hussin, seramai 43,376 rakyat Kelantan terutama golongan petani dan nelayan yang masih berada di bawah paras kemiskinan dengan pendapatan tidak melebihi RM1,000 sebulan.

Juga, seperti yang kerap dilaporkan oleh Utusan Malaysia yang secara tiba-tiba menjadi mesra PAS sejak kebelakangan ini, Kelantan terpaksa bertindak menggondolkan bukit-bukau di negeri itu untuk menjana pendapatan.

Sebab keempat untuk tidak mengundi PAS pula ialah parti itu akan meneruskan budaya diktator di negara ini apabila ia berganding bahu dengan Umno dalam PRU14 dengan menjadi parti kecil jika duduk dalam BN.

Umno akan terus bermaharajalela manakala PAS hanya akan menjadi seperti parti komponen BN lain yang harus tunduk tersipu sambil diam apabila disergah oleh Umno selaku “abang besar” yang menguasai majoriti kerusi Parlimen dalam BN.

Berbanding Pakatan Harapan, walau Dr Mahathir atau Datuk Seri Anwar Ibrahim sekalipun tidak boleh untuk berbuat sesuka hati kerana semua parti dianggap sama kuat, sama lemah.

Sebab kelima pula, meskipun mengaku masih di sisi pembangkang, PAS mengambil pendirian berdiam diri dalam isu 1MDB, skandal kewangan terbesar dunia yang mendapat perhatian dunia dan mencemarkan nama baiknya.

Walaupun berjuang atas nama Islam yang turut mengharamkan perbuatan rasuah dan salah guna kuasa, para pemimpin PAS dilihat mengelak untuk menyuarakan kritikan secara keras dalam isu skandal 1MDB.

Malah Presiden PAS, Abdul Hadi Awang hanya sekali menyebut perkataan 1MDB di Parlimen sejak selesainya PRU13.

Kesimpulan

Terbaru, belumpun PAS membuat keputusan untuk menyertai kerajaan, MCA juga sudah berani menggertak PAS untuk menghapuskan agenda hududnya jika mahu bersama-sama dalam BN.
Oleh itu, dengan congakan secara rasional dan matang, wajarlah kiranya lima sebab di atas diambil kira dalam pertimbangan rakyat Malaysia untuk menentukan sama ada mahu memangkah PAS atau tidak.

Ingatlah, perubahan yang ingin dibawa pastinya berdepan pelbagai cabaran, terutama oleh mereka yang dahulunya dianggap sahabat tetapi kini telah bertukar menjadi tukang caci dan maki. Itulah politik.

1 ulasan:

  1. Penulis ni mungkin baru keluar dari gua dan tidak mengikuti perkembangan politik semasa. Rubbish.....

    BalasPadam