BAGI sebuah parti yang diasaskan oleh Dr Mahathir Mohamad yang
berusia 92 tahun dan Muhyiddin Yassin, 70, sebagai presiden, Bersatu
memeranjatkan kerana berjaya menarik penyertaan ramai anak muda.
Parti yang akan menyambut ulang tahun pertamanya bulan ini sudah
mempunyai lebih 200,000 ahli dan 55% daripadanya terdiri daripada
golongan muda.
Karisma dan pembangunan yang dibawa Dr Mahathir di Malaysia semasa
jadi perdana menteri antara 1981 hingga 2003 antara “magnet” yang
menarik golongan muda menyertai Bersatu.
Abdul Mutalib Hasan, 26, bekas ahli Umno, menyertai Bersatu kerana
merasakan parti itu sebagai landasan untuk memperjuangkan kebenaran.
“Saya ahli Umno dahulu tetapi sekarang dilihat parti Umno hanya menolong Presiden Najib Razak dan pemimpin mereka sahaja.
“Rakyat? Anak muda? Mereka hanya akan cari empat tahun sekali,” kata Mutalib
Graduan institut pengajian tinggi awam yang bekerja sebagai jurutera
itu berkata, gandingan 3M (Mahathir, Muhyiddin, Mukhriz) antara faktor
yang menarik beliau menyertai Bersatu.
“Mukhriz Mahathir ketika menjawat jawatan menteri besar Kedah dilihat sebagai 'yang bekerja'.
“Banyak idea tercetus antaranya Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim
dan lain-lain lagi. Pemimpin sebeginilah yang anak muda perlukan,”
katanya merujuk kepada timbalan presiden Bersatu.
Muhamad Hanif Abdul Latif, 34, dari Kedah pula tertarik dengan
Bersatu kerana parti itu memberikan peluang kepada golongan muda untuk
bersuara dan berdikari.
“Di samping itu golongan muda mendapat peluang tunjuk ajar daripada
pemimpin-pemimpin senior dalam Bersatu yang sudah lama berkecimpung
dalam politik,” katanya yang bekerja di sebuah kilang sebagai jurutera
elektrik.
Sebelum ini, Hanif tidak pernah menyertai mana-mana parti politik
tetapi kini menyertai Bersatu kerana ingin memperjuangkan agama, bangsa
dan tanah air.
Sementara Mohd Iqbal Amel Hamzah, 27, merasakan Bersatu ada keunikannya tersendiri dan dilihat “suci dan ikhlas”.
“Dua pemimpin utama Bersatu dibuang daripada kerajaan kerana
memperjuangkan nasib rakyat,” katanya merujuk kepada Muhyiddin dan
Mukhriz yang dibuang daripada pentadbiran Najib kerana mengkritik
skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Apa lagi alasan untuk saya tidak sertai Bersatu?”
Peluang memimpin
Selain daripada menarik golongan muda menyertai mereka, Bersatu turut
memberikan peluang kepada golongan muda untuk memainkan peranan besar
dalam parti itu.
Contohnya Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir, 31, yang berkhidmat
sepenuh masa dengan Bersatu sebagai setiausaha kerja dan exco Armada –
sayap Pemuda parti itu.
“Majlis pimpinan tertinggi (MPT) adalah ‘supreme council’, dalam
parti lain tak ramai anak muda berpeluang duduk dalam majlis tertinggi.
“Tapi dalam Bersatu kita ada beberapa nama, Syed Saddiq Abdul Rahman
selaku ketua Pemuda, Ulya Aqamah Husamudin, Mohd Rafiq Naizamohideen dan
Dr Muhammad Faiz Na'aman, semuanya di bawah 35 tahun,” kata Ashraf
Bekas anggota Biro Profesional Muda Umno Kedah itu tidak menyesal
meninggalkan parti lamanya kerana menganggap perjuangan mereka sudah
tersasar.
“Umno asyik bercakap tentang peremajaan parti dalam tempoh lima tahun
yang lalu. Setiap tahun masa perhimpunan agung, itulah retoriknya.
“Orang Umno sendiri tahu Umno tak cukup ‘remaja’ dan tidak menepati citarasa anak muda sekarang,” katanya yang meninggalkan kerjayanya sebagai wartawan dan jurufoto untuk menjadi ahli politik sepenuh masa.
Sementara Fatin Fariza Abdul Halim, 28, yang tidak pernah menyertai
mana-mana parti politik sebelum ini tertarik dengan Bersatu kerana
kesungguhan parti itu untuk menyingkirkan Najib.
“Secara jujurnya sebelum ini saya agak pro kepada PKR, tetapi tak
menyertai PKR sebagai ahli. Tidak terlintas untuk menyertai mana-mana
parti sebelum ini,” kata akauntan yang bekerja dengan syarikat swasta
itu.
“Semestinya yang membakar semangat semua orang
menyertai Bersatu ialah untuk menukar perdana menteri sedia ada kepada
yang lebih baik.”
Fatin berkata, Bersatu berbeza dengan parti politik lain di Malaysia kerana peluang yang diberikan kepada golongan muda.
“Contohnya macam sekarang saya sendiri merupakan exco Srikandi paling
muda di Malaysia. Dan ketua Srikandi paling muda dalam Malaysia,” kata
exco sayap Wanita Bersatu itu yang juga merupakan ketua Srikandi
Bahagian Segambut.
“Seperti ketua bahagian saya di Segambut, Mahathir Mohd Rais, beliau
ketua bahagian paling muda di Malaysia. Lebih muda daripada saya. Ketua
bahagian saya berumur 27 tahun. Akan tetapi dia boleh memimpin dan
menggerakkan satu bahagian.”
Walaupun dipimpin ‘orang tua’, Bersatu berjaya tarik anak muda
Reviewed by DetikDaily
on
Ogos 15, 2017
Rating: 5
Tiada ulasan