Rakyat diseru akhiri kleptokrasi, 'kelepet'...
Oleh Lanh
BARU-BARU ini saya menghadiri ceramah
Pakatan Harapan di Bukit Katil. Melaka bertemakan 'Sayangi Malaysia
Hapuskan Kleptokrasi' yang menampil serta menghimpunan pemimpin Bersatu,
Amanah dan KEADILAN manakala wakil DAP tidak hadir kerana menghormati
kematian bekas Setiausaha Agungnya, Kerk Kim Hock.
Apa yang dapat saya rumuskan daripada
pidato pemimpin-pemimpin berkenaan; pertama semua pihak perlu bertindak
bagi mengakhiri pemerintah sekarang yang sarat dengan aneka
penyelewengan melalui pilihan raya umum (PRU) akan datang dan kedua
perlunya kebangkitan rakyat (people's power) yang terbukti dapat
menjatuhkan hatta rejim paling korup seperti Suharto (Indonesia),
Ferdinand Marcos (Filipina) dan Hosni Mubarak (Mesir).
Tema 'kleptokrasi' mengundang
pertanyaan...apa makna perkataan yang mungkin baru ini dalam bahasa
Melayu? Saya mencari-cari perkataan ini dalam Kamus Dewan (edisi
keempat)...memang perkataan ini tiada, yang ada adalah kleptomania yang
didefinisikan sebagai 'tabiat yang suka mencuri yang tidak dapat dikawal
walaupun barang yang dicuri tidak berharga atau diperlukan'.
Pencarian di Google menemukan saya dengan Wikipedia Indonesia yang menjelaskan: kleptokrasi (berasal dari bahasa Yunani kleptes (pencuri) dan kratos (kuasa), Kleptokras i ("pemerintahan para maling") adalah istilah yang mengacu kepada sebuah bentuk pemerintahan yang
mengambil uang (wang) pungutan (pajak) yang berasal dari publik /
rakyat untuk memperkaya kelompok tertentu atau diri sendiri. Pemerintahan ini umumnya tidak jauh dari praktik-praktik korupsi, kezaliman dan kriminalisasi'.
Jadi tema
'Sayangi Malaysia Hapuskan Kleptokrasi' adalah 'tepat' jika disandarkan
kepada hujah dikemukakan pemidato seperti Mohd Rafiq Naizamohideen
(Bersatu), Adly Zahari (Amanah), Dr Xavier Jayakumar serta Tian Chua
(KEADILAN) dan Mohamad Sabu (Amanah) yang memfokuskan isu penyelewengan
seperti 1MDB dan pemungutan hasil melalui Cukai Barangan dan
Perkhidmatan (GST).
Semua
penyelewengan dan pungutan wang ini berkisar angka 'berjuta-juta dan
berbilion-bilion ringgit', namun agak mencuit hati apabila Shamsul
Iskandar Akin (KEADILAN) yang muncul di pentas, mengemukan istilah
'kelepet' bagi penyelewengan kewangan secara kecil-kecilan yang mungkin
membabitkan puluhan atau ratusan ringgit yang didakwanya dilakukan oleh
petugas dan pemimpin kecil tertentu.
Ahli Parlimen
Bukit Katil itu mendakwa, pemimpin kecil 'mengkelepet' wang daripada
peruntukan seperti majlis keraian (jamuan atau kenduri), projek-projek
tertentu malah wang bantuan kerajaan seperti bantuan kebajikan
masyarakat dan zakat turut 'dikebas' mereka, sebahagiannya.
Sebenarnya,
perkataan 'kelepet' yang diertikan 'mencuri secara tidak disedari
(diperasan) orang lain' tidak ada dalam Kamus Dewan - ia mendefinsikan
'kelepet' sebagai 'lipatan pada tepi kain dan sebagainya'.
Namun penggunaan
perkataan 'kelepet' digunakan secara meluas oleh sesetengah orang
Melayu di Melaka bagi menggambarkan penipuan atau tindakan menyorok
sebahagian kecil wang yang diamanahkan untuk disampaikan kepada orang
atau pihak tertentu.
Misalnya, jika
bantuan kebajikan sebanyak RM300, sejumlah kecil seperti RM50
'dikelepetkan' untuk dimasukkan dalam poket sendiri. Jadi penerima akan
dapat RM250 - kebanyakan orang tidak perasan atau tidak mahu
'bising-bising' dengan perbuatan 'kelepet' ini.
Wang awam
(kerajaan yang juga bermaksud rakyat) turut 'dikelepet' untuk membiayai
majlis keraian parti...hal seperti ini sewajarnya tidak berlaku kerana
ada perbezaan antara parti dan pemerintah; tetapi perkara ini tidak
menjadi soal besar bagi pihak berkenaan.
Kedua-dua amalan
kleptokrasi dan 'kelepet' adalah amat buruk dan telah meletakkan negara
dan rakyat dalam keadaan amat resah. Jurang kaya (terutama membabitkan
kroni) dan miskin semakin melebar dengan rakyat merintih dengan kenaikan
harga barangan harian yang hampir semuanya bercukai. Malah perkhidmatan
utiliti asas seperti air dan elektrik pun bercukai!
Benar seperti
diungkapan oleh hampir semua penceramah, hanya kuasa (kebangkitan)
rakyat dapat menghancurkan pengamal' kleptokrasi' dan 'kelepet' ini. Ya,
realisasikan kebangkitan rakyat itu secara aman melalui PRU-14 tidak
lama lagi!
Tiada ulasan