Petugas media bakal miliki pasport keselamatan
KUALA
LUMPUR – Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara
(NIOSH) akan memperkenalkan pasport keselamatan untuk pengamal media
dengan kerjasama organisasi media kerajaan dan juga swasta.
Pengerusi NIOSH, Tan Sri Lee Lam Thye
berkata, langkah itu mampu meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan
pekerjaan dan mengurangkan kemalangan dalam kalangan warga media di
seluruh negara.
“Organisasi media perlu mencontohi industri lain
dengan melaksanakan program pasport keselamatan seperti yang diguna
pakai oleh industri petroleum dan telekomunikasi serta
syarikat-syarikat besar seperti Tenaga Nasional Berhad dan PLUS Malaysia
Berhad,” katanya.
Beliau berkata demikian
selepas merasmikan Seminar Keselamatan dan Kesihatan untuk warga media
di Ibu pejabat NIOSH yang turut dihadiri Pengarah Eksekutif NIOSH,
Zahrim Osman.
Lam
Thye berkata, di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara
1994, adalah menjadi kewajipan majikan untuk menyediakan persekitaran
kerja yang selamat dan sihat untuk pekerja mereka.
“Jabatan
Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) di bawah Kementerian Sumber
Manusia telah menerbitkan Garis Panduan Bagi Profesional Media 2012 yang
menyediakan maklumat lengkap mengenai amalan kerja selamat bagi
pengamal media,” katanya.
Beliau berkata,
garis panduan tersebut dibuat ekoran tragedi pada 2011 apabila seorang
jurukamera Bernama, Noramfaizul Mohd. Nor, maut akibat terkena tembakan
peluru sesat semasa membuat liputan misi kemanusiaan di Somalia pada 2
September 2011.
Beliau berkata, antara kes
terbaharu yang membimbangkan ialah pembunuhan seorang warga Korea Utara
menggunakan racun VX beberapa bulan lepas apabila petugas media dilihat
tidak memakai sebarang perlindungan ketika membuat liputan.
Menurutnya,
petugas media juga terdedah kepada pelbagai penyakit dan bahaya lain
ketika membuat liputan bencana alam atau wabak penyakit selain
berhadapan dengan kemungkinan tercedera atau terbunuh apabila dihantar
ke kawasan peperangan atau konflik.
Tiada ulasan