Header Ads


Terkini

Kemelut di Selangor beri harapan kepada Umno takluk kembali negeri

Oleh Sheridan Mahavera

KEMELUT dalam pentadbiran PAS-Pakatan Harapan Selangor dan jangkaan akan berlakunya pertandingan banyak penjuru pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) memberikan harapan kepada akar umbi Umno untuk menakluk kembali negeri itu.

“Seperti kata (pemangku timbalan presiden parti) Ahmad Zahid Hamid, inilah masa terbaik untuk kembali takluk Selangor,” kata Wan Mohd Yusof Wan Abdullah dari cawangan Taman Raja Muda, Klang.
Setiap kali Zahid merasmikan mesyuarat di salah satu daripada 22 bahagian Umno Selangor, setiap kali itu jugalah dia mengulangi kenyataan yang akan mengetuai usaha untuk menakluk kembali negeri terkaya Malaysia itu pada pilihan raya umum akan datang.

Pemimpin Umno Selangor memberitahu  yang mereka menyasarkan memenangi 30 kerusi negeri pada PRU14, seterusnya memmberikan majoriti tipis kepada Barisan Nasional (BN) di negeri yang mempunyai 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.

Apa yang perlu dilakukan Umno hanyalah mempertahankan 12 kerusi miliknya sekarang dan memenangi 18 buah kerusi lagi. Pertandingan pelbagai penjuru dijangka akan berlaku di 18 kerusi ini antara PAS dan parti Pakatan Harapan- PKR, Bersatu dan Amanah- seterusnya memecahkan undi pembangkang.

Bagi pemimpin akar umbi seperti Wan Mohd Yusof, situasi semasa di Selangor memberikan peluang terbaik untuk Umno dan Barisan Nasional. Menurut mereka antara faktornya adalah:

*Hubungan antara Menteri Besar Selangor Azmin Ali dan rakannya dalam Pakatan  Harapan yang bermasalah disebabkan bekas rakan sekutu mereka, PAS yang boleh menjauhkan pengundi.

*PAS sudah mengumumkan yang mereka akan bertanding di kebanyakkan kalaupun tidak semua 56 kerusi DUN Selangor, seterusnya akan mewujudkan pertandingan banyak penjuru yang memberi kelebihan kepada BN.

*Umno dan BN sudah mengatasi pergolakan dalaman mereka yang merupakan punca kekalahan parti itu pada PRU 13 2013. Kali ini, mereka yakin mempunyai jentera yang lebih bersatu.

“Ini adalah masa terbaik. Jika kita tidak boleh menang kali ini, lebih baik kita ‘tutup kedai’ sahaja,” kata Wan Mohd Yusof yang merupakan ketua perhubungan Umno Klang.

Umno yang Bersatu 

Kekalahan paling mengejutkan yang berlaku pada 2008 ketika PRU12 adalah apabila BN tumpas di Selangor- kubu kuat bersejarah parti itu- kepada gabungan pembangkang terdiri daripada PKR, DAP dan PAS yang berjaya memenangi 36 daripada 56 kerusi.

Presiden parti dan Perdana Menteri Najib Razak kemudiannya mengetuai kempen besar-besaran untuk merampas kembali Selangor pada PRU13, malangnya BN kehilangan lebih banyak kerusi. Pembangkang ketika itu, Pakatan Rakyat memenangi 44 kerusi DUN Selangor.

Daripada 20 kerusi pada 2008, BH hanya mempunyai 12 kerusi pada 2013, semuanya milik Umno. Sekutu rapat politik mereka, MCA, MIC dan Gerakan kalah teruk.

Kekalahan besar ini berpunca daripada pemimpin akar umbi Umno yang mensabotaj kempen parti, kata Wan Mohd Yusof.

“Apabila mereka tidak dipilih sebagai calon, ada yang tidak buat kerja raih undi. Ada yang mengundi pembangkang, malah ada yang berkempen untuk pembangkang.

“Mereka beritahu pengundi untuk undi calon ‘just’,” kata Wan Mohd Yusof. “Just” merujuk kepada keadilan, nama lain PKR.

Kekalahan itu juga disebabkan sokongan masyarakat Cina yang rendah kepada BN. Presiden Gerakan Mah Siew Keong dilaporkan berkata yang BN hanya mampu memperolehi 13.4% undi orang Cina.

Menjadi pembangkang di Selangor selama dua penggal berturut-turut meredakan kemelut antara pemimpin akar umbi Umno negeri itu dakwa Wan Mohd Yusof.

“Sekarang bahagian tak peduli siapa yang kepimpinan kanan pilih sebagai calon. Kami akan sokong siapa sahaja yang dipilih mereka. Kerana kami penat jadi pembangkang di Selangor.”

Berharap, tetapi berjaga 

Tetapi apa yang menjadikan mereka lebih optimis ialah apabila PAS memutuskan hubungan dengan PKR dan DAP.

“Apabila ia berlaku (pada Mei lalu), umpama cahaya muncul dalam kegelapan untuk kami,” kata pemimpin cawangan parti Mohamad Razali Nasir yang menggambarkan bagaimana ahli Umno melihat kejadian itu.

Selepas memutuskan kerjasama politik dengan DAP dan PKR, PAS mengatakan yang mereka akan bertanding dalam pilihan raya umum akan datang secara sendiri, tanpa rakan sekutu.

Ini bermaksud parti itu akan bersemuka dengan BN dan Pakatan Harapan (PH) yang terdiri daripada DAP, PKR, Bersatu dan Amanah,

Penganalisis sebelum ini mengatakan yang pertandingan banyak penjuru antara dua parti pembangkang dan BN selalunya akan memberi kelebihan kepada BN kerana undi untuk pembangkang terpecah.

Kemungkinan perkara ini berlaku di Selangor sangat tinggi sehingga Timbalan Presiden PKR Azmin Ali berkeras mahu terus mengadakan perbincangan dengan PAS walaupun ia tidak disenangi DAP dan Amanah.

Di Morib, tempat letaknya cawangan Kanchong Perdana yang dianggotai Mohamad Razali, perpisahan PAS boleh memberikan faedah kepada Umno.

Ahli Dewan Undangan Negeri Morib, Hasnul Baharunddin ialah salah seorang daripada wakil rakyat PAS yang menyertai Amanah. Razali menjangkakan penyokong parti Islam itu yang bengang akan menolak Hasnul yang kini bersama PH.

“Selepas PAS putus, saya percaya kita boleh dapat Morib balik.”

Ketua Bahagian Hulu Langat, Sulaiman Kardi pula berkata yang sebuah lagi kerusi dalam perwakilan Kuala Langat, Sijangkang juga dijangka akan dapat ditakluk kembali. Kerusi itu kini milik PAS.
Pemimpin lain seperti Mohd Al- Hafizi Abu Bakar berharap tiada isu negara baru yang boleh membantutkan momentum Umno.

“Kami bina jentera dan sudah bersedia. Kami hanya berharap presiden (Najib) boleh berikan kami kekuatan untuk sampai ke garisan penamat.”

Tetapi mereka mengakui halangan masih besar. Terutamanya, isu kos sara hidup yang membebankan penduduk berpendapatan rendah di kawasan bandar, sementara isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terus menjadi perbincangan hangat kumpulan kelas menengah di Selangor.

“Kami tak cakap kami sempurna,” kata Ketua Perhubungan Kelana Jaya, Azad Abu Bakar apabila ditanya mengenai reaksi Umno terhadap isu tersebut.

“Tetapi apa yang kami katakana ialah kami lebih baik berbanding PH, yang tak boleh bekerjasamapun dalam kerajaan. Saya rasa selepas bertahun krisis politik di Selangor, rakyat sedar perkara itu.”

Tiada ulasan