Header Ads


Terkini

Kasut dibaling ke arah Dr M, kerusi terbang dalam Nothing To Hide 2

Program Nothing to Hide 2.0 di Shah Alam hari ini bertukar ganas apabila beberapa individu menimbulkan kekecohan di dewan tempat berlangsung acara itu.

Kekecohan bermula ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjawab soalan peserta mengenai peristiwa Memali, apabila tiba-tiba kemudian kasut dan selipar dibaling ke arahnya.

Bagaimanapun beberapa petugas keselamatan berjaya melindungi dan membawa keluar bekas perdana menteri itu.

Keadaan menjadi tidak terkawal selepas penyokong bertindak balas dengan membaling objek seperti kerusi, selipar dan botol air di dalam dewan.
 Dalam keadaan kelam kabut itu, Dewan Raja Muda Musa di Kompleks Belia & Kebudayaan, Shah Alam yang menjadi lokasi acara itu juga dibakar dengan suar.

Sekurang-kurangnya dua suar dinyalakan oleh individu tidak dikenali, menyebabkan kepulan asap memenuhi dewan.

Keadaan menjadi semakin tegang apabila berlaku pergelutan antara penyokong BERSATU dan individu yang melakukan provokasi sehingga keluar dewan.

Turut kelihatan sekumpulan pemuda keluar dari dewan itu dan menanggalkan baju-T ARMADA yang dipakai mereka, sebelum meninggalkannya di lantai.

Penyokong BERSATU kemudian menahan sekurang-kurangnya dua individ yang disyaki sebagai pengacau.

Suspek berkenaan, yang turut kelihatan cedera akibat dipukul, kemudian diserahkan kepada pihak polis.

Sementara itu dalam sidang media, pihak polis mengesahkan telah menahan tiga suspek yang disyaki pelajar kolej swasta dan seorang penganggur bagi membantu siasatan.

"Ekoran dari kekecohan tiga orang lelaki Melayu telah ditahan oleh orang awam. Dua orang pakai baju-T warna merah lambang ARMADA yang berumur 17 hingga 19 tahun.

"Kita akan panggil penganjur untuk teruskan siasatan," kata Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisional Shafien Mamat

Tiada ulasan