MASIH terlalu awal untuk meraikan penahanan Isa Samad kerana ia tidak
menjamin penyelewengan dalam Felda dan Felda Global Ventures Holdings
(FGV) ditamatkan, kata pemimpin pembangkang.
Mereka berkata, sejarah penahanan dan pendakwaan tokoh di Malaysia
sebelum ini selalunya berakhir dengan tokoh itu bebas selepas
perbicaraan di mahkamah.
“Kita tidak mahu lagi didendangkan dengan drama seperti yang berlaku
dalam kes Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) apabila semua tertuduh
akhirnya dibebaskan,” kata Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar
“Penahanan Isa ini masih lagi di peringkat yang terlalu awal, masih belum tentu didakwa dan dibicarakan.”
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) petang semalam menahan
Isa berhubung pembelian hotel di London dan Kuching, Sarawak oleh Felda
Investment Corporation (FIC).
Bekas pengerusi Felda dan FGV itu sebelum ini pernah disoal siasat berhubung urus niaga berkenaan.
Isa meletakkan jawatan dalam FGV sebelum dilantik sebagai pemangku pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dua bulan lalu.
Nurul Izzah yang juga ahli Parlimen Lembah Pantai berharap SPRM akan
turut bertindak tegas dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Sementara itu, Ahli Parlimen Pokok Sena Mahfuz Omar berharap
penahanan Isa tidak menjadi seperti “plot filem” yang sering
“diputarkan” sebelum ini.
“Apakah ini plot filem ‘Felda 1’ yang mana Isa akan ditahan dan
didakwa. Kemudian Mahkamah Tinggi akan jatuhkan hukuman bersalah kepada
Isa sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
“Akan tetapi, selepas PRU14, Mahkamah Rayuan akan membebaskan Isa,
seperti yang selalu berlaku sebelum ini,” kata bekas naib presiden PAS
itu, yang senada dengan Nurul Izzah.
Mahfuz berkata, tindakan seharusnya diambil terhadap orang yang
bertanggungjawab melantik Isa sebagai pengerusi Felda dan FGV sebelum
ini.
“Perdana Menteri Najib Razak yang melantik Isa harus bertanggungjawab.
“Selepas bermasalah di Felda dan FGV, Isa kemudiannya dipindahkan
sebagai pemangku SPAD, seolah-olah mahu menutup mulut Isa agar tidak
membongkarkan rahsia orang yang melantiknya,” katanya.
Mahfuz turut mendesak agar Isa dipecat sebagai pemangku pengerusi SPAD agar masalah lain tidak ditimbulkan dalam agensi itu.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Azam Baki memaklumkan
penahanan Isa merupakan tindakan susulan hasil daripada keterangan yang
dirakam pasukan penyiasat berhubung pembelian hotel terbabit sebelum
ini.
"Justeru itu, SPRM yakin mempunyai asas yang kukuh untuk membuat
penahanan tersebut supaya dapat membantu melengkapkan siasatan kes
tersebut," katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub berkata
penahanan Isa membuktikan apa yang dikatakan oleh pemimpin pembangkang
selama ini benar.
“Sewaktu Isa dilantik sebagai pengerusi Felda dan FGV dulu, kita dah kata ia pasti akan menimbulkan masalah.
“Kita dah kata pelantikan Isa sudah pasti akan menjejaskan Felda,”
kata bekas ahli Parlimen Kubang Kerian selama dua penggal itu.
Salahuddin berharap penahanan Isa akan mengikut proses undang-undang
dan sekiranya didapati bersalah, bekas menteri besar Negeri Sembilan itu
tidak terlepas daripada hukuman.
Henti sandiwara, selesaikan isu FGV, kata pemimpin pembangkang
Reviewed by DetikDaily
on
Ogos 16, 2017
Rating: 5
Tiada ulasan