PENGUNDI di Terengganu perlu menghapuskan tradisi mereka yang selama
ini hanya memilih antara Barisan Nasional (BN) atau PAS jika mereka mahu
negeri dan negara ini bergerak maju, kata Pakatan Harapan (PH).
Gesaan itu dibuat pakatan pembangkang yang baru ditubuhkan itu dalam
cubaanya meluaskan pengaruh ke negeri Pantai Timur kaya minyak itu yang
selama ini didominasi oleh Umno dan PAS, kedua-duanya musuh politik PH.
Kempen PH di Terengganu pada hujung minggu ini mencapai kemuncaknya
pada ceramah di Kuala Terengganu yang dihadiri pemimpin utamanya
termasuklah Dr Mahathir Mohamad, Lim Kit Siang dan Husam Musa.
Masing-masing mewakili parti komponen yang membentuk PH iaitu Amanah,
Bersatu, PKR dan DAP.
Malah pemimpin PAS Terengganu Syed Azman Syed Ahmad Nawawi sendiri
menyokong gesaan ini berkata yang satu-satunya pilihan yang perlu pada
pilihan raya akan datang adalah antara PH atau Barisan Nasional.
Undi kepada pembangkang ketiga seperti PAS adalah undi kepada BN, kata Syed Azman
Pemimpin kanan PH Husam Musa turut menyifatkan PAS sebagai
menyebelahi Umno kerana parti Islam negara itu seolah-olah merestui
salah laku jenayah yang dilakukan parti pemerintah berkaitan skandal
kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Misalnya pemimpin PAS tidak mengecam temasya mewah yang dianjurkan
ahli perniagaan Low Teck Jho yang didakwa menggunakan wang hasil
rompakan 1MDB, kata Husam yang merupakan naib presiden Amanah.
Pemimpin PAS Terengganu termasuklah Presiden Abdul Hadi Awang turut
gagal mengetengahkan isu 1MDB ketika ia mula berlaku sedangkan ia
berasal di negeri itu daripada agensi yang dikenali sebagai Terengganu
Investment Authority (TIA).
“Apa yang ustaz PAS cakap tentang semua arak yang dibeli guna duit
1MDB?” soal Husam kepada hadirin di ceramah “Sayangi Malaysia, Hapuskan
Kleptokrasi” di bandar itu malam tadi.
Husam merujuk kepada dakwaan pihak berkuasa Amerika Syarikat yang
dianggarkan AS$4.5 bilion yang dirompak daripada 1MDB digunakan untuk
mengadakan majlis keraian mewah, membeli arak mahal dan dihabiskan
kepada model terkenal.
“Apa yang mereka kata tentang semua parti arak yang mereka buat?
Semua model bogel mereka upah untuk parti dalam bot? Saya tak faham
bagaimana ustaz ini boleh puas hati dengan penjelasan 1MDB.”
Pemimpin PAS sebelum ini dilaporkan berkata yang mereka berpuas hati
dengan pelan rasionalisasi 1MDB selepas pertemuan dengan presiden
syarikat sarat hutang itu, Arul Kanda Kandasamy. Tetapi pada masa yang
sama, mereka juga mahukan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat skandal itu.
Husam juga mengkritik Hadi kerana mendakwa perlu adanya empat orang saksi bagi membuktikan pertuduhan ke atas 1MDB.
“Seperti Hadi nak lindungi Najib. Jadi dalam pilihan raya nanti,
pilihan adalah antara Umno yang dibantu PAS lawan Pakatan Harapan.”
Rakyat Terengganu perlu menghapuskan idea mereka yang hanya ada dua pilihan undi, sama ada untuk BN atau PAS, katanya lagi.
“Sekarang dacing (BN) dah tak seimbang, bulan (PAS) pun dah gerhana, Jadi tolong fikir tentang ini,” katanya lagi.
Dr Mahathir Mohamad turut mengecam PAS, mengatakan yang parti itu
menggunakan agama untuk meraih sokongan politik dan ini menyebabkan
wujud percanggahan sesama mereka dan mengelirukan ramai orang Islam.
“Pada 1980-an, PAS mengkafirkan ahli Umno dan kalau mati sebab lawan
Umno maknanya mati syahid,” kata Dr Mahathir yang merupakan bekas
perdana menteri Umno-BN sejak 1981 hingga 2003 tetapi kini menerajui
pembangkang.
“Tetapi sekarang Umno dah tak haram nak kerjasama. Sebabnya PAS hanya
gunakan Islam untuk membezakan diri mereka daripada Umno sebab nak
dapat undi”.
Di Terengganu, pilihan bukan lagi antara PAS atau Umno
Reviewed by DetikDaily
on
Ogos 27, 2017
Rating: 5
Tiada ulasan